Oleh: Mat Zain Mat Isa
Semasa menjawab soalan seorang wakil Barisan Nasional (BN) pada sidang Dewan Rakyat, 16 November, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Heng Seai Kie memberitahu seramai 152,182 anak luar nikah direkodkan kementeriannya untuk tempoh 2008 hingga 2010.
Katanya, daripada jumlah itu, Sabah mencatat angka tertinggi dengan 41,490 orang, diikuti Selangor (18,983) dan Sarawak (17,570).
Tentu sekali angka-angka disebutkan itu amat membimbang dan mendukacitakan kita semua. Namun di masa sama ia tidak pula mengejutkan. Walau pun negara kita kerap dibanggakan sebahagian pihak kononnya menjadi ‘Negara Islam Contoh’ bagi sebilangan negara lain di dunia, rakyat Malaysia sendiri lebih tahu sejauh manakah sesuai dan sepadannya gelaran itu dengan keadaan dalam negara.
Kewujudan begitu banyak faktor pendorong berlakunya hubungan luar ikatan perkahwinan menyebabkan lambakan anak luar nikah suatu yang seakan sudah dapat dijangkakan. Justeru, walau pun angka lebih 150,000 itu wajar dipandang sebagai perkembangan tidak sihat dan memalukan, ia bukan lagi pendedahan mengejutkan.
Ibarat kata orang, alah bisa tegar biasa. Oleh kerana sebelum ini pun sudah kerap angka-angka ratusan ribu anak luar nikah dilaporkan, maka khalayak umum sudah menganggapnya suatu hakikat sosial yang tidak lagi pelik atau luar biasa bagi negara kita.
Sama lah juga bagaimana kita tidak akan terkejut apabila ada pihak memanipulasi apa-apa juga fakta didedahkan mana-mana pihak untuk dikaitkan sebagai kelemahan dan kegagalan pihak lawan. Pentas politik negara kita amat kotor dan diselaputi sentimen kepartian sangat tebal sehingga sanggup ke tahap menafikan realiti dan rasionaliti.
Memburukkan keadaan itu ialah apabila media arus perdana yang sepatutnya melapor dan membekalkan maklumat tepat dan benar kepada masyarakat bertukar peranan menjadi alat propaganda dan talibarut parti pemerintah. Lalu dalam apa juga keadaan, mereka akan menyorot, bahkan memutarbelit fakta semata-mata untuk menutup kelemahan BN dan di masa sama berusaha menzahirkan kegagalan Pakatan Rakyat.
Itulah persis apa yang berlaku ekoran pendedahan fakta disebutkan di atas. Bayangkan, walau pun kenyataan timbalan menteri berkenaan secara jelas menyebutkan bahawa jumlah tertinggi anak luar nikah dicatatkan negeri Sabah yang diperintah BN, ada pihak lebih berminat mengulas dan memperbesarkan angka dicatatkan di Selangor yang diperintah PR.
“Kami juga mempertikaikan keberkesanan kempen antizina yang dilancarkan oleh kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menerusi Jawatankuasa Generasi Idaman Selangor yang dilihat hanya sekadar nama, tetapi tidak mempunyai peranan,” kata seorang pemimpin utama Majlis Belia Selangor, sepertimana dipetik sebuah media talibarut BN, Khamis lalu.
Ya, semua pihak ada hak mempertikai dan menyatakan pandangan terhadap apa saja. Tetapi apabila ia dibuat secara melulu dan terlalu dibauri sentimen kebencian terhadap pihak lain, akan lebih mudahlah terserlahnya kedangkalan hujah dan pandangan dikemukakan itu.
Dalam kes ini, apakah semudah itu dikaitkan jumlah anak luar nikah yang tinggi di Selangor itu sebagai kegagalan program pencegahan diusahakan kerajaan negeri? Ada beberapa penilaian yang sepatutnya dirasionalkan sebelum mana-mana pihak sebegitu cepat menuding jari dan mendakwanya sebagai kegagalan kempen antizina dilaksanakan sebelum ini.
Pertama, sepertimana diutarakan tadi, jika diikutkan fakta itu Selangor bukanlah negeri mencatatkan angka tertinggi anak luar nikah dalam tempoh tersebut. Sepatutnya secara rasional semua pihak perlu melihat bahawa ia bukan soal politik. Angka di Sabah bahkan lebih dua kali ganda berbanding Selangor, manakala angka dicatatkan Sarawak pula mengekori rapat di belakang Selangor.
Justeru, jika dikatakan apa yang berlaku di negeri PR itu ekoran kelemahan program parti pemerintahnya, maka yang lebih layak dikecam sebagai gagal ialah dua kerajaan diperintah BN di Malaysia Timur itu.
Kedua, sebegitu banyak kempen dan slogan diutarakan BN, sama ada menerusi kerajaan Pusat mahu pun negeri-negeri dikuasainya sekian lama juga tidak terlepas dari kegagalan. Semua kita boleh menerima betapa kempen antimerokok dilaksanakan kerajaan sejak berdekad hingga kini belum boleh dianggap berjaya.
Ratusan atau mungkin ribuan juta RM pula telah dihabiskan untuk kempen memerangi penyalahgunaan dadah. Namun apakah jumlah penagih semakin berkurangan atau meningkat saban tahun?
Begitu juga dengan kempen keselamatan jalanraya. Setakat ini tidak ada pihak yang berpuashati melihat statistik kemalangan maut yang gagal diturunkan. Apakah kita tergamak menyalahkan kempen yang telah dibuat?
Dalam bahasa lebih tegas, apakah kita mahu mengatakan sembahyang tidak mempunyai peranan mencegah kemungkaran hanya semata-mata kerana masih ramai mereka yang bersembahyang tetapi kekal melakukan dosa. Tidakkah pendirian itu bererti kita menyalahkan janji Allah?
Seeloknya apa yang berlaku dihujahkan secara positif. Bagaimana jika kita katakan, mujur juga kerajaan Selangor telah laksanakan kempen antizina. Andaikata tidak, barangkali jumlah anak luar nikah di negeri itu untuk tempoh tersebut mungkin dua kali ganda daripada itu! Tidak mustahil, bukan?
(Artikel ini adalah versi lebih panjang daripada yang disiarkan tabloid Harakah Bil: 1692, 21 November 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', N5 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment