Friday, September 2, 2005

‘Baru bina, sudah rosak’


Oleh: Mohd Nasir Awang

PENDEDAHAN sebuah tabloid awal Ogos lalu mengenai perbelanjaan RM12.5 juta mengubahsuai kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya memang mengejut dan mendukacitakan.

Sedari awal pemerintahannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) memperkenalkan ‘polisi’ berbelanja secara berhemah. Dia menangguhkan semua projek mega dan mengutamakan perancangan lebih berfaedah kepada rakyat.

Ironisnya, bagaimana Pak Lah sanggup menghabiskan RM12.5 juta semata-mata untuk mengubahsuai kediaman rasminya? Sedangkan, jumlah itu menyamai kos membina rumah untuk 500 keluarga miskin (RM25,000 seunit).

Pembaziran itu terdedah melalui jawaban Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Mohd Johari Baharum di Dewan Negara, 20 Julai. Menurutnya, banyak kerosakan dikesan, antaranya kegagalan sistem penyaman udara, kebocoran sistem air panas.

Untuk rekod, kerajaan berbelanja lebih RM200 juta untuk membina ‘mahligai’ itu. Ia baru sahaja siap lima tahun lalu.

Sudah acap kali kita dengar berita ‘baru bina, sudah rosak’. Setiap kes itu pula melibatkan jutaan duit rakyat dileburkan untuk membaikpulihnya.

Awal Ogos lalu, sebuah tabloid berbahasa Inggeris memaparkan cerita empangan mini-hidro di Bario, Sarawak. Masyarakat di Bario menggelarkannya ‘Projek 13 juta yang menyakitkan mata’, merujuk kos RM13 juta untuk menyiapkan projek hidroelektrik itu. Ia dirasmikan Menteri Pembangunan Luar Bandar , Datuk Annuar Musa pada 24 Mei 1999. Bagaimanapun, hanya selepas tidak lebih 45 minit menjana elektrik kepada penduduk, ia tiba-tiba gagal berfungsi. Ia terus dibiarkan hingga ke hari ini.

“Ini adalah pembaziran wang rakyat yang sangat dahsyat. Kami diberitahu empangan mini ini tidak dapat menjana tenaga elektrik yang cukup kerana sungainya terlalu cetek. Saya kira jurutera terbabit sepatutnya memikirkan hal itu sebelum meneruskan projek berkenaan,” kata seorang penduduk tempatan.

Ya, memang aneh, bukan? Sebuah kerajaan yang dilengkapi segala kepakaran dan kemahiran, tetapi terbukti gagal mengambil keputusan terbaik dalam pelaksanaan projek yang menelan belanja jutaan wang rakyat itu! Ke mana perginya pakar perancang, perunding binaan, pengawal mutu bahan dan lain-lain tenaga pakar?

Kes ini turut mengingatkan kita kepada kes Pusat Latihan Rekrut Tentera Laut Diraja Malaysia (PULAREK TLDM) yang menjadi isu hangat di pertengahan tahun 2000. Beberapa bangunan di pusat berkenaan yang baru siap dan sesetengahnya belum pun digunakan dilaporkan mengalami keretakan dan kecacatan yang terlalu banyak. Manakala jeti tempat kapal berlabuh dikatakan bergoyang. Kos memperbaikinya didakwa melebihi RM5.2 juta.

Bahkan, bumbung auditoriumnya runtuh terus. Siasatan mendapati ia disebabkan penggunaan kayu berkualiti rendah. Kontraktor yang sama diarah membina bumbung baru. Bukan sebagai ganti, tetapi dibayar tambahan RM1.35 juta untuk yang baru itu.

Akhir Mei lalu, kita dengar cerita Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang. Hanya selepas dua tahun kerja-kerja membaik pulih masjid bersejarah itu disiapkan dengan belanja RM5 juta, atapnya kini kembali bocor dan kubah tembaganya sudah hilang kilauannya.

Apabila hujan lebat, jamaahnya terpaksa beralih ke Masjid Melayu di Lebuh Acheh untuk solat Jumaat. Masjid itu kini terpaksa dibaiki lagi melibatkan kos RM400,00 pula, juga dari kantung kerajaan.

Sebelum itu, sudah ada cerita Hospital Sultan Ismail (HIS) di Pandan, Johor Bahru. Hospital yang mula dibina pada 1999 dengan belanja RM557.8 juta itu dilengkapi peralatan perubatan paling moden dan bakal menjadi pusat rujukan kes Radioterapi dan Onkologi di selatan negara. Pembukaannya tertangguh disebabkan berlakunya pindaan terhadap pembelian peralatan mengikut perkembangan teknologi semasa.

Namun, setelah baru dua bulan dibuka, HIS terpaksa ditutup pada 26 September 2004 apabila ia didapati berhadapan serangan kulat yang merbahaya kepada kesihatan manusia, iaitu Aspergillus dan Penicillium. Sudah tentu pembaik pulihannya memakan belanja lagi!

Kes jejambat Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) juga sama. Ia terpaksa ditutup kepada lalulintas bermula 9 Ogos 2004 apabila dikesan mengalami keretakan ketara. Kajian firma perunding bebas British, Halcrow Consultants Ltd mengenalpasti masalah rekabentuk serta pemasangan crosshead pada tiang jejambatnya adalah punca utama keretakan itu. Kos membaikpulihnya dikatakan RM20 juta.

Untuk rekod, pembinaan laluan sejauh 1.7 kilometer bermula dari Kepong Indah ke Lebuhraya Damansara-Puchong itu sudah menbabitkan RM238 juta wang rakyat.

Soalnya, apakah wajar jutaan demi jutaan wang rakyat dihabiskan untuk membaiki ‘kerosakan’ yang tidak sepatutnya berlaku? Ataukah benar dakwaan bahawa semua itu adalah ‘penyelewengan yang sudah dirancang’?

Bagaimana pula dengan dakwaan bahawa sesetengah projek itu dilaksanakan bukan sangat kerana manfaatnya? Sebaliknya, ia sengaja dibuat sebagai peluang pihak-pihak tertentu mendapat habuan, sekali pun ia telah diketahui tidak wajar dilaksanakan.

Dakwaan itu ada benarnya jika kata-kata seorang guru di Bario mengenai mini-hidro RM13 juta tadi diambilkira. Katanya “bagi orang kebanyakan pun dapat menilai bahawa projek ini sangat tidak masuk akal. Ia adalah pembaziran wang dan sepatutnya tidak dilaksanakan”.

Kiralah, dengan RM13 juta itu, kerajaan mampu membantu lebih 720 keluarga selama lima tahun dengan RM300 sebulan. Jika dicampurkan “pembaziran” dalam semua kes di atas dan dialihkan kepada rakyat miskin, barangkali tidak akan ada cerita rakyat terpaksa makan ubi, biskut atau siput babi untuk hidup kerana tidak dapat membeli beras!

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 2-15 September 2005 di kolum tetap ‘PERSPEKTIF’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment