Muqoddimah
Walau pun pada hakikatnya
kesemua bumi adalah milik Allah yang diberikan kepada sesiapa yang Dia
kehendaki, akan tetapi Allah memilih bumi Palestin untuk dikurniakan kepada anbiya’
dan rasul-rasulNya yang mulia. Mereka merupakan individu-individu yang dipilih
oleh Allah untuk menegakkan agamaNya dan meninggikan kalimahNya.
Palestin adalah antara bumi
paling suci. Padanya terbina Masjid Al-Aqsa, destinasi Nabi Muhammad saw
diisrakkan dan permulaan kepada mikraj Baginda. Ia juga kiblat pertama orang
Islam. Masjid al-Aqsa juga masjid ketiga paling suci bagi umat Islam, yang
perlu bersusah payah untuk mereka pergi menziarahinya.
Di atas bumi Palestin para anbiya’
hidup dan di perut buminya juga bersemadi jasad-jasad mereka, selain menjadi
saksi titisan darah para syuhada.
Sebab itu apabila Zionis
menubuhkan negara haram Israel di atas bumi Palestin, ia ditentang dan
diperangi umat Islam. Perampasan itu merupakan penaklukan di atas dasar
perkauman dan keganasan. Negara haram itu tertegak di atas asas untuk mengosongkan
bumi Palestin daripada penduduknya secara ganas. Ia berlaku menerusi
pembunuhan, penghalauan serta penguasaan ke atas tanah, rumah dan harta benda penduduk
asalnya.
Bahkan, kerakusan Israel tidak
terhenti hanya di sempadan asal Palestin. Perluasan jajahan takluk negara haram
itu melibatkan perampasan lebih banyak tanah negara-negara Arab berjirannya. Ia
berlaku dengan penggunaan kekerasan, perampasan dan tindakan jenayah yang
disokong dengan menyeluruh oleh negara-negara kuasa besar sehingga sekarang
(Awang: 2010).
Ikhwanul Muslimin pembantu utama
Pada permulaannya negara Arab
dan Islam bangkit memberikan pertolongan kepada saudara mereka untuk
menyelamatkan Palestin. Penyertaan tentera-tentera dan sukarelawan dari
beberapa negara Arab, terutama dari kalangan orang Islam, amat ketara. Kelompok
paling ke depan menyahut seruan jihad ke sana ialah sukarelawan daripada
Ikhwanul Muslimun, sebuah kumpulan Islam paling berpengaruh di rantau itu.
Bahkan, tidak keterlaluan jika
dikatakan bahawa Ikhwanul Muslimin adalah gerakan Islam yang paling komited kepada
isu Palestin sedari awal ia tercetus. Semasa berlaku revolusi Palestin pada
1936, Ikhwanul Muslimin yang berpusat di Mesir memberikan respons yang segera.
Lajnah Isnad Filistin
ditubuhkan oleh Ikhwan di peringkat Pusat sebagai bukti keprihatinan mereka
berhubung isu itu. Revolusi yang dilancarkan oleh Sheikh Izzudin al-Qassam itu
adalah pencetus kebangkitan rakyat Palestin bagi berhadapan Brisith dan warga
Yahudi pendatang (Malik: 2009).
Kemuncak hubungan antara
Ikhwanul Muslimin dan rakyat Palestin adalah penyertaan sukarelawan Ikhwan
dalam jihad menentang Zionis pada tahun 1948. Sejak tahun itu Ikhwan
mengisytiharkan bumi Palestin sebagai bumi jihad dan menjadi kewajiban bagi
setiap anggota gerakan itu berjuang memerdekakannya.
Tindakan mereka ini telah
memberikan kesan yang sangat baik. Ia selayaknya membuahkan kemenangan di pihak
Palestin jika tidak kerana perancangan jahat dunia dan pengkhianatan dari dalam
yang telah memberikan ruang kepada jenayah kemanusiaan tersebut terus berlaku.
Anak muda idamkan syahid
Keghairahan para pendukung
Ikhwanul Muslimin menyempurnakan arahan kepimpinan gerakan itu untuk mara ke
medan jihad di Palestin memang menjadi antara bahan catatan sejarah paling
menarik. Salah seorang daripada mereka ialah seorang pemuda belasan tahun bernama
Abdul Wahab al-Bitanuni.
Kebetulan beliau adalah salah
seorang sahabat karib kepada Dr. Yusuf Al-Qardhawi, kini seorang ulama tersohor
di serata dunia. Dalam satu catatannya, Al-Qardhawi menyifatkan Abdul Wahab
sebagai “seorang pemuda yang pada mulanya ‘tertidur’, tetapi kemudian bangkit
berjihad di Palestin. Dia seperti Qais, jihad adalah Laila baginya”.
Cita-citanya untuk ikut
bertempur menghalang keganasan Zionis akhirnya tidak dapat dibendung lagi. Malah,
di kalangan rakan-rakan dan gurunya juga sudah ada yang seakan merasai betapa
Abdul Wahab akan berjaya mencapai impiannya untuk mati syahid di bumi Palestin.
“Pada pandanganku, Abdul Wahab
merupakan seorang pemuda yang memiliki taqwa yang tinggi dan jiwa yang bersih.
Guru kami, Ustaz Al-Bahi al-Khuli pernah berkata: “Setiap kali melihat wajah
Abdul Wahab, aku merasa seperti melihat darah syahid mengalir di wajahnya”,
al-Qardhawi mengimbau firasat gurunya.
Rintangan pertama
Namun, sepertimana kebanyakan
rakannya yang lain, Abdul Wahab turut berdepan pelbagai karenah dan cubaan
sebelum berjaya mencapai cita-cita yang diimpikannya. Untuk berjihad di Palestin,
beliau terpaksa melalui dua rintangan utama. Pertama, restu daripada ibunya,
seorang ibu tunggal yang memerlukan penjagaan.
Kebetulan pula Abdul Wahab juga
merupakan satu-satunya anak yang dimilikinya. Di bahu anak tunggal itulah
terpikul amanah memastikan keselamatan dan kebajikan keluarga itu. Maka terfikir
oleh Abdul Wahab betapa sudah tentu ibunya tersangat keberatan untuk melepaskan
beliau pergi. Jadi, bagaimana mungkin dia dapat menyertai rakan-rakannya ke
Palestin dalam keadaan sebegitu?
Kebimbangan itu menghantui Abdul
Wahab. Di satu pihak, dia ada ibu yang memerlukan teman dan penjagaan. Di pihak
yang lain, dia seakan sudah tercium bau syahid yang dicita-citakannya. ‘Laila’
nya itu seakan-akan melambai-lambainya siang dan malam.
Desakan impiannya itu menyebabkannya
bertekad meluahkan hasrat menggunung itu kepada ibunya. Beliau bagaimana pun
tidak memiliki cukup keberanian untuk berdepan sendiri, lantas meminta rakan-rakannya
menjadi perantara untuk menjelaskan perkara itu kepada ibunya, supaya dia
diizinkan berjihad di Palestin.
Al-Qardhawi mencatatkan, “waktu
itu, aku sendiri bersama saudara Ahmad Assal dan Ahmad Muhammad Shaftawi telah
pergi ke rumah Abdul Wahab di Kampung Kfar Haurin, Santah Pusat. Kami bercerita
tentang ibu-ibu para mujahidin yang tercatat sebagai para pahlawan dalam
sejarah Islam. Begitu juga tentang keinginan dan kerinduan Abdul Wahab untuk
berjihad di Palestin.”
“Kami nyatakan kepada ibunya,
bahawa jihad sama sekali tidak akan dapat mempercepat atau melambatkan ajal seseorang.
Bahawa orang yang tidak mati di hujung pedang pasti akan mati dengan sebab yang
lain. Sesungguhnya apabila telah tiba ajal kematian seseorang, maka ia tidak
mungkin dapat ditangguhkan lagi.”
Panjang lebar tiga sahabat itu
berhujah dan membujuk hati sang ibu. Akhirnya, dengan hati syahdu dia
menginsafi betapa anaknya yang sangat dikenalinya itu sudah tidak dapat
dihalang lagi daripada mengejar cita-cita sucinya.
Lantas kata sang ibu: “Jika ini
memang menjadi keinginan Abdul Wahab, maka aku tidak mungkin dapat menghalangnya
lagi. Aku serahkan perkara ini kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Aku berdoa kepada
Allah agar Dia menolong anakku dan juga seluruh anggota sukarelawan Ikhwanul
Muslimin yang berada di medan jihad. Aku berharap Dia mengembalikan mereka
dalam keadaan selamat dengan membawa kemenangan.”
Alangkah gembiranya Abdul Wahab
mendengar jawaban ibunya itu. Lidahnya kelu tanpa kata. Cucuran air matanya
tidak dapat dikekang lagi. Dia segera memeluk ibunya dengan penuh perasaan
kasih dan terimakasih, sambil meminta ibunya agar tidak putus-putus mendoakannya.
Halangan kedua
Terlerai sudah rintangan
pertama. Abdul Wahab kini berdepan pula halangan kedua, iaitu mendapatkan
pelepasan daripada pemimpin tertinggi Ikhwanul Muslimin. Dimaklumi umum ketika
itu bahawa telah menjadi keputusan Maktab Irsyad Ikhwanul Muslimin melarang
penyertaan pelajar sekolah menengah untuk berjihad di Palestin.
Bagaimana pun, terdapat pengecualian
kepada peraturan ketat itu, iaitu mana-mana pelajar sekolah yang berhasrat ke
medan jihad itu perlu mendapatkan sokongan Mursyidul Am, Imam Hasan al-Banna
sendiri. Untuk itu, kes dihadapi Abdul Wahab ini perlu di bawa ke pengetahuan
dan pertimbangan Mursyidul Am sendiri di Kaherah.
“Ketika itu kami bersama Assal,
Shaftawi dan Abdul Wahab bertolak ke Kaherah untuk meminta pelepasan daripada
Mursyidul Am. Ternyata usaha kami berhasil. Kami pulang untuk menyampaikan berita
gembira itu kepada Abdul Wahab,” al-Qardhawi menyambung ceritanya.
Tidak syak lagi khabar itu
merupakan kegembiraan berganda buat Abdul Wahab. Padanya ketika itu sudah tidak
ada apa-apa lagi yang memisahkan dirinya dengan impian syahid yang ingin
dicapainya. Dia telah lama berhasrat menjejakkan kaki ke bumi Israk Mi’raj Nabi
saw. Dia mahu merasai keseronokan berada di bumi kiblat pertama umat Islam itu.
Dia juga mahu melihat sendiri
masjid ketiga paling dimuliakan di sisi agamanya. Bahkan lebih membanggakannya
ialah apabila kehadirannya ke tempat suci itu dengan jiwa dipenuhi tekad
membebaskannya daripada pencerobohan dan penodaan sekumpulan manusia rakus
bergelar Zionis Israel.
Mencapai impian syahid
Akhirnya, saat
ditunggu-tunggunya telah tiba. Namanya telah disenaraikan dalam kumpulan
sukarelawan bersama ratusan mujahidin Ikhwanul Muslimin yang lain. Kumpulannya
itu bergerak dari Tanta menuju Kaherah.
Di sana mereka bercantum dengan
kumpulan-kumpulan sukarelawan Ikhwan lain dari pelbagai cawangan di serata
Mesir dan rantau Timur Tengah. Mereka akhirnya bergerak ke medan jihad bersama tekad
mencapai impian, sama ada kemenangan mahu pun syahid, beserta iringan doa anggota
keluarga dan rakan-rakan.
Sebagaimana disebutkan di atas,
tentangan diberikan pasukan mujahidin, khususnya yang dianggotai sukarelawan
Ikhwan ternyata mencemaskan tentera Israel. Namun, disebabkan bantuan
persenjataan dan kekuatan tentera diterima negara haram itu dari negara-negara
sekutunya amat besar, kemaraan tentera sukarelawan di pihak Palestin gagal
menumpaskan mereka. Sebaliknya, tidak sedikit di antara mujahidin Islam itu
yang gugur.
Di antara yang syahid itu ialah
Abdul Wahab. Diceritakan beliau bersama beberapa orang mujahidin telah bertindak
berani menyerang salah sebuah markas tentera Israel. Tentera Israel bagaimana
pun berjaya melakukan serangan balas, sehingga memaksa pasukan mujahidin Ikhwan
itu berundur.
Namun, tentera negara haram itu
tidak membiarkan mereka berlalu dengan selamat. Mereka sebaliknya diburu,
sehingga akhirnya terpaksa mencari perlindungan di tempat pembuatan senjata
milik tentera Zionis. Mereka terkepung di situ.
Dalam keadaan sudah tidak ada
pilihan, melainkan terus mendepani hujanan peluru musuh itu, kematian bukan
lagi suatu yang mungkin dielakkan. Tatkala itulah terdetik di hati Abdul Wahab
dan kumpulannya itu, bahawa alang-alang sudah pasti akan mati dalam keadaan
tersepit sebegitu, maka seeloknya mereka mati dengan cara yang paling baik,
yakni memberikan manfaat semaksima mungkin untuk pihak Palestin.
Justeru, mereka berkeputusan
untuk mengorbankan diri dengan meletupkan tempat pembuatan senjata itu. Percayalah,
Abdul Wahab dan rakan-rakannya benar-benar memilih untuk mati dalam cara
sedemikian.
Rujukan:
-
Prof. Dr. Yusuf
al-Qardhawi, 2011. Aku dan Al-Ikhwan
Al-Muslimun. Mutiara Ilmu Selekta Sdn Bhd, Kuala Lumpur.
-
Abdul Hadi Awang,
2010. Palestin: Daripada Perampas Jalanan
Kepada Peta Jalanan. Jundi Resources, Kuala Lumpur.
-
Dr. M. Abdul Qadir
Abu Faris, 2011. Fiqh Politik Hasan
Al-Banna. Mutiara Ilmu Selekta Sdn Bhd, Kuala Lumpur.
-
Maszlee Malik,
2009. HAMAS – Pejuang Kota Suci
Baitulmuqaddis. PTS Millennia Sdn Bhd, Kuala Lumpur.
(Artikel ini disiarkan majalah bulanan DIAN - Ihya' As-Sunnah Edisi 5 (Mei 2012) di ruangan SECEBIS
KISAH dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment