Thursday, July 15, 1999

Merealisasikan Kedah Sebagai Kubang PAS


Oleh: Abdul Rahim Din

Dewan Pemuda PAS Kedah telah melancarkan satu program gempur yang dinamakan ‘Tawan Kubang Pasu’ pada 27 Ogos lepas. Dalam program tersebut, Parlimen Kubang Pasu diambil sebagai parlimen angkat parti-parti alternatif dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO). Seluruh jentera petugas part-parti alternatif dikerahkan menggempur 40 Daerah Mengundi yang terdapat di dalam Parlimen Kubang Pasu.

Program itu adalah sebahagian daripada perancangan gempur habis-habisan Dewan Pemuda PAS Kedah dalam usaha memastikan negeri berkenaan menjadi milik PAS dalam pilihan raya umum nanti.

Bagi menjayakannya, ratusan petugas dari parti-parti PAS, DAP, PRM, Keadilan dan beberapa NGO dari negeri-negeri berdekatan seperti Perlis, Pulau Pinang dan Perak dijemput hadir. Antara agenda utama selama sehari suntuk itu ialah turun ke setiap rumah dan menemui kesemua 47,356 pengundi di seluruh kawasan parlimen berkenaan.

Mengapa Kubang Pasu dijadikan sasaran utama sudah begitu dimengertikan. Di situlah antara kubu paling kebal bagi Umno dan Barisan Nasional (BN) di Kedah selama ini. Faktor kekebalan itu tentunya banyak bergantung kepada kekuatan peribadi Ahli Parlimennya, yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Sudah tentu PAS mempunyai perhitungan sendiri dengan memulakan kempen gempurnya di kubu kuat Perdana Menteri.  Kerana, dari segi psikologinya, andaikata program tersebut berupaya memutikkan hasil yang positif kepada PAS, ia pastinya menjadi moral booster yang cukup bertenaga untuk PAS Kedah mengatur langkah yang lebih yakin ke kawasan-kawasan lain.

Tepat sebagaimana yang ditegaskan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Aris Awang, bahawa matlamat program itu ialah untuk ‘memastikan tunggak utama BN ditumbangkan terlebih dahulu’.

Sejauh mana berkesan atau tidak program gempur Pemuda di Kubang Pasu itu sebenarnya bakal mencorakkan rentak kempen dan gerakerja PAS yang seterusnya di kawasan-kawasan parlimen lain seluruh negeri Kedah. Taktik dan strategi yang akan dilaksanakan di kawasan-kawasan lain nanti tentunya akan mengambilkira feedback and evaluation yang diperolehi daripada ‘Tawan Kubang Pasu’ itu.

Dalam Pilihan Raya Umum 1995, Dr. Mahathir mengalahkan calon PAS, Ahmad Mohd. Alim dengan majoriti 17,226 undi. Dr. Mahathir memungut 24,495 undi berbanding Ahmad yang hanya mendapat 7,269 undi.

Majoriti yang begitu besar tentu sekali bukanlah suatu yang dapat ‘ditimbus’ dengan mudah, terutama oleh sebuah parti pembangkang seperti PAS.

Namun, dalam politik tidak ada perkara yang mustahil. Kemenangan cemerlang DAP dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan pada tahun 1997, diikuti kemenangan bergaya PAS di Parlimen Arau tahun berikutnya boleh dijadikan bukti.

Kedua-dua kerusi parlimen tersebut dimenangi oleh calon BN dalam Pilihan Raya Umum 1995 dengan majoriti yang besar. Bagaimana pun, undi tersebut telah beralih kepada pembangkang apabila berlaku pilihan raya kecil di kawasan-kawasan berkenaan. Ia nyata mengejutkan BN, mahu pun parti-parti pembangkang.

Sejarah pilihan raya juga mencatatkan bagaimana suatu kejutan besar pernah berlaku di negeri Kedah. Dalam Pilihan Raya Umum 1969 lalu, Kedah telah menjadi the killing field kepada tiga pemimpin utama Umno ketika itu. Mereka ialah Dato’ Senu Abdul Rahman, Dato’ Zahir Ismail (Tan Sri – Yang Dipertua Dewan Rakyat) dan Dr. Mahathir sendiri.

Tokoh-tokoh PAS yang menjadi the giant killers itu ialah Dato’ Abu Bakar Umar yang mengalahkan Dato’ Senu di Kubang Pasu, Ustaz Mawardi Lebai Teh mengalahkan Dato’ Zahir di Kota Setar Utara, dan Haji Yusof Rawa mengalahkan Dr. Mahathir di Kota Setar Selatan. Tidak mustahil sejarah seumpama itu mampu diulangi oleh PAS Kedah dalam pilihan raya nanti.

Sejarah turun-naik prestasi PAS di Kedah amat menarik, meski pun ia secara kasarnya lebih menampakkan suatu kemerosotan. Tidak seperti di Kelantan dan Terengganu, PAS hanya mula bertapak dalam Dewan Undangan Negeri Kedah pada Pilihan Raya Umum 1969.  Dalam pilihan raya itu, PAS memenangi lapan kerusi DUN dan di peringkat Parlimen ia menawan tiga kerusi seperti yang disebutkan di atas.

Dalam Pilihan Raya Umum 1974, PAS menjadi anggota gabungan BN. Jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada PAS hanyalah menyamai jumlah yang telah dimenanginya dalam pilihan raya sebelum itu, iaitu lapan DUN dan tiga Parlimen.

Suatu perkara yang istimewa bagi PAS Kedah ialah apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum 1978, bilamana PAS kembali bersendirian di luar keluarga BN. Pilihan raya itu dianggap sebagai pilihan raya yang terburuk buat PAS. Ia gagal memperolehi sebarang kerusi di Terengganu, walau pun dalam pilihanraya sebelum itu PAS memiliki lapan kerusi DUN di negeri tersebut. PAS juga hilang tiga kerusi parlimen di Terengganu.

Di Kelantan, pilihan raya negeri diadakan beberapa bulan lebih awal. Ia menyaksikan tumbangnya kerajaan PAS yang berusia 18 tahun dan meninggalkan PAS dengan ‘dua nesan’ iaitu di DUN Manek Urai dan Sering.

Walau pun tewas teruk di kedua-dua negeri Pantai Timur yang dianggap kubu paling kuat itu, pencapaian PAS agak baik di Kedah. Ia mampu bertahan di tujuh kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen. Sekaligus menjadikan Kedah sebagai negeri terbaik untuk PAS sepanjang empat tahun selepas itu.

Faktor-faktor sejarah yang dinyatakan di atas sentiasa membantu meyakinkan PAS bahawa kejutan politik bukanlah suatu yang mustahil bagi rakyat negeri Kedah. Lebih-lebih lagi, orang-orang PAS Kedah adalah merupakan antara yang paling hebat menerima ujian dan cubaan dalam liku perjuangan mereka. Beberapa peristiwa dan tragedi besar yang melanda PAS sejak hampir lima puluh tahun lalu, sebahagiannya berlaku ke atas ahli-ahli PAS di Kedah.

Dalam tahun 1985 sahaja, dua tragedi besar berlaku yang membabitkan kehilangan 15 nyawa orang-orang PAS di Kedah. Tragedi pertama berlaku di awal tahun berkenaan di Felda Lubuk Merbau, sewaktu berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Parlimen Padang Terap. Ia menuntut korban seorang aktivis PAS.

Sepuluh bulan kemudian, tragedi pembunuhan beramai-ramai di Memali telah meragut 14 nyawa orang-orang PAS yang tidak berdosa.

Walau pun malapetaka yang menimpa mereka itu diratapi oleh sekalian ahli PAS di seluruh negara, tetapi pihak yang paling merasai kehilangan mereka itu sudah tentunya PAS Kedah sendiri.

Dua tahun selepas peristiwa hitam tersebut, PAS Kedah teruji lagi. Kali ini dengan cubaan pihak kerajaan BN untuk merampas tanah Muassasah Darul Ulum. Muassasah tersebut yang dibina atas tapak tanah wakaf seluas 32 ekar di Pokok Sena, adalah merupakan projek terbesar PAS negeri Kedah.

Dugaan yang besar-besar sebegitu tentunya menguji ketahanan dan daya juang orang-orang PAS Kedah. Keupayaan mereka menghadapi semua itu adalah aset paling berharga untuk mereka merempuh apa sahaja halangan yang mampu menyulitkan langkah merealisasikan Kedah sebagai ‘Kubang PAS’.

(Artikel ini disiarkan makalah isu tidak berkala "Anwar Diracun - Lawan Tetap Lawan" diselenggarakan oleh Tarmizi Mohd Jam, diterbitkan sekitar Julai 1999).

No comments:

Post a Comment