Friday, September 2, 2005

Terengganu Bestari undang ‘bunuh diri’?


Oleh: Anuwa Jamalullail

HASRAT kerajaan Terengganu melahirkan generasi pelajar yang bestari patut dialu-alukan. Mewujudkan Sekolah Bestari, Tadika Bestari, dan lain-lain institusi pendidikan sejenama wajar diberikan sokongan dan dokongan.

Bagaimana pun, mencapai hasrat itu tidak semudah meuar-uarkannya lewat ucapan politik dan media massa. Lebih-lebih lagi apabila media yang sama turut melaporkan kejadian yang sekali gus mempertikai status ‘bestari’ yang dilaungkan ini.

Awal Ogos lalu, dua kes besar membabitkan pelajar di Terengganu mendapat perhatian media, iaitu kes lima pelajar membelasah rakan sekolah dan kes seorang pelajar membakar kereta gurunya.

Kes pertama berlaku pada 6 Ogos lalu. Sekumpulan pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Jerangau, Dungun, membelasah seorang pelajar sekolah itu sehingga mangsa terpaksa dimasukkan ke hospital. Kelima-limanya ditahan polis dan mengaku melakukan kesalahan.

Lembaga Disiplin sekolah itu mengambil keputusan membuang mereka dari sekolah. Tindakan itu dipersetujui Pengarah Pelajaran Terengganu, Datuk Mohamad Che Hamid. “Dalam soal disiplin, kita menyokong penuh tindakan itu dan tidak akan campur tangan”, katanya.

Kenyataan itu sekaligus sebagai perakuan tindakan ganas lima pelajar itu adalah di luar daripada acuan ‘bestari’ yang diidam-idamkan kerajaan.

Kes kedua pula melibatkan seorang pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Negara, Kuala Terengganu. Pelajar itu dikatakan berang terhadap guru sainsnya yang sering menegurnya agar memberikan perhatian kepada pelajaran. Ia bertindak membakar kereta Proton Wira milik guru itu di Kampung Tok Ku pada malam 8 Ogos lalu.

Selang 24 jam kemudian, pelajar yang sama cuba membakar kereta Mercedes-Benz milik pengetua sekolahnya pula di rumah pengetua itu di Gong Badak, 10 km dari Bandar Kuala Terenggganu. Pelajar itu bagaimana pun berjaya ditangkap pengetuanya.

“Ketika ditangkap, bekas pelajar saya itu juga mengaku membakar kereta Proton Wira milik guru sains semalam dan pagi tadi mahu membakar kereta Mercedes saya pula”, kata pengetua itu.

Pelajar berkenaan kemudiannya diserahkan kepada polis, dan ditahan reman selama enam hari. Beliau akan didakwa atas kesalahan membakar harta orang.

Sudah tentu tindakan jenayah itu terlalu jauh untuk dikategorikan sebagai ‘bestari’. Bahkan, perilaku seburuk itu belum pernah dilaporkan berlaku walau pun di zaman ‘Terengganu Belum Bestari’ sebelum ini.

Sebilangan pelajar dan remaja kini nampaknya semakin singkat akal. Dalam banyak hal, mereka tidak mampu membezakan antara yang baik dengan yang buruk. Acapkali mereka tidak dapat mengawal emosi, lantas bertindak melulu.

Akhlak dan moral mereka terlalu rendah. Rasa hormat kepada orang tua sudah pudar. Ikatan agama dalam kehidupan amat longgar. Apa yang diutamakan hanyalah kepentingan dan kepuasan diri sendiri. Keadaan mereka tidak ubah seperti ungkapan orang tua-tua ‘yang diminta mesti diberi, yang dikehendaki mesti diperolehi’.

Pemikiran inilah yang mendorong peningkatan ketara kes jenayah dan moral di kalangan pelajar dan remaja kini. Kes-kes kecurian motosikal, lumba haram, pecah rumah, laku-musnah harta awam (vandalisme), laku sumbang, bergaduh, melucah dan lepak sudah jadi lumrah di kalangan remaja kita.

Kini, satu lagi siri jenayah baru muncul di Terengganu. Bunuh diri. Satu demi satu kes berkenaan berlaku dalam beberapa bulan ini. Sehingga rencana ini ditulis, sudah tiga kes pelajar menggantung diri diketahui berlaku. Dua kes pertama berlaku di Besut, manakala kes terakhir di Setiu.

Dalam kes pertama, seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Pelagat ditemui mati tergantung di rumah neneknya di Kampung Lak Lok.

Tidak dapat dipastikan punca sebenar beliau mengambil tindakan bodoh itu. Bagaimana pun, cakap-cakap orang kampung mengatakan di hari-hari terakhir sebelum kejadian itu, pelajar berkenaan menunjukkan sikap ganas tidak menentu, termasuk menyerang dan menumbuk rakan-rakan karibnya tanpa sebab. Beliau dikatakan menghadapi tekanan perasaan dan gangguan mental.

Kes kedua berlaku kira-kira sebulan selepas kes pertama tadi. Seorang pelajar lelaki, juga dari sekolah yang sama, turut menggantung diri bagi menyelesaikan ‘masalah besar’ yang dihadapinya. Tidak dapat dipastikan apakah ‘masalah besar’ itu, selain hanya teguran dan rungutan ibubapa terhadap beberapa tabiatnya.

Inilah di antara kecenderungan anak-anak zaman sekarang. Tabiat dan sikap ego dirinya terlalu tinggi. Tidak boleh ditegur atau dilarang. Jauh sekali untuk dimarah atau dipukul. Apakah lagi yang dapat dilakukan oleh ibubapa dalam mendidik anak-anak selain menegur, melarang, memarahi atau memukul, tatkala perlu?

Kes ketiga berlaku pada 11 Ogos lalu, juga berselang sebulan selepas kejadian sebelumnya. Seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ibrahim, Setiu dijumpai mati tergantung pada dahan pokok rambai tidak jauh dari rumahnya.

Anak kesembilan daripada 13 beradik itu dikatakan tiada mempunyai apa-apa masalah dengan mana-mana ahli keluarga atau rakannya. Cuma terdapat andaian bahawa beliau merasa rendah diri kerana dikatakan ‘paling tidak cerdik’ dalam akademik di kalangan adik-beradiknya. Itu sahaja! Maaf cakap, tindakan menggantung diri itu mengesahkan beliau memang anak yang ‘paling tidak cerdik’.

Harapan kita biarlah kes-kes seperti ini tidak menular menjadi trend baru di kalangan pelajar kita. Membunuh diri bukan sahaja berlawanan dengan konsep ‘bestari’, malah turut mengundang bala dan laknat Ilahi.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 2-15 September 2005 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment