Saturday, May 1, 2010

Pak Dir simpan rahsia jenazah ‘pelik’

Oleh: Nuwa Aitawa

ANDAIKATA ganjaran kewangan yang menjadi matlamat, kerja ini tidak menjanjikan pulangan lumayan. Sekiranya kemasyhuran dan keselesaan yang dipentingkan, tugas ini juga terlalu jauh dari memberikan glamour kepada pelakunya. Sebaliknya apa yang difahami umum berkaitan tugas ini penuh dengan rasa seram dan jijik.

Itulah realiti yang sering diperkatakan mengenai tugas seorang tukang mandi jenazah. Sebut sahaja profesion itu pun sudah ada yang meremang bulu roma.

Realitinya, tidak ramai yang sanggup dan mampu menyempurnakan tugas mencabar itu. Bahkan sering kedengaran keluhan pihak-pihak berkuasa agama di negara kita betapa jumlah tukang mandi jenazah semakin berkurangan secara nisbi berbanding peningkatan jumlah penduduk di sesuatu daerah atau qaryah. Kalangan generasi muda pula semakin tidak berminat mewarisi tugas yang memerlukan ketabahan hati itu.

“Memang kerja ni tak boleh ada rasa takut, gerun. Sebab ia (panggilan khidmat) tidak kira waktu. Mayat pula macam-macam pesen (ragam atau keadaan),” tegas Encik Kadir Ali.

Beliau adalah antara tukang mandi jenazah yang tidak asing lagi bagi penduduk sekitar Kuala Besut dan Kampung Raja, di Besut, Terengganu. Lelaki berusia 60 tahun dari Kampung Tanjong Demong ini sudah berpengalaman melakukan tugas itu hampir 20 tahun.

Menurutnya, yang lebih terkenal dengan panggilan Pak Dir di kalangan masyarakat sekitar kampungnya, hasrat asal yang mendorong beliau mempelajari cara-cara memandikan jenazah ialah kerana mahu menguruskan sendiri kematian kedua orang tuanya.

“Niat asalnya (belajar) kerana nak mandikan ayah sendirilah. Alhamdulillah, niat tu dah dimakbul Tuhan. Ayah meninggal dulu, saya mandi sendiri jenazah dia,” ujar Pak Dir.

Beliau mengakui menerima tunjuk ajar amat bermakna dari dua tukang mandi jenazah lebih berpengalaman. Mereka ialah Tok Bilal Latif Mahat dari Kampung Pengkalan Nyireh dan Tok Imam Yaakub dari Kampung Tok Saboh, kedua-duanya dalam daerah Besut.

Selepas diberikan ilmu dalam tugas itu, Pak Dir tidak lagi menoleh ke belakang untuk menghulurkan khidmat kepada masyarakat. Baginya niat ikhlas untuk memenuhi tanggungjawab fardhu kifayah amat penting dimiliki seseorang yang mahu melaksanakan tugas ini.

Sebab itu beliau yang bekerja sebagai nelayan sepenuh masa sejak berusia 12 tahun mengakui kekadang terpaksa bergegas pulang dari tengah laut apabila dipanggil menguruskan jenazah.

“Banyak kali lah ketika duk di laut, orang talipon, terpaksa ‘masuk’ (ke kuala). Demo (orang) perlu kepada (khidmat) kita, terpaksa baliklah,” cerita Pak Dir.

Ditanya mengenai upah diterimanya, Pak Dir menegaskan beliau lebih menilai kemampuan keluarga si mati. Apa yang penting baginya ialah berapa pun jumlah dihulur mereka biarlah ikhlas dan mengikut kemampuan mereka.

“Selalunya orang bagi RM50. Alhamdulillah, saya tidak kira sangat hal itu. Paling banyak pun ada bagi RM100 ke RM150. Kadang-kadang saya tak ambil (upah) pun, bila tengok kemampuan tuan rumah (tidak mampu). Kadang tu saya tak ambil, demo bawa mari ke rumah (upahnya),” sambung Pak Dir lagi.

Ya, sepertimana disebutkan di awal tadi, tugas berat ini tidak menjanjikan pulangan lumayan. Bahkan jika diambilkira kos perjalanan pulang dari tengah laut yang terpaksa dilakukan Pak Dir itu pun, mungkin ada yang menganggapnya tidak berbaloi.

Namun, sepertimana ditegaskan beliau sendiri, apa yang lebih dipentingkannya dalam menyempurnakan tugas ini ialah tuntutan fardhu kifayah. Dalam keadaan masyarakat sekitar kampungnya hampir ketandusan tukang mandi jenazah, adalah menjadi kewajiban baginya memenuhi panggilan khidmat dari sesiapa pun yang memerlukannya.

“Sebab itu saya tidak kisah pukul berapa pun orang mari panggil (untuk mandikan jenazah) atau ke (kampung) mana pun saya kena pergi,” cerita Pak Dir lagi.

Menurutnya, beliau pernah dipanggil menguruskan jenazah pada pukul 3.00 pagi. Beliau juga pernah dijemput ke beberapa kampung sekitar Bandar Jertih yang jarak perjalanan dari rumahnya hampir 20 kilometer.

Bagi memudahkan urusan tugas Pak Dir yang tidak mengenal waktu itu, isterinya, Puan Fatimah Mat Ali sentiasa memastikan kelengkapan tugasnya seperti kain kafan, kapas dan segala peralatan lain ada dalam simpanannya di rumah.

Menurutnya, ada ketikanya pihak keluarga si mati tidak sempat menyediakan kelengkapan tersebut dan memerlukan beliau membawanya bersama ke rumah si mati.

Dengan kekerapan panggilan khidmat secara hitung panjang antara lima ke enam kali sebulan, Pak Dir akui telah ditakdirkan Allah menemui berbagai ragam atau keadaan jenazah. Ada si mati yang dagingnya berkecai dan terpaksa dibasuh berketul-ketul. Ada yang rentung dan ada juga yang busuk.

Jika jenazah pelbagai ragam itu akibat kecacatan fizikal, ianya bukan suatu yang dianggap ‘pelik’. Apa yang lebih memerlukan ketabahan beliau ialah apabila fizikal ‘pelik’ itu terzahir secara yang tidak semulajadi atau dikaitkan dengan sebab-musabab yang sukar dijelaskan.

“Tak payah sebutlah ragam mayat ni, dah jumpa belaka. Ada yang macam timun, muka macam toyol pun ada. Kadang-kadang tu nampak ‘pelik’ sangat, saya tak bagi anak-beranak (si mati) tengok (jenazah), takut demo takut,” ujar Pak Dir.

Pengalaman juga mengajarnya mengambil pedoman daripada keadaan jenazah yang dimandikan. Katanya, seringkali berlaku apabila jenazah itu lembut sifatnya, ia petanda bahawa dalam sehari dua selepas itu akan ada lagi kematian yang memerlukan khidmatnya.

“Satu lagi pedoman ialah gagak. Allah Taala takdirkan bila ada gagak lintas kawasan rumah saya, selalunya selang tak sampai seminggu orang mari panggil saya (untuk urus jenazah),” kata Pak Dir.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Mei 2010 di ruangan 'Syukur Ada Mereka' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment