Friday, May 28, 2010

Siapa dalang di belakang Mugilan desak Samy undur?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Hanya Dato’ Seri S. Samy Vellu sendiri yang lebih tahu siapa dan apakah yang telah berjaya melembutkan pendirian kerasnya sehingga menyebabkan beliau menyatakan kesediaan berundur dari jawatan Presiden MIC.

Dalam kenyataannya kepada media, 18 Mei lalu, Samy Vellu memaklumkan hasratnya melepaskan jawatan disandangnya lebih 31 tahun itu sebelum tempohnya berakhir Mei 2012.

“Saya akan melepaskan jawatan (Presiden MIC) lapan atau sembilan bulan sebelum penggal berakhir dan saya sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak,” katanya.

Pengumuman itu agak mengejutkan memandangkan sebelum ini Samy Vellu diketahui amat tegas menolak sebarang usaha mengundurkan beliau dari kerusi tertinggi parti itu. Bahkan, beberapa pemimpin yang pernah mencabar beliau berakhir dengan penyisihan dari kepimpinan MIC.

Itulah yang pernah dialami bekas Naib Presiden MIC, mendiang Tan Sri M.G. Pandithan yang akhirnya dipecat dari parti. Bekas Timbalan Presiden MIC, Dato’ S. Subramaniam pula gagal mempertahankan kedudukannya apabila Samy Vellu secara terbuka mengisytiharkan Subra sebagai musuh politiknya.

Samy Vellu mula memangku jawatan Presiden MIC pada 1979 ekoran kematian penyandangnya, Tan Sri V. Manickavasagam. Pada pemilihan parti dua tahun kemudian, beliau disahkan sebagai presiden dan kekal menyandangnya hingga kini.

Pengaruh dan kuasa politik Samy Vellu dalam segenap peringkat organisasi MIC amat mencengkam. Jarang ada pemimpin parti itu berani menyanggah pendirian dan keputusan dibuatnya.

Dalam kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) pula, suara Samy Vellu dianggap pemutus bagi segala perkara berkaitan masyarakat India. Bahkan, usaha beberapa parti kecil kaum India seperti IPF dan Kimma untuk ikut menyertai BN digagalkan oleh Samy Vellu menerusi kuasa vetonya.

Namun selepas kemunculan Hindraf sejurus sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, kuku dan taring Samy Vellu dikatakan mula hilang bisanya. Tidak sedikit dari masyarakat India secara terbuka menolak MIC dan mengecam kepimpinannya.

Kecenderungan itu diterjemahkan menerusi peti undi. MIC ditolak rakyat pada pilihan raya itu. Ia kalah di enam kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) ditandinginya. Paling memalukan ialah apabila Samy Vellu sendiri gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput yang dimenanginya sejak 1974.

Berikutan itu, MIC berdepan kecaman hebat dari pelbagai peringkat BN. Prestasi buruk parti itu dikatakan antara punca BN gagal memperolehi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Samy Vellu sendiri selain hilang jawatan Kabinetnya turut dihujani desakan agar melepaskan jawatan presiden parti. Suara-suara menuntut reformasi dan perubahan kepimpinan dalam MIC berkumandang, terutama di kalangan para pendukung BN sendiri.

Apabila mantan Presiden Umno, Tun Abdullah Ahmad Badawi tunduk kepada desakan agar berundur dan menyerahkan jawatan itu kepada Najib, ia bagaikan isyarat kepada parti-parti komponen lain ikut berbuat serupa. Mereka diseru agar mencontohi langkah perubahan dilakukan Umno itu.

MIC (maksudnya Samy Vellu) antara yang menjadi sasaran gesaan itu. Malangnya, beliau hanya buat ‘pekak badak’ atau ‘lembu kenyang’. Beliau kekal dengan pendirian kerasnya menolak desakan itu. Samy Vellu membuktikan dirinya bukanlah pemimpin yang mudah mengaku kalah atau tunduk kepada sebarang desakan.

Tidak semua pemimpin komponen BN, khususnya Umno dapat menerima baik keengganan beliau melayan tuntutan itu. Bagi mereka selagi MIC kekal diterajui bekas Menteri Kerja Raya itu maka selagi itu sokongan kaum India terhadap BN sukar dipulihkan.

Sebab itu pengumuman Samy Vellu untuk berundur antara Ogos atau September 2011 disambut bagaikan pucuk dicita ulam mendatang buat sebilangan pemimpin BN. Malah keghairahan mereka melihat hasrat itu direalisasikan lebih cepat seakan gagal disembunyikan.

Jalan cerita pernah dialami Tun Abdullah selepas mengumumkan pelan peralihan kuasa dulu seakan cuba diulangi ke atas Samy Vellu. Abdullah yang pada asalnya menyatakan hasrat berundur pada 2010 dipaksa mempercepatkan peralihan itu ekoran desakan bertubi-tubi sebilangan anak buahnya sendiri.

Keadaan serupa kini menimpa Samy Vellu. Beliau didesak agar tidak menunggu tahun depan, sebaliknya menyerahkan segera jawatan Presiden MIC kepada penggantinya.

Pada zahirnya yang menjuarai desakan tersebut ialah Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan. Malah media kroni BN memetik katanya, Samy Vellu “kini menjadi beban kepada parti dan BN”.

Ekoran desakan itu, Mugilan dipecat dari MIC. Samy Vellu bagaimana pun mendakwa pemecatan itu kerana beliau melanggar kepentingan parti pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, 25 April lalu.

Boleh jadi apa dimaksudkan Samy Vellu itu ialah kerana Mugilan mencabar satu-satunya nama dicalonkan partinya. Diketahui umum MIC hanya mencalonkan Timbalan Presidennya, Dato’ G. Palanivel, manakala nama Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor itu dipertahankan pemimpin Umno.

Ertinya, jika kesediaan Mugilan melawan keputusan partinya dalam cubaan mewakili BN di Hulu Selangor itu disokong pemimpin Umno, apakah tidak mungkin kelantangannya mendesak Samy Vellu segera berundur kini juga didalangi pihak yang sama?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1543, 28 Mei 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk serupa. Ia dipetik laman detikdaily.net pada 2 Jun, diikuti kerabubersuara.blogspot.com/ pada 3 Jun 2010)

No comments:

Post a Comment