Friday, September 16, 2005

Menanti bahana syarikat tidak bayar zakat


Oleh: Anuwa Jamalullail

ADA beberapa faktor yang dikenalpasti menjadi pendorong kemerosotan kutipan zakat oleh kerajaan negeri Terengganu sejak diambilalih Barisan Nasional (BN) tahun lalu. Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Alwi Muhamad, pada 7 September lalu menyatakan pihaknya menjangkakan kemerosotan yang sama bakal dialami lagi tahun ini.

Katanya, ia berikutan anak syarikat negeri tidak lagi diwajibkan membayar zakat. Manakala individu atau syarikat milik penyokong parti pembangkang pula enggan membayar zakat kepada pihaknya.

Fakta kemerosotan kutipan zakat mula terdedah dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu pada November lalu. Walau pun ketika itu tahun kewangannya belum berakhir, kerajaan negeri telah menjangkakan kemerosotan itu memandangkan jumlah kutipan semasa hanya RM27.2 juta.

Jangkaan itu menjadi kenyataan. Setelah tahun kewangan berakhir, jumlah kutipan hanyalah RM36.4 juta, merosot RM3.65 juta berbanding RM40.05 juta pada tahun sebelumnya.

Jumlah pungutan zakat pada tahun pemerintahan BN dahulu memang sangat kecil. Bagi tempoh sepuluh tahun terakhir pemerintahannya (tahun 1990-99), ia mampu memungut hanya RM85 juta.

Jumlah itu bagaimana pun meningkat secara mendadak tahun ke tahun di bawah pemerintahan PAS. Untuk tiga tahun pertamanya (2000-02) sejumlah RM82.4 juta dikutip, hampir menyamai jumlah bagi 10 tahun sebelumnya.

Kutipan tahunan bagi tahun 2000 ialah RM20.8 juta, diikuti 2001 (RM28.7 juta), 2002 (RM32.9 juta) dan 2003 (RM40.05 juta).

Peningkatan itu dipercayai ekoran rasa kebersamaan dan permuafakatan rakyat untuk membantu kerajaan. Sehinggakan mereka yang berada di luar Terengganu pun turut membayar zakat kepada negeri itu.

Hal ini diakui oleh Alwi dengan katanya, “siasatan mendapati kutipan wang zakat di negeri ini (Terengganu) meningkat kerana ketika diterajui PAS kebanyakan syarikat penyokong parti itu yang beroperasi di luar negeri ini membayar zakat perniagaan kepada Maidam.”

Kini, dakwa Alwi, hal itu sudah tidak berlaku. Sejauh mana kebenaran dakwaan Alwi itu, hanya dia yang lebih tahu. Bagaimanapun, jika ia benar begitu, sebab musababnya barangkali ada hubungkait dengan tindakan dan perlakuan kerajaan BN sendiri.

Seawal 23 April 2004 (dua hari sebelum Datuk Seri Idris Jusoh mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar) beberapa peneraju agensi kerajaan telah ditamatkan perkhidmatan mereka serta-merta. Antara mereka ialah pengarah-pengarah Yayasan Terengganu, Yayasan Islam Terengganu, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dan Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA).

Turut menerima surat masing-masing ialah Ketua Hakim Syarie, Pesuruhjaya Hisbah dan Timbalan Mufti Negeri.

Selepas itu, enam penggerak utama Kolej Sains dan Teknologi Al-Quran (KOSTAQ), termasuk pengetuanya dipecat. Dalam masa setahun seramai 13 orang iman dan bilal ditahan kerja atau diberhentikan.

Tindakan balas dendam itu turut melibatkan 448 pegawai Unit Pembangunan Insan (UPI), lebih 300 mubaligh, kakitangan Urusetia Penerangan Negeri dan puluhan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan.

Turut dilucutkan jawatan ialah ribuan Ahli Jawatankuasa Syura Rakyat dan Jawatankuasa Masjid di seluruh negeri. Sedangkan mereka inilah yang banyak berperanan di peringkat bawahan mengajak rakyat mengeluarkan zakat kepada pemerintah, termasuk menjadi amil zakat ketika itu.

Keterlanjuran para pemimpin Umno tidak terhenti setakat itu sahaja. Rakyat terbanyak turut menerima kesan buruk polisi dan kerakusan mereka. Perkara pertama ialah status permohonan dan pemillikan tanah rakyat.

Bermula 7 April 2004, semua permohonan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) dibekukan. Pembekuan itu disusuli perampasan tanah rakyat serta perobohan rumah dan masjid yang telah didirikan di atas tanah-tanah tersebut.

Sikap rakus dan gila kuasa para pemimpin BN menyebabkan mereka lupa bahawa sebuah pemerintahan akan teguh hanya dengan sokongan dan kesetiaan rakyat. Bahawa kuasa pemerintah yang dilaksanakan secara adil, saksama dan bijak boleh memakmurkan negeri dan rakyat. Manakala kuasa yang digunakan secara zalim dan tidak saksama akan membawa padah sebaliknya.

Itulah persis apa yang sedang berlaku di Terengganu. Sebahagian besar rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap pentadbiran kini. Mereka tidak merasakan kerajaan yang ada ini sebagai datang daripada rakyat dan mewakili mereka. Bagi para penyokong PAS, rasa bertanggungjawab kepada pemerintah telah terhapus disebabkan mereka menjadi mangsa balas dendam politik.

Manakala sebilangan usahawan di kalangan penyokong Umno pula dikatakan sering dipinggirkan daripada mendapat projek kerajaan. Difahamkan banyak kontrak besar hanya diboloti dua-tiga syarikat yang mempunyai kaitan dengan pemimpin tertinggi kerajaan negeri.

Akibatnya, rakyat sama ada penyokong PAS atau Umno ‘hilang rasa’ tanggungjawab untuk sama-sama menyumbang kepada kewangan negeri. Manifestasi dari protes mereka itu dipercayai mengakibatkan kemerosotan kutipan zakat yang dialami kini.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 16-29 September 2005 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment