Sunday, May 9, 2010

Psikologi politik pengundi Cina gusarkan BN di Sibu

Oleh: Mohd Nasir Awang

Berbekalkan kemenangan penuh gundah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor, 25 April lalu, tidak mustahil suasana lebih gulana menanti Barisan Nasional (BN) di Sibu, minggu depan. Sementara kejayaan dua minggu lalu itu dilihat tidak sepadan dengan penumpuan seluruh jentera dan peruntukan kerajaan Pusat, kemerosotan undi dari kaum Cina pula bukan sahaja memalukan BN, malah turut mengusutkan kebimbangan parti haru-biru itu untuk menghadapi PRK Sibu nanti.

Kaum Cina membentuk hanya 26.3 peratus atau 16,964 daripada 64,500 pengundi berdaftar di Hulu Selangor. Keputusan undi menunjukkan sokongan mereka kepada BN menjunam daripada 37 peratus pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 kepada hanya 28 peratus. Akibatnya, walau pun BN menang di Parlimen itu, ia kalah kiraan undi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Baharu.

Jika di Hulu Selangor faktor undi Cina dikenalpasti sekadar menghalang kejayaan lebih cemerlang buat BN, ada kemungkinan kecenderungan mereka memihak pakatan pembangkang itu bertukar menjadi igauan ngeri bagi BN di Sibu nanti. Di sana mereka adalah majoriti. Jumlah 36,389 pengundi Cina membentuk 66.7 peratus daripada 54,695 pengundi berdaftar.

Mengambilkira psikologi politik kaum Cina di Sibu tidak jauh berbeza dengan rakan mereka di Hulu Selangor, BN ada sebab sangat munasabah untuk gusar. Tidak sepertimana sifat pengundi Bumiputera, sama ada Iban, Melanau atau Melayu yang dikatakan mudah berubah sikap dengan kunjungan dan santunan peribadi pemimpin BN, kaum Cina dilihat lebih teguh pendirian politik mereka.

Jika pengundi Bumiputera mudah melupakan pahit-getir hidup akibat kegagalan BN menyelesaikan masalah mereka puluhan tahun dengan penyelesaian serta-merta, pemberian bantuan tak semena-mena atau pelaksanaan projek segera ketika kempen, kaum Cina sebaliknya menganggap perlakuan BN itu seolah-olah menjatuhkan taraf mereka seumpama peminta sedekah.

Itulah natijah yang disimpulkan dari penolakan kaum Cina terhadap BN di Hulu Selangor. Mereka dikatakan terguris dengan strategi kempen BN yang tiba-tiba menunjukkan keprihatinan luar biasa di saat kempen. Sikap pura-pura yang terlampau itu akhirnya menjerat BN sendiri.

Kesilapan di Hulu Selangor itu membuatkan BN buntu mencari strategi terbaik berhadapan pengundi di Sibu, terutama kaum Cina. Apatah lagi kecenderungan mereka menarik balik sokongan terhadap BN dapat diamati menerusi kemerosotan undi diperolehi parti itu dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini.

PRK Parlimen Sibu diadakan ekoran kematian penyandangnya, Dato’ Robert Lau Hoi Chew akibat barah pada 9 April lalu. Tarikh penamaan calon ditetapkan pada 8 Mei, manakala hari pengundian pada 16 Mei.

Pada PRU lalu, mendiang yang juga Naib Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mengalahkan calon DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk kemenangan penggal kelima berturut-turut. Lau memperolehi 19,138 undi berbanding calon DAP, Wong Ho Leng yang mendapat 15,903 undi. Calon PKR, Lim Chin Chuang mengutip hanya 812 undi.

Meski pun kejayaan itu membuktikan pengaruh peribadi Lau masih kuat, ia juga menunjukkan kemerosotan berbanding rekod pencapaiannya di penggal-penggal sebelum itu. Lau mencapai rekod terbaik kemenangannya dengan 9,142 undi majoriti pada 1999.

Bagaimana pun pada 2004, majoriti kemenangannya merosot hampir dua pertiga kepada hanya 3,340 undi. Pada pilihan raya lalu ia merosot lagi kepada 3,235 undi.

Pola itu seakan memberi gambaran bahawa populariti BN di situ semakin merosot. Hakikat itu dikukuhkan lagi dengan perubahan sealiran dalam perolehan undi BN di peringkat Dun-Dun. Parlimen Sibu mengandungi tiga kerusi Dun, iaitu Bawang Assan, Pelawan dan Nangka.

Perbandingan antara keputusan Pilihan Raya Negeri 2006 dan 2001 jelas menunjukkan kemerosotan ketara majoriti diraih BN di setiap Dun berkenaan. Di Bawang Assan, BN-SUPP menang ke atas DAP pada 2006 dengan majoriti 2,504 undi, merosot lebih 4,500 undi berbanding 7,096 pada 2001.

Begitu juga di Pelawan, BN-SUPP kalahkan DAP dengan majoriti tipis hanya 263 undi pada 2006. Ia kemerosotan sangat banyak berbanding 8,445 undi majoriti pada 2001.

Manakala di Nangka, calon BN-PBB menewaskan calon PKR dengan majoriti 4,815 undi berbanding 7,005 undi (2001). Ertinya kemenangan di tiga Dun itu tidak boleh memberi jaminan kekuatan meyakinkan buat BN minggu depan.

Apatah lagi dari sejarah kewujudannya, kerusi Parlimen Sibu tidak dimiliki seratus peratus oleh BN. Sejak 1969, kali pertama pilihan raya secara langsung setelah Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia, BN pernah dikalahkan sebanyak dua kali, selain pernah juga menang dengan majoriti amat tipis.

Pada 1969, Sibu dikuasai SUPP, ketika itu masih parti pembangkang. BN (ketika itu Perikatan Sarawak) kalah dengan majoriti 4,095 undi. Kemenangan memihak BN pada 1974 dan 1978, setelah SUPP menyertai BN.

Namun kejayaan itu terputus pada 1982. DAP yang buat pertama kali meletakkan calon di situ berjaya merampasnya dari tangan BN. Pada pilihan raya berikutnya (1986) BN menguasai semula Sibu, tetapi dengan majoriti hanya 546 undi.

Kejayaan BN mempertahankannya sejak itu bagaimana pun tidak boleh dijadikan sandaran kukuh. Kemerosotan undi majoriti diraihnya saban pilihan raya boleh dianggap petanda kemerosotan populariti BN.

Tambahan pula kini wujud kesepakatan antara DAP dan PKR untuk berdepan BN secara ‘satu lawan satu’. Andaikan undi diperolehi calon PKR dulu (812) kesemuanya beralih kepada DAP, majoriti BN hanya tinggal 2,423 undi.

Ertinya di atas kertas Sibu tidak menjaminkan keselesaan buat BN. Kelebihan di bawah 3 ribu undi untuk kerusi Parlimen bukan lah margin yang meyakinkan. Apatah lagi bagi sebuah kerusi bermajoriti kaum Cina, yang memiliki psikologi politik yang amat memeningkan BN, seperti Sibu ini.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0199, 9 Mei 2010 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment