Friday, May 7, 2010

Jika tidak kerana Anwar, siapalah Ezam?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Isnin (3 Mei) lalu, empat individu mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Negara. Bagaimana pun fokus media lebih tertumpu kepada dua antara mereka, iaitu Timbalan Presiden MIC, Dato’ G. Palanivel dan bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Ezam Mohd Noor.

Media kroni Barisan Nasional (BN) tanpa selindung mengaitkan pelantikan Palanivel sebagai “menghargai pengorbanannya yang tidak dicalonkan” mewakili BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, lebih seminggu lalu. Dalam ertikata lain, pelantikan itu mengesahkan wujudnya ketegangan di dalam BN sewaktu proses memuktamadkan nama calon BN bagi pilihan raya tersebut.

Difahamkan MIC menamakan Palanivel sebagai calon tunggal direstui parti itu. Manakala Umno berkeras menolak beliau dan mahukan calon lain. Pemilihan P. Kamalanathan dikatakan sebagai jalan tengah meleraikan kekusutan itu.

Dikatakan Palanivel sudah dijanjikan jawatan penting sebagai ganti menjadi calon. Media kroni BN turut mengaitkan pelantikan bekas timbalan menteri itu sebagai senator adalah jalan untuk beliau diberikan jawatan dalam kerajaan.

Sementara pelantikan Palanivel dibayangi usaha menjernihkan kekeruhan hubungan dalaman BN, khususnya antara Umno dan MIC, pelantikan Ezam pula dinilai banyak pihak sebagai titik mula satu pergolakan baru dalam BN, khususnya Umno.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam satu kenyataan mengulas perkara itu berkata, beliau yakin sebahagian besar pemimpin Umno tidak berpuas hati dengan layanan istimewa Perdana Menteri terhadap Ezam yang baru dua tahun menyertai Umno. Sedangkan di kalangan pemimpin Umno sedia ada begitu ramai yang lebih layak diberi peluang menganggotai Dewan Negara.

Apatah lagi kemunculan Ezam yang begitu mendadak dalam Umno dibimbangi bakal memberikan saingan hebat kepada status quo kepimpinan parti itu, khususnya di peringkat Pemuda.

Sejauh manakah beliau mampu menapak dalam Umno biarlah masa dan takdir menentukannya. Namun apa yang agak menyerlah setakat ini, pelantikan Ezam sebagai senator tidak syak lagi menjadi usaha terdesak Umno menghadapi serangan dan kemaraan pakatan pembangkang.

Dalam lain perkataan, Ezam sengaja diberikan platform untuk bersuara dengan lebih terhormat sebagai senator semata-mata untuk menjadi “budak suruhan BN”. Ezam yang dikenali lantang berpidato dan petah menyusun atur hujah untuk memukau pendengar bakal dijadikan alat penting buat BN berhadapan parti lawan, terutama di Dewan Negara.

Hakikat itu secara tersirat diakui beberapa pemimpin pro-BN yang mengalu-alukan pelantikan beliau.

“Saya yakin dengan pelantikan Ezam sebagai senator sedikit sebanyak memberi kesan kepada masa depan PKR (KeADILan) dan juga Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” ulas penganalisis politik, Professor Dr Ahmad Atory Hussain.

Nada serupa turut diluahkan Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar. Beliau malah dipetik media kroni BN sebagai menganggap pelantikan Ezam ke kerusi senator dapat menyediakan platform kepada semua bekas ahli KeADILan mendedahkan apa yang mereka dakwa sebagai tipu muslihat Anwar selaku penasihat parti itu.

Ertinya kedua-dua pemimpin pro-BN itu mengakui harga utama Ezam adalah selaku alat BN menyerang parti lawan, khususnya bekas parti ditinggalkannya, KeADILan. Modal utama yang menyebabkan BN mempercayai Ezam mampu melaksanakan tugas asasinya itu ialah pengalaman politiknya bersama parti lamanya.

Sebab itu hingga kini jawatan yang disebut mengiringi nama beliau ialah “bekas Ketua AMK”. Beliau seolah-olah sengaja mahu dikait dan digambarkan sebagai seorang yang sangat mengenali bekas partinya itu.

Lebih-lebih lagi umum mengetahui penglibatannya dengan dunia politik tanahair seiringan dengan imejnya sebagai orang kepercayaan Anwar. Jika tidak kerana Anwar yang mengambilnya menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan dulu dan kemudian memudahkan laluannya dalam hierarki kepimpinan Umno, barangkali Umno pun tidak kesah jika Ezam meninggalkan parti itu bersama Anwar dulu.

Jika tidak kerana Anwar yang mengiktiraf kesetiaan dan kewibawaan Ezam di era reformasi dulu, pada adatnya tidak mungkin anak muda itu sekelip mata mendaki puncak kegemilangan di pentas politik negara sedekad lalu. Popularitinya memuncak kerana isu pemecatan Anwar dari Umno dan kerajaan.

Tiada sebab lain Ezam naik mendadak dalam KeADILan melainkan kerana mendokong isu-isu pembelaan terhadap Anwar. Di masa sama Ezam turut mendapat dokongan Anwar selaku pelapis dipercayainya.

Ertinya, jika dikatakan Ezam pernah popular di kalangan pemimpin Umno suatu ketika dulu, kemudian disanjung selaku pemimpin muda yang oratik dan karismatik ketika bersama KeADILan, kesemua kelebihan dan keistimewaan itu adalah kerana hubungannya dengan Anwar.

Begitulah juga halnya setelah beliau keluar dari KeADILan. BN-Umno sama sekali tidak akan terliur meletakkan harga tinggi mendapatkan beliau untuk kembali menghentam bekas ketuanya itu jika tidak kerana pengalaman Ezam bersama Anwar sebelum ini.

Justeru, jika Ezam dari jenis manusia yang tahu berterimakasih dan terlintas mengucapkannya, maka orang paling layak ditujukan ucapan itu atas pelantikan beliau sebagai senator ialah tidak lain dari Anwar sendiri.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1537, 7 Mei 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment