Sunday, May 2, 2010

Rakyat hanya “pinjamkan” Hulu Selangor kepada BN

Oleh: Mohd Nasir Awang

Ada beberapa fakta menarik yang menguatkan hujah bahawa Barisan Nasional (BN) tidak harus terlalu gembira dengan kemenangannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor, Ahad (25 April) lalu. Meski pun berjaya merampas kembali kerusi tersebut dari penguasaan Pakatan Rakyat (PR), khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR), BN terbukti gagal dalam banyak aspek berkaitan pertarungan itu.

Dalam PRK itu calon BN-MIC, Kamalanathan a/l Panchanathan mengatasi calon PR-PKR, Datuk Zaid Ibrahim, dengan majoriti 1,725 undi. Kamala memperolehi 24,997 undi manakala Zaid mendapat 23,272 undi. Sejumlah 48,935 atau 75.87 peratus daripada 63,701 pemilih berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

PRK itu diadakan ekoran kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR akibat barah otak, 25 Mac lalu. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, Allahyarham mengalahkan Datuk Palanivel a/l K. Govindasamy dari MIC dengan majoriti hanya 198 undi. Beliau mendapat 23,177 undi, manakala Palanivel mengutip 22,979 undi.

Meski pun di atas kertas BN telah menang di Hulu Selangor, fakta-fakta mengiringi keputusan itu mengisyaratkan banyak perkara tidak menyenangkan, terutama kepada BN sendiri.

Pertama, kemenangan BN tidak dibayangi peralihan undi ketara antara kedua-dua parti. Perbandingan perolehan undi antara PRU lalu dan PRK itu menunjukkan undi BN melonjak sebanyak 2,018 undi. Bagaimana pun ia bukan disebabkan faktor undi lari dari parti lawan. Buktinya, undi PKR juga bertambah sebanyak 95 undi.

Biar pun tidak banyak, apa yang penting ia bukan kemerosotan undi buat PKR. Hakikat itu sekaligus menggambarkan bahawa segala kempen buruk dan strategi jahat BN gagal menghasut pengundi mengalih sokongan dari PR. Kekalahan PKR tidak melambangkan rakyat Hulu Selangor termakan dengan propaganda tidak bermaruah oleh jentera kempen BN.

Oleh itu BN tidak layak mendakwa kemenangannya kerana faktor-faktor kebaikan dan keprihatinan dicurahkannya atau bantuan segera yang tak semena-mena dihulurkannya ke kawasan itu sejak beberapa minggu lalu. Ia bukan kerana rakyat mengakui keikhlasan BN membantu mereka.

Kemenangan BN juga bukan tanda rakyat menerima konsep 1Malaysia, bukan kerana rakyat semakin mengiktiraf kepimpinan Dato’ Seri Najib Razak atau menerima agenda pemerintahannya.

Ia juga bukan kerana rakyat semakin susah dan melarat di bawah pemerintahan kerajaan negeri pimpinan PR. Jangan anggap ia petanda rakyat sudah serik dan menyesal menyokong PR-PKR lalu pengundi kembali mahukan BN.

Jauh sekali untuk mendakwa ia petanda kebangkitan semula BN untuk kembali menawan Selangor. Fakta kedua menyerlahkan hakikat itu, bilamana kejayaan BN merampas kerusi Parlimen itu turut melibatkan “trade-in” kerusi dengan PR di salah satu Dun di bawahnya. Fakta perolehan undi mengikut pecahan Dewan Undangan Negeri (Dun) menunjukkan undi PR mengatasi BN di Dun Kuala Kubu Baharu.

Parlimen Hulu Selangor mengandungi tiga Dun. Selain Kuala Kubu Baharu, dua lagi ialah Hulu Bernam dan Batang Kali. Dalam pilihan raya lalu ketiga-tiga kerusi berkenaan dikuasai BN.

Di Hulu Bernam, calon Umno menewaskan calon PAS dengan majoriti 3,549 undi. Di Batang Kali, calon Umno mengalahkan calon PKR dengan majoriti 2,179. Manakala di Kuala Kubu Baharu, calon MCA menundukkan calon DAP dengan majoriti hanya 448 undi.

Keputusan PRK minggu lalu bagaimana pun menunjukkan BN gagal mempertahankan penguasaannya di Kuala Kubu Baharu. Berdasarkan perkembangan itu, BN tidak boleh mendakwa kemenangan di Hulu Selangor sebagai petanda positif buatnya. Bagaimana ia mahu dianggap langkah ke arah kecemerlangan buat BN merintis jalan mengembalikan kuasanya di Selangor jika kerusi negeri miliknya pula terlepas ke tangan PR?

Apatah lagi undi kaum Cina yang semakin memihak PR dikatakan menjadi faktor utama kekalahan BN di Dun itu. Fakta itu juga tidak kurang memeningkan BN sehingga menyebabkan pemimpin tertingginya mengarahkan siasatan segera mengenalpasti mengapa kaum tersebut masih dan semakin menolak BN.

Mahu tidak mahu semua pihak, khususnya BN wajar menerima hakikat bahawa rakyat sebenarnya hanya “meminjamkan” kerusi Hulu Selangor kepadanya. Pinjaman itu bersifat sangat sementara, paling lama pun hanya sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13  nanti.

Berdasarkan fakta dan perkembangan yang mewarnai kempen dan mencorakkan keputusan PRK itu, tidak ada suatu sandaran yang meyakinkan bahawa BN mampu mempertahankan kemenangannya di Hulu Selangor dalam PRU akan datang.

Lebih-lebih lagi jika diambil kira betapa fokus kekuatan jentera dan kewangan BN ke kawasan itu dalam kempen PRU nanti tidak akan sama sepertimana tergambar sepanjang kempen PRK minggu lalu.

Justeru, tidak keterlaluan jika diandaikan Hulu Selangor bakal mengulangi catatan sejarah beberapa PRK sebelum ini. Antaranya di Dun Pengkalan Pasir, Kelantan dan Dun Ijok, Selangor, beberapa tahun lalu.

PRK Dun Pengkalan Pasir diadakan pada awal Disember 2005, manakala PRK Dun Ijok berlangsung pada hujung April 2007. Kedua-dua PRK itu berjaya dimenangi BN.

Namun ia terbukti hanya “pinjaman sementara” buat BN. Kegembiraannya atas kemenangan itu bertahan hanya sedikit melebihi dua tahun di Pengkalan Pasir dan tidak sampai setahun di Ijok. Usia kemenangan BN berakhir Mac 2008.

Dalam PRU ke-12 lalu, kedua-dua kerusi berkenaan ditawan PR dengan kemenangan besar. Rakyat di kedua-dua kawasan berkenaan seolah-olah hanya “meminjamkan” kerusi tersebut kepada BN buat sementara waktu.

Fenomena serupa tidak mustahil bakal berulang di Hulu Selangor dalam PRU akan datang. Kemenangan BN minggu lalu mungkin sekadar untuk memastikan janji-janji BN ditunaikan, mungkin juga kerana rakyat terdesak memenuhi keperluan kebendaan atau barangkali kerana mereka bosan dan tertekan oleh ugutan dan paksaan BN sewaktu berkempen.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0198, 2 Mei 2010 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment