TELAH digambarkan bagaimana berita kewafatan Junjungan Besar Nabi Muhammad
saw mencetuskan suasana teramat suram dan hingar-bingar di kalangan kaum
muslimin. Seluruh kota Madinah bagaikan bersipongang dengan esak-tangis para
sahabat dan pengikut Baginda saw yang amat sukar menerima hakikat pemergian
orang yang paling mereka kasihi itu.
Namun, keteguhan hati Saidina Abu Bakar as-Siddiq telah mengurai kekusutan
hari itu. Walau pun sangat sedih dengan ketiadaan Baginda, sahabat Rasulullah paling
akrab itu juga muncul orang paling tabah dan paling berfikiran positif menghadapi
suasana paling tidak diingini itu.
Isyarat-isyarat agak jelas oleh Baginda mengenai hampirnya kedatangan hari
perpisahan itu telah difahami Abu Bakar. Beliau nampaknya telah mempersiapkan
hati dan perasaannya untuk menghadapi hari paling menyedihkan itu.
Lantas, dia bingkas menenangkan kaum muslimin sekaligus memperbetulkan
sikap segelintir mereka, khususnya Saidina Umar al-Khattab ra, yang sukar
menerima hakikat kewafatan Baginda saw. Hal itu telah disinggung dalam edisi-edisi
sebelum ini.
Mencari pengganti Baginda
saw
Syaikh Mahmud al-Mishri lewat Sahabat-Sahabat
Rasulullah saw mencatatkan, “kemudian hampir terjadi fitnah besar antara
orang-orang Muhajirin dengan orang-orang Ansar terkait dengan perkara khilafah,
sekali pun kita tetap yakin secara bulat bahawa para sahabat Nabi saw tidak
mencari kecuali redha Allah dari apa yang mereka lakukan”.
Beliau turut memetik komentar oleh Imam an-Nawawi rahimahullah lewat Syarh Sahih Muslim lin Nawawi yang
berkata, “Nabi saw meninggal, sedangkan beliau tidak menunjuk pengganti dengan
dalil yang jelas. Ini adalah mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah, bahkan para
sahabat bersepakat untuk mengangkat Abu Bakar sebagai khalifah dan
mendahulukannya kerana keutamaannya.”
“Seandainya ada nas yang menunjuk Abu Bakar atau selain Abu Bakar (sebagai
khalifah), nescaya tidak terjadi pertentangan dari orang-orang Ansar dan selain
mereka untuk pertama kalinya, dan orang yang membawa nas tersebut nescaya akan
menyebutkan apa yang dia bawa, lalu para sahabat rujuk kepadanya. Tetapi
kenyataannya mereka berselisih terlebih dahulu kerana memang tidak ada nas yang
langsung, kemudian mereka bersepakat untuk memilih Abu Bakar dan itulah
kesepakatan mereka.”
Diriwayatkan orang-orang Ansar berkumpul di Saqifah Bani Saidah. Mereka
meneriakkan, “dari kami seorang pemimpin dan dari kalian seorang pemimpin”. Maksudnya,
sebagai menggantikan Baginda saw, mereka mahu seorang pemimpin diangkat dari
kalangan Ansar dan seorang dari Muhajirin. Bahkan, orang-orang Ansar sudah ada
calon mereka, iaitu Saad bin Ubadah.
Sebuah hadith dari Abdullah ra, menggambarkan suasana hari tersebut. Ia berbunyi,
“ketika Nabi saw wafat, orang-orang Ansar berkata, “dari kami seorang pemimpin
dan dari kamu (Muhajirin) seorang pemimpin.” Maka Umar datang kepada mereka,
dia berkata, “bukankah kamu mengetahui bahawa Rasulullah saw telah memerintahkan
kepada Abu Bakar untuk menjadi imam kaum muslimin dalam solat? Siapa di antara
kamu yang jiwanya rela mendahului Abu Bakar? Maka mereka (orang-orang Ansar) menjawab,
“kami berlindung kepada Allah kalau kami sampai mendahului Abu Bakar.” [HR an-Nasaie
(II/74, 75), Ahmad (I/21) dan al-Hakim (III/67)]
Abu Bakar, Umar saling
“tunjuk-menunjuk”
Dalam riwayat lebih panjang, kekecohan dicetuskan golongan Ansar di Saqifah
Bani Saidah itu akhirnya memaksa Abu Bakar, Umar dan Abu Ubaidah datang kepada
mereka. Di situ berlaku pertembungan pendirian antara mereka dengan ketiga-tiga
sahabat utama dari kalangan Muhajirin itu.
Lebih menarik lagi, dalam proses mencadangkan pengganti Rasulullah saw itu,
berlaku “tunjuk-menunjuk” di antara dua sahabat utama Baginda, iaitu Abu Bakar
dan Umar. Diriwayatkan Abu Bakar telah berkata kepada kaum Ansar yang hadir,
“kami adalah umara (pemerintah), sedangkan kamu adalah wuzara’ (wazir atau
menteri)”.
Maka Hubab bin al-Munzir, mewakili kaum Ansar menjawab, “demi Allah, kami
tidak setuju. Dari kamu (Muhajirin) seorang pemimpin dan dari kami juga seorang
pemimpin”.
Abu Bakar berkata, “tidak, akan tetapi kami adalah umara, sedangkan kamu
adalah wuzara’. Mereka adalah orang-orang Arab yang paling mulia negerinya
dengan nenek moyang Arab asli. Silakan anda semua membaiat Umar atau Abu
Ubaidah”.
Apa yang diucapkan Abu Bakar itu bukan sahaja sebagai strategi politik menyelesaikan
kekusutan yang sedang dialami ketika itu, malah turut menzahirkan jiwa besarnya
mendahulukan sahabat lain berbanding dirinya untuk diberikan amanah kepimpinan.
Apatah lagi Umar seringkali disebut Baginda saw secara bergandingan dengan
namanya sendiri sebagai orang harapan Rasulullah. Antaranya, sebagaimana
dirakam dalam hadith dari Huzaifah ra, di mana Rasulullah saw bersabda:
‘Sesungguhnya aku tidak tahu berapa lama lagi aku berada di antara kamu. Maka
teladanilah dua orang sepeninggalanku: Abu Bakar dan Umar.” [HR at-Tirmizi (no.
3663, 3664). At-Tirmizi berkata, ‘ini adalah hadith hasan.]
Umar juga tidak kurang hebatnya menelah apa yang dimaksudkan Abu Bakar itu.
Lantas Umar berkata, seakan menyanggah kembali kata-kata sahabatnya itu, “bahkan
lebih layak kami membaiatmu (Abu Bakar). Engkau adalah sayyid kami, orang
terbaik kami dan orang yang paling dicintai oleh Rasulullah saw”.
Lalu Umar terus mencapai tangan Abu Bakar dan membaiatnya. Melihatkan
tindakan Umar itu, sekalian yang hadir pun turut membaiat Abu Bakar. Demikian difahami
dari maksud hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari (no. 3667) dari Aisyah ra.
Memahami Isyarat Rasulullah
saw
Apa yang dilakukan Umar itu mungkin kelihatan spontan. Namun, jangan
dinafikan keilmuan dan kerincian pemerhatian beliau terhadap sebilangan sabda
dan ingatan Baginda saw, yang boleh dikaitkan sebagai isyarat terhadap
kelebihan Abu Bakar.
Antaranya ialah hadith-hadith berikut:
1. Dari Aisyah ra, ia berkata, “Rasulullah saw bersabda kepadaku ketika
Baginda sakit: ‘Panggillah ayahmu dan saudaramu sehingga aku mampu menulis
sebuah surat, kerana aku khuatir ada orang yang berharap dan ada orang yang
berkata, ‘aku lebih berhak’. Padahal Allah dan orang-orang mukmin menolak
selain Abu Bakar.’ [HR al-Bukhari (no. 7217) dan Muslim (no. 2387)]
2. Dari Aisyah ra, ia berkata, ‘Rasulullah saw solat di belakang Abu Bakar
dalam keadaan duduk pada saat Baginda sakit, di mana akhirnya Baginda wafat.
[HR Ahmad (VI/159). Diriwayatkan juga oleh at-Tirmizi dan dia berkata, ‘hadith
sahih’.]
3. Dari Jubair din Muth’im dari
ayahnya ra, ia berkata, “seorang wanita datang kepada Nabi saw, lalu Baginda
memintanya (wanita itu) untuk kembali semula kepadanya. Maka wanita itu
berkata, “bagaimana jika aku datang kepadamu dan aku tidak mendapatimu (seperti
bermaksud Baginda telah tiada)?” Maka Nabi saw bersabda: Jika engkau tidak
mendapatiku, datanglah kepada Abu Bakar. [HR Bukhari (no. 7220) & Muslim
(no. 2386)]
Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah berkata dalam al-Fath, “menjadikan hadith ini sebagai dalil yang menunjukkan
bahawa Abu Bakar merupakan khalifah setelah Nabi saw adalah sahih (benar),
tetapi hanya sebagai sebuah isyarat sahaja, bukan petunjuk langsung (nyata).”
“Ini juga tidak bertentangan dengan apa yang dinyatakan secara pasti oleh
Umar bahawa Nabi saw tidak menunjukkan pengganti, kerana maksud Umar adalah
tidak menunjuk pengganti secara langsung. Wallahu a’lam. Al-Kirmani berkata,
“hadith ini dijadikan sebagai dalil atas khilafah Abu Bakar.” [Fathul Baari (XIII/345)]
Kelebihan Abu Bakar
mengatasi Umar
Bahkan, dalam beberapa kejadian tertentu, Baginda saw secara jelas
menzahirkan pilihannya yang mengutamakan Abu Bakar berbanding Umar. Antara
hadith yang dapat difahami sebagai memperincikan sikap tersebut ialah:
1. Dari Ibnu Mulaikah rahimahullah, ia berkata, ‘Aku mendengar Aisyah
ditanya, ‘siapa orang yang akan diangkat oleh Rasulullah saw sebagai
penggantinya seandainya beliau melakukan?’ Dia menjawab, ‘Abu Bakar’. Dia
ditanya, ‘lalu siapa setelah Abu Bakar?’ Dia menjawab, ‘Umar’. [HR Muslim (no.
2385)]
2. Dari Abdullah bin Zam’ah ra ia berkata, “ketika sakit Nabi saw semakin
parah, aku bersama beberapa orang kaum muslimin berada di sisi Baginda. Bilal
mengajak Baginda solat, maka Rasulullah saw bersabda: Perintahkanlah seseorang
untuk menjadi imam bagi kamu. Dia berkata, maka Abdullah bin Zam’ah keluar. Ternyata
Umar telah bersama kaum muslimin. Pada saat itu Abu Bakar belum hadir, maka aku
berkata, “Wahai Umar! Solatlah bersama kaum muslimin”. Umar maju dan
bertakbir.”
“Ketika Nabi saw mendengar suara Umar, kerana Umar adalah lelaki yang
bersuara lantang, maka Baginda bertanya, ‘di manakah Abu Bakar? Allah dan kaum
muslimin tidak menerima hal ini. Allah dan kaum muslimin tidak menerima hal
ini.’ Maka seseorang mencari Abu Bakar. Dia datang setelah Umar solat, maka Abu
Bakar solat bersama kaum muslimin.” [HR Abu Daud (no. 4660, 4661). Disahihkan
oleh Syaikh al-Albani dalam Sahih Sunan
Abi Daud (no. 3895)]
3. Dalam riwayat lain, ketika nabi saw bersabda: ‘Perintahkanlah Abu Bakar
agar menjadi imam solat bagi kaum muslimin’, Aisyah berkata, ‘jika Abu Bakar
menggantikanmu, maka orang-orang tidak mendengarnya kerana dia akan menangis.
Mintalah Umar untuk menjadi imam solat bagi kaum muslimin’.
Aisyah berkata: Aku berkata kepada Hafsah, ‘Katakanlah kepada (pujuklah) Nabi
saw, ‘jika Abu Bakar menggantikanmu, maka orang-orang tidak mendengarnya kerana
dia akan menangis. Mintalah Umar untuk menjadi imam solat bagi kaum muslimin.
Hafsah pun melakukannya. Maka Rasulullah saw bersabda: “Cukup, kamu semua ini
benar-benar seperti wanita-wanita di sekeliling Yusuf. Perintahkanlah Abu Bakar
agar dia menjadi imam solat orang-orang.” [HR al-Bukhari (no. 679) dan Muslim
(no. 418)]
Umar sememangnya menyedari kedudukannya yang sedemikian di sisi Rasulullah
saw. Bahawa beliau tidak mungkin dapat menandingi, mahu pun menyamai Abu Bakar,
di atas beberapa kelebihan dan kesitimewaan yang memang dianugerahkan Allah SWT
kepada sahabatnya itu.
Sebab itu Umar pernah diriwayatkan sebagai bertegas, “aku dibawa ke depan
lalu leherku dipenggal lebih aku sukai daripada aku memimpin suatu kaum di
antara mereka adalah Abu Bakar.” Hal ini
dicoretkan Ibnu Hisyam lewat As-Sirah
an-Nabawiyah, menukilkannya dari Ibnu Abbas ra.
Abu Bakar merendah diri
Namun, kelebihan diisyaratkan Nabi saw itu tidak pernah dianggap sebagai
lesen atau pengiktirafan yang mutlak oleh Abu Bakar sendiri. Dalam setiap
keadaan beliau hanya bertindak semata-mata sebagai memenuhi arahan diminta Rasulullah.
Bukti kesetiaan dan kebanggaan Abu Bakar berdiri di belakang Nabi saw terserlah
menerusi dua kes direkodkan pada hari-hari terakhir sebelum kewafatan Baginda
saw.
Syeikh Safi-ur-Rahman al-Mubarakpuri lewat Cahaya Abadi (terjemahan Ar-Rohiqul
Makhtum) mencatatkan dua hari sebelum kewafatannya, “Nabi saw berasa segar
kembali dan boleh mengerjakan solat. Lantas Baginda saw bangun bersandar kepada
dua orang jemaah untuk solat Zohor. Melihat Baginda sihat, Abu Bakar yang
hendak memulakan solat menarik diri daripada menjadi imam. Tetapi Baginda
memberi isyarat supaya Abu Bakar berdiri di situ sambil berkata, “dudukkan aku
di sisinya.”
Mereka meletaknya duduk di sebelah kiri Abu Bakar. Baginda menjadi imam
sementara Abu Bakar mengikutnya tetapi meninggikan suaranya setiap kali Nabi
saw menyebut ‘Allahu Akbar’, dengan demikian jemaah dapat mendengar dengan
jelas.” Hadith ini dipetiknya dari Sahih
al-Bukhari, 2/637.
Ertinya, Abu Bakar tidak menunjukkan keinginan diri untuk berada di hadapan
selagi mana beliau merasakan ada orang lebih layak – bahkan paling layak –
mengetuai kaum muslimin dalam solat. Sikap rendah diri dan menyedari tahap
kedudukannya itu diulangi keesokannya, sepertimana direkodkan di dalam hadith
diriwayatkan oleh Anas bin Malik.
Katanya, “ketika para jemaah hendak bersolat Subuh pagi Isnin (hari
terakhir hayat Baginda saw) itu, yang akan diimami Abu Bakar, mereka
terperanjat melihat Baginda menyingkap tabir di bilik Aisyah, untuk melihat
mereka berbaris betul untuk bersolat seraya tersenyum gembira. Melihat Baginda,
Abu Bakar berundur ke belakang menyertai barisan para makmum untuk memberi
laluan kepada Baginda mengimamkan solat, kerana memikirkan Baginda menyertai
mereka. Para jemaah bergembira malah hampir terpesona melihatnya. Bagaimana pun,
Baginda memberi isyarat supaya mereka meneruskan solat dan Baginda masuk semula
ke bilik lalu melabuhkan tirai.” [Sahih
Muslim, 2/246]
Dua kejadian diutarakan itu sudah cukup membuktikan sifat rendah diri dan
sedar diri Abu Bakar tentang tarafnya berbanding Baginda saw. Beliau tidak akan
sekali-kali mendahului Nabi saw selagi mana Baginda masih mampu berada di
hadapan. Beliau adalah pengikut paling setia kepada Rasulullah saw. – Mohd Nasir Awang
Rujukan:
-
Syaikh Mahmud
al-Mishri, 2010. Sahabat-Sahabat
Rasulullah saw. Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta.
-
Abdul Hadi Awang,
2010. Taktik & Strategi Berpolitik
Gaya Khulafa ar-Rasyidin. PTS Islamika Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor.
-
Abdurrahman
Asy-Syarqawi, 2011. Abu Bakar Al-Siddiq
The Successor, Yamani Angle Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor.
-
Safi-ur Rahman
al-Mubarakpuri, 2011, Cahaya Abadi (Terjemahan ar-Rohiqul Makhtum), Al-Hidayah House
of Publishers Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor.
-
Dr. Khalid Muhammad
Khalid, 2006. Sejarah 133 Wira Terbilang
di Zaman Rasulullah saw. Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur.
(Artikel ini disiarkan majalah bulanan DIAN - Ihya' As-Sunnah, Edisi 5 (Mei 2012) di ruangan KENALI
SAHABAT RASULULLAH dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment