Friday, September 30, 2005

‘Asyik-asyik syarikat sama bolot projek di Terengganu’


Oleh: Anuwa Jamalullail
BUAT kesekian kalinya muka dan telinga Datuk Idris Jusoh dikatakan merah lagi. Mujur juga kali ini tidak ada fail yang terbang, sebagaimana dikatakan pernah berlaku dalam satu mesyuarat pihak berkuasa tempatan. Tidak ada juga meja yang menjadi mangsa ‘melepas geram’ Menteri Besar Terengganu itu.

Berbeza dengan apa yang sering diucapnya, Idris dilihat sukar bertoleransi dengan sesiapa juga yang tidak menerima gaya pemerintahannya, sama ada lawan atau kawan. Terbaru, pada 21 September lalu, media melaporkan Idris sekali lagi menyelar ‘pihak tertentu’ yang mempertikaikan kewajaran pelbagai projek pembangunan yang sedang dilaksanakan kerajaannya.

Tidak dapat dipastikan siapakah ‘pihak tertentu’ itu. Nak dikatakan mereeka orang PAS, agak tidak munasabah. Ini kerana Idris turut berkata, ‘mereka ini yang sebenarnya beria meminta supaya projek pembangunan dibawa ke negeri ini’. Menurut pemimpin Umno, orang PAS adalah kelompok ‘anti-pembangunan’. Jadi, mana mungkin golongan anti-pembangunan beria-ia pula meminta projek pembangunan?

Tambahan pula, laporan sebuah akhbar lain yang memetik ucapan yang sama boleh difahami seolah-olah ‘pihak tertentu’ itu adalah ‘orang yang gagal mendapat peluang pekerjaan serta peluang melaksanakan projek’.
           
Mungkinkah ‘pihak tertentu’ itu adalah kalangan para kontraktor? Boleh jadi juga, sebab mereka inilah kelompok yang mengharapkan peluang kerja dan keuntungan dari projek kerajaan.

Cumanya, dalam konteks Terengganu kini, kebanyakan mereka dikatakan tidak berpuas hati, asyik-asyik syarikat yang sama juga mendapat kontrak besar kerajaan.

Difahamkan faktor itulah yang mendorong sekumpulan orang Umno ‘berdemonstrasi’ soal pembinaan tangki air di Kuala Berang. Mereka bukan sahaja tidak puas hati soal bayaran pampasan oleh kerajaan negeri. Malah, turut diutarakan ialah soal kontrak pembinaannya yang dibolot (lagi-lagi) sebuah syarikat dari Besut itu.

Jika itulah hakikatnya, yang ada di hadapan kita ialah kes orang Umno sendiri mempertikai projek kerajaan Umno. Macam mana ini boleh berlaku?

Pertengahan Jun lalu, Menteri Perdaganngan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz dilaporkan menyelar Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK). Rafidah bukan sekadar mempertikaikan permohonan MPKK untuk mendapatkan peruntukan RM51 juta bagi pembangunan lanskap, malah menganggap ia tidak wajar disokong.

“Tidak logik, peruntukan yang dimohon untuk program basmi kemiskinan cuma RM1.5 juta, RM51 juta untuk landskap...saya tak gamak nak minta dari kerajaan Pusat”, katanya menegur MPKK kerana meminta peruntukan besar untuk projek tidak penting.

Turut ditegur oleh Rafidah ialah cadangan pembinaan tandas awam bernilai RM200,000 oleh MPKK, seolah-olah untuk pertandingan “tandas awam paling cantik” di dunia.

Baru-baru ini juga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman dilaporkan kesal dengan Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU). Beliau tidak puas hati peruntukan untuk pembangunan modal insan kementeriannya terlalu kecil berbanding peruntukan prasarana sukan.

“Stadium berpuluh juta ringgit tidak diguna sepenuhnya. Tetapi bila meminta peruntukan adakan program seperti kempen Belia Benci Dadah, mereka potong permohonan kita,” katanya.

Azalina memberikan contoh bahawa Majllis Belia Daerah menerima hanya RM20,000 setahun untuk diagihkan kepada semua persatuan naungannya bagi menganjurkan program di peringkat akar umbi. Sedangkan Program Latihan Khidmat Negara yang melibatkan hanya tidak sampai 100,000 remaja menerima peruntukan yang jauh lebih banyak.

Kenyataan kedua-dua menteri berkenaan boleh disifatkan sebagai ‘mempertikaikan kewajaran’ projek-projek terbabit. Tetapi adakah layak mereka diselar sebagai “anti-pembangunan”?

Sebenarnya, kecenderungan berbelanja besar pada perkara inilah punca utama rakyat Terengganu mempertikaikan kewajaran beberapa projek kerajaan kini. Ratusan bonsai gergasi dan pokok hiasan plastik menelan belanja ribuan ringgit setiap satu. Manakala lampu warna-warni sepanjang jalan sentiasa terpasang, seolah-olah negeri dalam keadaan berpesta dan beraya sepanjang tahun.

Apakah wajar diutamakan menghias dan mencantikkan bandar, sedangkan masih ada rakyat yang tidak mampu menukar walaupun sekeping atap zink yang bocor? Bahkan, masih ada yang terpaksa ‘mengikat perut’ dengan memakan ubi kayu kerana tidak mampu membeli beras!

Idris tidak perlu bertanya pendapat wakil-wakil rakyatnya tentang kewajaran pembangunan ini. Sebab, mereka itu sendiri mengutamakan berkenderaan baru dan mewah dalam masa tidak sampai tiga bulan bergelar YB.

Di kalangan exco-exconya pula ada yang sanggup menghabiskan RM33,000 hanya untuk nombor plet kereta. Sedangkan nilai itu melebihi kos membina sebuah rumah sekeluarga rakyat miskin. Entah berapa pula nilai kereta yang nak dipadankan dengan plet yang sangat berharga itu?

Ada baiknya Idris belajar dari Rafidah dan Azalina tentang menyusun keutamaan pembangunan negeri. Jika Idris boleh menerima pandangan yang bercanggah dengannya secara rasional, sudah tentu dia tidak perlu merah muka dan telinga setiap kali bercakap hal ‘pihak tertentu’ yang mempertikaikan kewajaran apa jua tindakan dan keputusannya. Dia juga tidak akan dilabelkan orang sebagai “MB Cap Ayam”!

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 30 September-13 Oktober 2005 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment