Friday, September 16, 2005

Rakyat tetap terbeban


4 langkah segera hanya mahu mengalih isu
 
Oleh: Mohd Nasir Awang

LANGKAH kerajaan mengumunkan tindakan segera bagi ‘meringankan beban rakyat’, amat dialu-alukan. Empat langkah itu dirasakan bakal memberi sedikit kesan positif terhadap kewangan rakyat, walau pun hakikatnya matlamat ‘meringankan beban’ itu masih boleh dipersoalkan.

Kerajaan pada 7 September lalu mengumumkan empat langkah ‘meringankan beban rakyat’, terutama golongan berpendapatan rendah. Pertama, potongan cukai jalan kepada beberapa jenis kenderaan, iaitu semua kenderaan komersial diturunkan 25 peratus, bas sekolah dan bas berhenti-berhenti diturunkan daripada RM10 setahun kepada RM2 setahun.

Kenderaan persendirian kurang 1000cc diturunkan kepada hanya RM30 setahun, manakala bagi 1000cc hingga 1600cc dipotong 50%. Motosikal 151cc hingga 250cc diturunkan sebanyak 50%. Semua potongan tersebut berkuatkuasa mulai 12 September 2005.

Termasuk dalam empat langkah itu juga ialah janji kerajaan untuk tidak akan menaikkan harga petrol, diesel dan gas memasak sehingga akhir tahun ini. Manakala bagi pengguna lebuh raya bertol, jaminan kerajaan ialah tiada kenaikkan kadar tol bagi tahun ini dan tahun depan.

Ada pun langkah keempat ialah janji kerajaan untuk menambah kadar bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada orang tua, daif, anak yatim, golongan miskin, keluarga yang hilang mata pencarian, uzur, cacat atau berpenyakit.

Apabila diselami secara halus, kesemua langkah tersebut masih agak jauh untuk dikatakan menepati matlamat ‘meringankan beban’ itu. Cuba kita perbahaskan beberapa pemerhatian mengenai langkah itu.

Pertama, beban sebenar bagi pemilik kenderaan bukannya cukai jalan. Cukai berkenaan hanya perlu dibayar sekali dalam setahun, atau sekerap sekali sebulan bagi kenderaan komersil diesel. Sedangkan bebanan harian yang memakan kos jauh lebih tinggi ialah bagi bahan bakar (petrol dan diesel).

Kerajaan sekadar berjanji tidak akan menaikkan harga bahan bakar. Perlu diingat ‘tidak menaikkan’ harga tidak sama dengan ‘menurunkan’ harga. Sedangkan tujuan langkah tersebut ialah untuk ‘meringankan beban’ yang sedang ditanggung rakyat. Soalnya, bagaimana beban dapat ‘diringankan’ sedangkan pengumuman yang dibuat itu bukannya melibatkan ‘penurunan semula’ harga bahan bakar?

Dalam ertikata lain, jumlah kos minyak yang terpaksa dibelanjakan rakyat tetap serupa, sama ada sebelum atau selepas pengumuman tersebut. Betul tak?

Kedua, jaminan tidak menaikkan harga tiga bahan bakar itu hanyalah sehingga akhir tahun ini. Kita kini sudah berada di bulan September. Ertinya, tempoh ‘akhir tahun’ itu hanyalah kurang empat bulan dari sekarang. Kemungkinan, setelah bermula tahun baru nanti, harga minyak akan dinaikkan lagi. Maka, apalah ertinya langkah ‘meringankan beban’ jika hanya sempat dikecapi tidak sampai empat bulan?

Ketiga, selain cukai jalan yang diisytiharkan potongannya itu, yang turut membebankan pemilik kenderaan ialah bayaran premium polisi insuransnya. Bagi sebilangan kenderaan, kos premium insurans ini lebih tinggi daripada cukai jalannya. Bermula Julai lalu, bayaran premium insurans bagi berbagai kenderaan telah dinaikkan antara 25 hingga 100 peratus.

Sebagai contoh, mari kita perincikan kos memperbaharui cukai jalan motosikal kapasiti 70cc. Motosikal ini dirasakan menjadi kenderaan paling popular di kalangan rakyat berpendapatan rendah.

Cukai jalan bagi motosikal jenis ini dimansuhkan sejak beberapa tahun lalu dan digantikan dengan caj perkhidmatan kaunter RM2.00. Bagaimana pun, bayaran premium insuransnya dikekalkan. Di Malaysia, polisi insurans wajib dibeli sebelum sesuatu kenderaan dibenarkan memperbaharui slip cukai jalannya.

Sebuah motosikal Honda C70 buatan tahun 1992 dengan insurans pihak ketiga untuk tahun kedua, bayaran premiumnya ialah RM32.40. Caj untuk semua penunggang (all rider) dikenakan tambahan RM16.20. Jumlah kasarnya ialah RM48.60.

Apabila ditolak potongan Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD) sebanyak 15 peratus, jumlah itu menjadi RM41.31. Manakala bayaran Duti Setem sebanyak RM10.00 menjadikan jumlah perlu dibayar ialah RM51.31 (tidak termasuk RM2 untuk caj kaunter).

Bagaimana pun, dengan kenaikan premium insurans sebanyak 100 peratus, bayaran yang sepatutnya dikenakan RM48.60 sudah menjadi RM 97.20. Setelah dikira potongan NCD dan Duti Setem, jumlah kena dibayar ialah RM92.62 iaitu RM41.31 lebih mahal daripada sebelumnya.

Cukai jalan bagi motosikal tersebut sebelum ianya dimansuhkan ialah RM50 setahun. Ertinya, walau pun cukai jalan telah dikecualikan, penjimatan sebenar hanyalah RM8.69 setahun. Apalah sangat yang dapat dibeli oleh rakyat dengan wang sebanyak itu?

Kerajaan juga mengumumkan tidak akan menaikkan kadar tol lebuh raya bagi tahun ini dan tahun depan. Sebagaimana harga minyak tadi, kadar tol juga ‘tidak dinaikkan’ dan bukannya ‘diturunkan’. Ertinya, langkah kerajaan itu hanya ‘tidak menambah beban’ dan bukannya ‘meringankan beban rakyat’.

Kesimpulannya, pengumuman empat langkah tadi pada hakikatnya adalah langkah mengalihkan perhatian rakyat daripada permasalahan sebenar, iaitu bebanan hidup ekoran kenaikan harga minyak dan lain-lain kos kehidupan. Rakyat yang terbeban masih tetap terbeban.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 16-29 September 2005 di kolum tetap ‘PERSPEKTIF’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment