Thursday, November 17, 2011

Kalaulah BN Terengganu tak utamakan bola...


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Ada satu kawasan perumahan di pinggir bandaraya Kuala Terengganu yang dihuni lebih 300 keluarga. Kebanyakan penghuni itu adalah golongan pertengahan, yakni tidak termasuk golongan kaya-raya dan tidak juga dikategorikan miskin.

Masalahnya, kawasan kejiranan mereka kerap diancam banjir, terutama setiap kali berlakunya hujan berterusan. Ia bukan akibat curahan air semulajadi sepertimana dialami kawasan tanah panah, tetapi lebih didorong faktor kegagalan sistem saliran dan perparitan.

Sebab itu asal saja berlaku hujan lebat agak lama, tanpa mengira musim tengkujuh atau tidak, penduduk perumahan itu akan susah hati. Pengalaman digenangi air selama berhari-hari menjadi mimpi ngeri buat mereka. Ia bukan sekadar menyukarkan pergerakan kenderaan, mengancam keselamatan dan meragut keselesaan hidup, malah banjir kilat itu turut membabitkan kerugian harta benda mereka.

Sebagai golongan pertengahan, mereka mampu memikirkan kaedah penyelesaian terbaik. Justeru, mereka meminta kerajaan mewujudkan sistem perparitan yang sempurna. Setelah segala aturan dan peraturan diteliti, cadangan itu dikemukakan secara rasmi kepada pihak berkuasa tempatan dan jabatan berkaitan. Ada yang mendapat reaksi, ada juga yang tidak mendapat apa-apa maklum balas, sehingga memaksa mereka membuat permohonan ulangan.

Pemimpin politik bawahan dan pertengahan juga dilibatkan. Mana tahu, dalam tabiat urustadbir Terengganu yang diketahui sangat mementingkan merit politik, campurtangan ‘orang kuat kerajaan’ dianggap pendorong memastikan rintihan penduduk diambil perhatian.

Namun jawaban diterima agak stereotaip. Kononnya, “kerajaan belum ada peruntukan untuk kawasan ini”. Lalu rakyat dipaksa meneruskan hidup dalam kebimbangan. Bila-bila masa banjir kilat boleh melanda kejiranan mereka.

Kini, dalam keadaan musim tengkujuh yang sedang membadai negeri Terengganu, kerisauan itu kembali menghantui mereka.

Apatah lagi pihak bertanggungjawab mengenai kaji cuaca negara meramalkan beberapa negeri bakal menerima taburan hujan pada tahap melebihi kebiasaan kali ini. Terengganu antara negeri yang diramalkan menghadapi banjir besar. Maka pada adatnya kawasan perumahan tadi sudah hampir pasti bakal digenangi air lagi.

Rasanya tidak perlu disebutkan di manakah lokasinya. Ada beratus kawasan kejiranan yang berkongsi masalah seperti itu di Terengganu. Kebanyakan penghuni kawasan-kawasan itu juga telah mengajukan masalah itu kepada pihak bertanggungjawab.

Setakat ini rakyat dipaksa menerima hakikat kononnya kerajaan memang mengambil berat permasalahan dihadapi mereka. Cuma peruntukan kewangan semasa dimiliki kerajaan tidak mengizinkannya diselesaikan. Rakyat diseru bersabar dan berharap dalam masa terdekat masalah itu akan ditangani.

Walau pun rakyat pada awalnya akur dan merasionalkan alasan itu, apa yang mereka perhatikan menerusi tindak-tanduk pemimpin Barisan Nasional (BN) Terengganu mengisyaratkan sebaliknya. Kesediaan kerajaan negeri mengeluarkan belanja besar hanya semata-mata untuk mencari nama di arena bolasepak tanahair adalah contoh terbaru yang paling mereka kesalkan.

Rakyat akhirnya mempersoalkan alasan ketiadaan peruntukan tadi. Paling tidak pun, mereka keliru dengan keutamaan diletakkan kerajaan dalam berbelanja, terutama apabila BN sanggup menghabiskan jutaan RM hanya untuk sukan bolasepak.

“Walau pun terpaksa bayar (gaji) sehingga RM100 ribu sebulan sekali pun, kita sanggup, dengan syarat boleh bermain”, demikian kata Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said, sepertimana dipetik sebuah tabloid harian, 13 November.

Beliau dilaporkan menegaskan kesediaan pihaknya memperuntukkan belanja lebih besar kepada dua pasukan bolasepak negeri itu, Peteh dan T-Team, untuk mendapatkan khidmat pemain import bagi menghadapi saingan musim depan.

Perlu diingat sekarang ini pun BN Terengganu telah memperuntukkan RM6 juta semusim untuk dua pasukan tersebut. Manakala berbagai perbelanjaan lain, seperti contohnya pemberian subsidi untuk 30 ribu tiket perlawanan final Piala Malaysia (RM750,000) dan penyediaan berpuluh bas percuma untuk ke Shah Alam, adalah bergantung semata-mata kepada wewenangan pemimpin BN.

Maka dengan penambahan lebih sejuta RM lagi untuk gaji pemain import setahun, ia menjadikan perbelanjaan untuk sukan bolasepak bukan lagi kecil, bahkan melebihi jumlah peruntukan diperlukan untuk memperbaiki saliran dan perparitan di kawasan perumahan rakyat tadi.

Itulah masalah utama dengan BN. Ia gemar membelanjakan wang kerajaan secara sewenang-wenang, seolah-olah peruntukan itu datang dari kocek mak-bapak mereka. Sebab itu dalam membelanjakan wang rakyat, ia tidak pernah berfikir “kalau lah tidak dihabiskan untuk bolasepak, tentu sudah banyak kawasan perumahan bebas dari ancaman banjir kilat”.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1691, 18 November 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', F21 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment