Monday, April 12, 2010

BN perlu dikalahkan untuk akui kelemahan dirinya

oleh: Mat Zain Mat Isa

Baguslah para pemimpin Barisan Nasional (BN) Selangor nampaknya sudah insaf tentang kelemahan diri mereka sendiri. Sama ada keinsafan dan penyesalan itu terbuak dari keikhlasan mereka memuhasabah diri, atau sekadar memenuhi agenda peribadi sebilangan pihak menyalahkan pihak lain di kalangan sesama pemimpin BN, adalah suatu hal yang tertakluk kepada andaian dan pengamatan berbeza.

Apa yang pasti, BN sendiri secara gentlemen tidak mengaitkan kesemua penyebab kekalahannya di negeri itu dengan sebarang konspirasi atau manipulasi politik parti lawan. Tiada disebutkan bahawa ia kalah kerana rakyat tertipu dengan putar belit atau terpedaya dengan janji manis pembangkang. BN mengakui ia adalah semata-mata faktor kelemahan dalaman parti itu sendiri.

Konvensyen BN Selangor pada 7 April mengenalpasti enam punca utama ia gagal mengekalkan kemenangan di negeri itu, Mac 2008. Disedari atau tidak, tiga daripada kelemahan itu berhubungkait dengan konflik atau ketidak serasian antara para pemimpin dan pendokong BN sendiri. Manakala tiga lagi merujuk kegagalan kaedah atau pendekatan digunapakai parti itu dalam berhadapan rakyat.

“Punca pertama ialah prinsip muafakat yang diamalkan (dalam BN) selama ini mula bertukar menjadi konflik yang membawa mudarat, terutama di kalangan parti komponen BN itu sendiri,” akui Pengerusi konvensyen, Dato’ Seri Mohd Zin Mohamed.

Katanya, punca kedua pula ialah apabila usaha yang sepatutnya dilakukan untuk menjuarai isu rakyat beralih haluan kepada tindakan memperjuangkan kaum kerabat sendiri.

Ada pihak menafsirkan istilah “kaum kerabat” itu sebagai merujuk kepada kaum-kaum yang diperjuangkan oleh setiap parti komponen BN. Oleh kerana sebahagian besar parti-parti itu wujud atas sentimen dan perjuangan kaum masing-masing, maka natijah buruk terhadap BN tidak sukar ditelah. Keghairahan setiap parti mencapai matlamat kewujudan masing-masing akhirnya membawa padah.

Jika itulah yang sebenarnya dimaksudkan pengakuan BN Selangor itu, maka ia mengesahkan bahawa BN sememangnya sebuah parti yang didokongi puak-puak yang “tidur setilam tapi mimpi berlainan”.

Istilah “kaum kerabat sendiri” itu juga boleh difahami bermaksud kroni atau suku-sakat. Tafsiran ini juga boleh diterima, memandangkan amalan kronisme diakui suatu penyakit yang membarah di kalangan para pemimpin BN di semua peringkat. Ia juga salah satu punca rakyat naik jelak dan jijik terhadap parti itu.

“Punca lain ialah pergolakan dalaman BN lebih dijadikan tumpuan berbanding usaha membina kekuatan parti,” sambung Mohd Zin lagi.

Bekas Menteri Kerja Raya yang tidak disambung perkhidmatannya oleh Perdana Menteri itu turut mengakui khidmat dan pendekatan BN yang lebih bercorak eksklusif dan tidak inklusif juga menjadi punca ia ditolak rakyat. Apakah itu bermaksud BN masih belum boleh mengaku ia benar-benar “mesra rakyat”?

Manakala punca lain ialah apabila BN ketinggalan dalam memanfaatkan teknologi maklumat yang ditaja dan diperkenalkannya sendiri.

Sebetulnya itulah apa yang didakwa banyak pihak sebelum ini. Bahawa BN tidak begitu menampakkan kesungguhan menjayakan apa yang dilancar atau diwujudkannya sendiri. Bahkan, dalam banyak keadaan ia sering ketinggalan berbanding parti lawan dalam usaha menjayakannya.

Selain teknologi maklumat, contoh lain ialah apabila BN memperkenalkan perbankan Islam. Di awal kewujudannya, hanya Bank Islam yang ada. Ketika itu amat payah untuk melihat mana-mana peringkat organisasi Umno membuka akaun di Bank Islam. Mereka lebih berminat menyimpan di bank-bank konvensional.

Parti politik paling terkedepan memanfaatkan kewujudan Bank Islam ialah PAS. Sikap hipokrit Umno itu terdedah apabila PAS merampas Kelantan pada 1990 dan mengalihkan deposit tetap kerajaan negeri ke Bank Islam. Rupa-rupanya BN, khususnya Umno, hanya tahu berbangga memperkenalkan itu dan ini, tetapi ia sendiri tidak bersungguh menjayakannya.

Keadaan serupa berlaku di awal penubuhan Universiti Islam dulu. Para pemimpin PAS dikatakan jauh lebih bersungguh menghantar anak-anak mereka melanjutkan pengajian ke institusi Islam itu berbanding para pemimpin BN, khususnya Umno sendiri.

Namun pantang bagi BN mengakui kelemahan atau kesilapannya itu. Setiap kali fakta-fakta itu disuarakan mana-mana pihak, ia akan menganggapnya sebagai mainan politik pembangkang untuk memburukkan BN.

Sebab itu apabila pembangkang membangkitkan amalan kronisme di kalangan penguasa pemerintahan, BN tidak pernah bersedia menerima atau sekurang-kurangnya memperhalusi dakwaan parti lawan itu.

Begitu juga apabila pembangkang membangkitkan soal perpecahan dalaman BN yang semakin parah, BN lebih selesa memulangkan paku buah keras terhadap parti lawannya.

Samalah juga apabila pembangkang mendakwa sokongan golongan muda telah beralih arah kepada mereka, BN memperlekehkannya dan menganggapnya sekadar gimik politik pembangkang.

Kini Konvensyen BN Selangor mengakui kebenaran segala dakwaan itu. Punca keenam kegagalannya mempertahankan kemenangan ialah kerana BN tidak memahami aspirasi pengundi muda.

Nampaknya BN menunggu menjadi parti kalah, baru ia bersedia menilik ke dalam dirinya dan mengakui kelemahan sendiri. Jika begitu, elok rakyat kalahkan BN di negeri-negeri lain juga.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1530, 12 April 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment