Sunday, November 27, 2011

Piala Monsun: Yang dipertahan hanyalah ego BN


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Ketika rencana ini ditulis, Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2011 di Pulau Duyong, Terengganu sedang berlangsung. Ia dijadualkan berlanjutan selama enam hari bermula 22 November.

Biar pun pihak penganjur dan kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri menganggapnya acara tahunan yang berprestij dan tidak jemu berusaha menggambarkannya sebagai program membanggakan, kontroversi berkisar penganjurannya tidak pernah padam sedari mula ia diadakan.

Pertikaian mengenai kejohanan itu berpusat kepada persoalan sejauh mana ia memberikan manfaat kepada rakyat dan negeri Terengganu. Sejak pertama kali diadakan pada 2005 hingga kini persepsi umum yang lebih popular ialah kejohanan itu lebih sebagai projek yang “belanjanya besar tetapi manfaatnya tiada”.

Apatah lagi setelah kejohanan bertaraf antarabangsa itu memasuki tahun ketujuh, pelbagai pihak termasuk kalangan pemimpin BN sendiri kerap memperakui betapa ia gagal mendatangkan faedah kepada rakyat Terengganu.

Ertinya, pembaziran dan ketiadaan manfaat dari penganjuran Piala Monsun saban tahun bukan lagi semata-mata dakwaan kosong atau fitnah liar parti pembangkang. Pengakuan terbaru mengenai hakikat itu bahkan datangnya daripada pemimpin nombor satu BN Terengganu sendiri.

“Tidak dinafikan kita tidak memperolehi keuntungan dari segi kewangan bagi penganjuran ini, namun kita menerima kunjungan pelancong asing melalui sukan Monsun Cup (Piala Monsun) yang mendapat perhatian dunia,” demikian pengakuan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said, sepertimana dipetik tabloid harian edisi negeri itu, 6 Oktober lalu.

Kenyataan beliau itu sebagai reaksi terhadap desakan Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Hanafiah Mat agar kontrak penganjuran Piala Monsun yang akan berakhir tahun hadapan tidak disambung kerajaan negeri. Hanafiah mendakwa pulangan diterima rakyat atas penganjuran kejohanan itu amat tidak berbaloi.

Sememangnya kejohanan itu bagaikan terkena sumpahan. Sedari mula ia dianjurkan, ia tidak habis-habis dilanda kontroversi. Pertikaian bahkan bermula dengan pembangunan drastik yang berlaku ke atas Pulau Duyong, semata-mata bagi memenuhi maksud penganjuran Piala Monsun dengan belanja melangkaui ratusan juta ringgit.

Angka sebenar perbelanjaan dihabiskan BN untuk kejohanan itu bagaimana pun tidak pernah didedahkan secara jelas dan bertanggungjawab. Ada-ada saja dolak-dalih pemimpin kerajaan negeri untuk mengelakkan rakyat mendapat maklumat tepat mengenai jumlah wang mereka yang telah dicurahkan BN di pulau tersebut.

Ada laporan mengatakan hanya RM60 juta dihabiskan untuk penyediaan prasarana kejohanan di tahun pertama. Ada pula laporan lain menyebut jumlah kosnya melebihi RM200 juta. Manakala bual-bicara selepas itu mengheret angka tersebut kepada lebih RM300 juta.

Keengganan parti pemerintah mendedahkan angka sebenar perbelanjaan dan berdepan dengan tuntut faham oleh rakyat menyebabkan keseluruhan projek pembangunan di pulau itu sentiasa dipersoalkan. Pertikaian mengenainya bukan setakat menjadi bahan perbahasan di kedai kopi atau pentas ceramah, malah turut menjadi isu pertikaman lidah antara wakil-wakil rakyat kerajaan dan pembangkang dalam beberapa sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu sebelum ini.

Di masa sama kesan alam sekitar akibat pembangunan tidak teliti dan tergopoh-gapah di Pulau Duyong turut memberi impak negatif terhadap kegiatan ekonomi penduduk beberapa pulau dan daratan sekitarnya. Hal itu diakui oleh dua bekas Adun BN di kawasan terbabit, iaitu Bukit Tunggal dan Seberang Takir. Masing-masing mengakui aktiviti pembangunan tidak teliti di pulau itu menyebabkan paras air sungai menjadi cetek, sekaligus menjejaskan aktiviti ekonomi penduduk sekitar yang sebahagian besar mereka adalah nelayan dan pengusaha bot penambang.

Kontroversi Piala Monsun tambah diperkatakan pada Ogos 2008 apabila Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh mendedahkan beberapa penemuan tidak menyenangkan mengenai penganjuran perahu layar itu. Beliau mengesahkan betapa kejohanan itu “memakan belanja besar tetapi tidak banyak memberikan manfaat kepada kerajaan dan masyarakat Terengganu”.

Ertinya, jika dinilai berdasarkan keluh-kesah rakyat dan pendedahan serta pengakuan oleh pelbagai pihak, termasuk para pemimpin BN sendiri, sudah tidak ada alasan lagi sebenarnya yang mewajarkan kejohanan itu dipertahankan. Namun Ahmad telah menegaskan bahawa kerajaan negeri tetap akan menyambung kontrak penganjuran Piala Monsun untuk tahun-tahun berikutnya.

Barangkali satu-satunya alasan atau sebab yang tinggal buat BN untuk meneruskan hasrat itu ialah kerana tidak bersedia tunduk kepada desakan dan bantahan rakyat, lebih-lebih lagi parti pembangkang. Meminjam kata-kata Hanafiah, penganjuran Piala Monsun “hanya mahu menonjolkan keegoan kerajaan BN”.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1694, 28 November 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', F22 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment