Oleh: Mat Zain Mat Isa
Tidak munasabah jika dikatakan bahawa Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chan a.k.a. Tian Chua tidak tahu betapa amat mustahil usulnya memohon pemotongan gaji Perdana Menteri akan diterima atau diluluskan Dewan Rakyat. Tentu sekali sedari awal lagi dia sudah menjangka keputusan tidak akan memihak kepadanya.
Akan malu besar dan merudum teruk lah imej dan kredibiliti Dato’ Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri sekiranya usul berkenaan diluluskan Parlimen. Ia malah akan tercatat sebagai sejarah paling buruk dan paling memalukan buat sebuah parti pemerintah.
Bagai diduga pengakhiran itu tidak berlaku. Usul dikemukakan Tian Chua ditolak persidangan Dewan Rakyat pada 2 November dengan undian majoriti setelah melalui sessi perbahasan hangat.
Pada 28 November wakil Parti Keadilan Rakyat itu mengemukakan usul untuk memotong sebulan gaji Perdana Menteri berjumlah RM22,826.65. Dalam hujahnya Tian Chua mendakwa Najib gagal menyempurnakan tugasnya sebagai peneraju negara, terutama dalam menyelesaikan berbagai masalah melanda negara.
“Penurunan prestasi pelbagai indikator sosioekonomi mutakhir ini menunjukkan kelembapan pentadbiran Pejabat Perdana Menteri menangani isu-isu negara”, terjahnya.
Beliau antara lain memetik fakta peningkatan hutang awam negara sepertimana didedahkan Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dibentangkan untuk tatapan umum baru-baru ini.
Bagai diduga, segala hujah berfakta itu bukan sahaja sukar diterima anggota penyokong kerajaan, malah wakil pembangkang itu turut diherdik. Beliau dinilai berniat menjatuhkan imej dan maruah Perdana Menteri.
“Bagi pihak kerajaan kita menolak usul dikemukakan Ahli Parlimen Batu. Usul itu merupakan tohmahan dan fitnah terhadap Perdana Menteri,” media memetik hujah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang dipertanggungjawabkan mengenai Hal Ehwal Parlimen.
Beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Bebas yang bangkit membahaskan usul berkenaan malah dikatakan berucap dengan penuh emosi dibauri sentimen politik yang tebal. Perang mulut yang tercetus semasa perbahasan itu turut menyaksikan terpaculnya kalimah-kalimah yang dianggap kasar dan tidak sewajarnya dituturkan di Dewan yang mulia itu.
Bagai diduga, usul itu akhirnya ditolak. Pihak yang mengemukakan usul berkenaan juga sudah menjangkakannya dan bersedia menerima keadaan itu. Bahkan, peluang diperolehi untuk usul berkenaan dibahaskan itu pun sudah dianggap satu kejayaan.
Selalunya, sedari awal lagi usul yang dijangka mampu menyentuh kredibiliti pemerintah seumpama itu akan ditolak dan tidak diberikan ruang untuk dibahaskan.
Justeru, apa yang telah dicapai oleh Tian Chua minggu lalu dikira agak membanggakan. Usulnya itu sekurang-kurangnya mendapat pertimbangan positif Yang Dipertua Dewan Rakyat, sehingga beliau berlapang dada membenarkan usul berkenaan diperbahaskan.
Lagi pun Tian Chua sudah tentu mengambilkira jumlah anggota Dewan yang bakal menyokong beliau tidak akan mengatasi jumlah yang menentangnya. Beberapa pengalaman lepas mengajarnya hakikat itu.
Ini bukan kali pertama usul sebegitu dikemukakan wakil pembangkang di Parlimen. Sebelum ini pun agak kerap usul dibawa agar gaji penjawat beberapa jawatan tertinggi negara dipotong, di atas berbagai hujah dan sebab-musabab tersendiri. Setakat ini belum pernah usul-usul senada itu diluluskan. Rekod itu semestinya telah dibaca dan dijadikan iktibar oleh Tian Chua.
Namun, kenapa dia meneruskan juga usul memotong gaji Perdana Menteri minggu lalu? Apakah kerana sikap degilnya? Ataukah dia sengaja mahu mensesiakan masa persidangan Dewan, sehingga sanggup mengambil risiko diaibkan ekoran usul ditolak?
Sepertimana disebutnya, pemotongan gaji sebulan ini cuma simbolik sebagai peringatan kepada pemegang jawatan tertinggi negara itu supaya menjalankan tugas dengan amanah dan telus.
“Usul ini bukan dituju pada peribadi Ahli Parlimen Pekan (Najib), tetapi ia disasar kepada pemegang jawatan ketua eksekutif tertinggi negara, bahawa jawatan ini sentiasa dipantau, diteliti agar tugasnya harus dijalankan dengan hemat dan berkesan secara konsisten”, tegasnya.
Ya, kita mungkin boleh mengibaratkan ususl itu seperti hukuman memukul seorang pesalah menggunakan sepatu. Perbuatan itu tentunya bukan bertujuan menyakitkan pesalah atau menyebabkan kecederaan fizikal. Ia tidak menyakitkan, tetapi matlamat utama ialah memalukan dia. Ia juga peringatan kepada pesalah itu betapa perbuatan salah dilakukannya tidak boleh diterima dan dia patut merasa malu di atas perbuatan itu.
Begitu juga dengan usul oleh Tian Chua itu. Biar pun ditolak, paling tidak ia telah dirakam dalam rekod Dewan Rakyat bahawa bukan semua rakyat dapat menerima sebarang kelemahan prestasi Perdana Menteri dan kerajaan pimpinannya.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah,Bil: 1689, 11 November 2011 di ruangan "KOLUMNIS", F21 sambungan F23 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment