Monday, April 26, 2010

Mansuh PRK tutup peluang pemimpin berlakon?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Menjadi gurauan sinis di dalam masyarakat luar bandar di kebanyakan tempat dalam negara kita bahawa cara terbaik menuntut kerajaan segera mengatasi kekurangan kemudahan awam atau memperbaiki prasarana utama di kampung mereka ialah dengan mengharapkan pilihan raya kecil (PRK) di kawasan berkenaan. Sehinggakan antara mereka ada yang berseloroh, “kalau macam tu, kita kena pakat-pakat doa biar wakil rakyat kita matilah!”.

Meski pun ungkapan itu ditutur secara humoris, ia sebenarnya turut menyimpan realiti pincang berhubung tahap keprihatinan kerajaan terhadap penderitaan rakyat. Semacam suatu persendaan bahawa kesungguhan pemimpin menyelesaikan kebutuhan rakyat hanyalah bermusim.

Hanya dengan kehadiran pilihan raya segala rintihan dan tuntutan mereka akan diberikan perhatian serius. Tahap keprihatinan pihak-pihak bertanding, terutama parti pemerintah, tiba-tiba mencanak tatkala berlaku sesebuah pilihan raya.

Lebih-lebih lagi jika ia pilihan raya kecil. Tidak sebagaimana pilihan raya umum bila mana masing-masing pihak di serata tempat menumpukan gerakerja di kawasan sendiri, pada PRK mata dan telinga seluruh negara tertumpu hanya ke sesuatu kawasan tertentu.

Apa juga kebaikan dibuat pemimpin ketika itu tidak akan terlepas dari rakaman lensa dan laporan media. Maka berlumba-lumbalah mereka mempamerkan kebaikan dan keprihatinan terhadap rakyat.

Bukankah begitulah realitinya? Sebab itu jika selama empat atau lima tahun penduduk naik muak merungut jalan masuk ke kampung mereka berlopak atau berdebu, pihak berkuasa boleh buat-buat pekak badak. Sebaliknya, dengan adanya pilihan raya, masalah itu lenyap dalam masa tidak sampai seminggu.

Bahkan, dalam banyak keadaan, perkara yang tidak diminta penduduk pun tak semena-mena diluluskan peruntukan mengadakannya. Bukan setakat kelulusan, malah kerja-kerja merealisasikannya juga serta-merta dilakukan, kekadang tanpa mengira siang atau malam. Projek segera lah, katakan!

Meski pun sinis, perlu diterima bahawa itulah realiti terpaksa dihadapi rakyat. Sebab itu para penduduk yang dahagakan keprihatinan pemerintah dan golongan fakir-miskin yang sering mengharapkan bantuan lebih mencurah sudah tentu amat berharap berlakunya PRK di tempat mereka.

Mereka tahu itulah peluang mahu melihat rumah yang robek segera diperbaiki, anak-anak sekolah tidak cukup perbelanjaan dihulurkan sumbangan, orang kurang upaya yang tidak pernah dijenguk-silau tiba-tiba diberikan bantuan dan segala bentuk kekurangan hidup disantuni para pemimpin.

Dari persepktif itu, kita rasa idea atau cadangan Naib Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man agar PRK dimansuhkan besar kemungkinan tidak diterima golongan terbabit. Pesuruhjaya PAS Pahang itu beberapa hari lalu menggesa kerajaan mengkaji kemungkinan menghapuskan PRK, mengambilkira faktor ekonomi, keselamatan dan integriti dalam masyarakat.

Katanya, dengan siri PRK selepas pilihan raya umum lalu, banyak wang dan masa yang sepatutnya ditumpukan kepada agenda pembangungan negara terganggu akibat proses politik itu.

“Walau pun proses demokrasi (pilihan raya) itu baik, tidak semestinya tidak boleh diubah. Cuba bayangkan berapa wang dihabiskan, di samping petugas parti keletihan (kerananya). Saya diberitahu kos bagi 20 PRK boleh menampung satu pilihan raya umum,” ujarnya.

Selain itu, katanya, wujud ketegangan kepada pengundi dan penduduk setempat gara-gara kempen parti-parti bertanding. Rasuah juga menyubur dalam berbagai bentuk janji dan umpan pilihan raya.

“Meneliti pelbagai kesan dari PRK, apakah masih wajar kita meneruskan sistem ini atau kita fikirkan kaedah baru dengan memberikan mandat parti yang menang pilihan raya umum menggantikan kekosongan tersebut?,” lontar beliau.

Dari perspektif membendung kesan negatif sebegitu, idea Tuan Ibrahim itu wajar dipertimbangkan. Selain banyak wang dan masa dihabiskan, sedangkan agenda pembangunan terganggu, sesebuah PRK turut menyemai nilai buruk dalam masyarakat.

Ia bukan sahaja menggalakkan amalan rasuah dan hipokrasi, malah turut menyuburkan taktik dan strategi kempen yang busuk dan tidak bermaruah. Di antara kecenderungan sebegitu ialah taktik menyerang peribadi calon, sepertimana kini terserlah di Hulu Selangor.

Namun politik tetap politik dan penentuan masa depan PRK tetap di tangan Barisan Nasional (BN). Di sebalik segala pro dan kontra berhubung kewajaran mengadakan PRK itu, penilaian utama di pihak BN tentu sekali atas sejauh mana ia boleh menguntungkan parti itu.

Tidak syak lagi pemimpin pertengahan dan bawahan BN antara pihak paling membantah dimansuhkan PRK. Mana tidaknya, itulah peluang golongan oportunis ini mengisi poket, terutama dengan mengsonglap peruntukan aktiviti kempen disalurkan parti menerusi mereka.

Para pemimpin hipokrit pula akan terlepas peluang menjadi pelakon jika tiada PRK. Tiada lagi peluang mereka beraksi di depan lensa media menunjukkan sikap mesra rakyat. Banyak aksi sebegitu kita lihat sebelum ini. Ada yang tolong menebar roti canai, menggoreng pisang dan menoreh getah. Pusing kampung pula naik basikal, konon menyelami keperitan hidup rakyat.

Kalau tidak ada PRK, mana ada peluang tokoh politik macam ini memperbodohkan rakyat dengan lakonan mereka?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1534, 26 April 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment