Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim. Sebagai asas untuk menginsafi kekurangan diri dan
supaya tidak mudah mendabik dada atas pencapaian masing-masing, Islam antara
lain mengajar kita bahawa setiap diri itu tidak terlepas dari dua sifat
kelemahan, iaitu silap dan lupa.
Pun begitu, ingatan itu bukan bermaksud melemahkan semangat untuk terus berusaha
mempertingkatkan pencapaian masing-masing, terutama tahap iman, amal dan taqwa.
Kita tidak diajar untuk mudah tertipu dengan bisikan serong kononnya sesuatu
kerja mulia dan tanggungjawab berat untuk Islam hanya tertentu buat mana-mana khalayak
khusus sahaja.
Islam adalah milik semua umatnya. Justeru, setiap diri bernama muslim
berhak memiliki dan memainkan peranan tersendiri menegak dan mengembangkan
agama ini. Kita seharusnya berusaha melayakkan diri memikul apa jua seruan dan
arahan agama. Lebih-lebih lagi dalam meneruskan tradisi menegakkan Sunnah ditinggalkan
Baginda saw.
Salah seorang kolumnis kami dalam coretannya pada keluaran ini menyentuh
agak spesifik berhubung peranan besar kelompok dinamakan Nasir al-Sunnah (Pembela Sunnah). Baginya, pihak yang tegak untuk
memperkasakan Sunnah Rasulullah saw di saat banyaknya cabaran kini dijanjikan
ganjaran yang sangat besar.
Beliau memetik maksud sebuah hadith riwayat Abu Daud dan Tirmizi yang menggambarkan
hari atau zaman, di mana bersabar padanya laksana menggenggam bara api. Tatkala
itu mereka yang menghidupkan Sunnah dan mengajarnya kepada orang ramai dijanjikan
ganjaran berlipatganda.
“Sejarah mengajar kita, di saat pusaka peninggalan Nabi itu dilanda dengan cabaran besar, di kala itulah lahirnya pembela-pembelanya, sehingga berapa ramai di kalangan tokoh-tokoh ulama silam yang terkenal dengan Nasir al-Sunnah (Pembela Sunnah), seumpama Imam Ahmad bin Hanbal, Imam al-Baghawi dan ramai lagi” (baca Dr Fauzi Deraman, kolum FIKRAH).
Justeru, coretnya lagi, “setiap pencinta Sunnah selayaknya mengambil
kesempatan dengan kewujudan berbagai kemudahan teknologi dan ruang yang terbuka
luas di hadapan mereka untuk melaksanakan tanggungjawab terhadap Sunnah
Rasulullah saw dalam batas kemampuan dan kemahiran masing-masing.”
Ya, biar pun kita memang terlalu kerdil dan tidak layak menobatkan diri
sebagai Nasir al-Sunnah, namun tidak
ada salahnya untuk kita jadikan taraf semulia itu sebagai sasaran atau
cita-cita untuk dicapai. Untuk itu, kita akan tetap berusaha sedaya mungkin dan
sebaik termampu untuk mencapai tahap terpuji sebegitu.
Sokongan dan dukungan para pembaca amat kami perlukan dalam merealisasikan
hasrat itu.
Wassalam.
Al-Faqir ilallah,
Mohd Nasir Awang
(Artikel ini disiarkan majalah bulanan DIAN - Ihya' As-Sunnah, Edisi 5 (Mei 2012) di ruangan Editorial dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment