Thursday, July 15, 1999

Terengganu Sebagai “Kelantan Kedua”?


Oleh: Umar Abdulaziz

Negeri Terengganu Darul Iman amatlah diharap-harapkan oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk ditukarkan menjadi ‘Kelantan Kedua’ pada pilihan raya umum akan datang.  Kemenangan cemerlang merebut kembali Kelantan daripada Barisan Nasional (BN) pada tahun 1990 menyebabkan parti itu ingin mencipta sejarah di Terengganu pula.

Dalam dua pilihan raya umum terakhir, PAS memenangi tujuh (lapan asalnya) kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu dan satu kerusi Parlimen, iaitu di kawasan Marang.  Pengulangan angka ‘7-1’ bagi PAS di Terengganu itu dikatakan mengulangi sejarah yang pernah berlaku di Kelantan satu ketika dahulu.

Di mana, dalam kedua-dua Pilihan Raya Umum 1982 dan 1986, PAS memenangi sepuluh kerusi DUN Kelantan. Pengekalan prestasi selama dua penggal itu akhirnya melonjakkan kejayaan PAS. Kelantan akhirnya ditawan semula pada 1990, manakala arus Kelantan itu terus-menerus melanda Terengganu.

Perlu diakui bahawa PAS Terengganu mempunyai kekuatannya tersendiri yang memberikan advantage kepada parti itu berbanding PAS negeri-negeri lain. Kekananan beberapa pemimpin utama negeri itu di peringkat PAS Pusat, keterampilan daya kepimpinan Dewan Pemudanya, serta kekentalan semangat dan daya juang para pengikutnya di peringkat akar umbi menjadi aset utama PAS Terengganu.

Tapi, apakah aset-aset tersebut cukup dimanfaatkan untuk menewaskan BN? Buat masa ini, PAS hanya memiliki tujuh daripada 32 kerusi DUN. Ertinya, untuk memenuhi cita-citanya memerintah Terengganu, PAS perlu memenangi sekurang-kurangnya 17 lagi kerusi.  Bermakna ia perlu sekurang-kurangnya sepuluh lagi kerusi. Di manakah kerusi-kerusi berkenaan?

Secara geografinya, kekuatan PAS Terengganu kini dilihat tertumpu di kawasan ‘Terengganu Betul’, iaitu meliputi tiga daerah di tengah Terengganu; Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu. Tiga daerah ini dipecahkan menjadi empat kawasan parlimen – Hulu Terengganu, Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. Kecuali di kawasan Hulu Terengganu, di mana PAS memiliki satu kerusi iaitu di DUN Manir menerusi Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Haji Harun Taib, ketiga-tiga kawasan yang lain, PAS masing-masing memenangi dua kerusi.

Di empat daerah atau kawasan parlimen lagi, iaitu Besut, Setiu, Dungun dan Kemaman, PAS dikatakan agak sukar menembusi kekebalan pengaruh Umno. Status pembangunan dan perbandaran masyarakat yang agak terkebelakang berbanding empat kawasan ‘Terengganu Betul’ tadi dikatakan antara punca masyarakat lebih mudah dipengaruhi umpan kebendaan kerajaan BN.

Mereka dipengaruhi kehidupan kebendaan dan melihat kebendaan itu boleh mereka dapati dari BN. Menyedari hakikat inilah BN menggunakan kekayaan negeri dengan menabur wang, subsidi, hadiah, dan berbagai bentuk skim bantuan kewangan, terutamanya setiap kali menjelang pilihan raya.    

Berdasarkan “kesulitan” ini, ada pendapat yang mengatakan adalah lebih mudah dan realistik bagi PAS Terengganu menumpukan perhatian yang lebih ke arah memenangkan sebanyak mungkin kerusi di kawasan ‘Terengganu Betul’ itu. Dalam erti kata yang lain, PAS mesti menang di sekurang-kurangnya tiga kerusi DUN di setiap kawasan.

Bahkan, dalam konteks Parlimen Marang dan Kuala Terengganu, PAS mesti memanfaatkan pengaruh Timbalan Presidennya Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan AJK PAS Pusat, Haji Wan Abdul Mutalib Embong dengan menyapu bersih kelapan-lapan kerusi di dua kawasan berkenaan.

Berbekalkan kemenangan cemerlang di ‘Terengganu Betul’ itu, PAS sudah memiliki sekurang-kurangnya empat belas kerusi DUN, iaitu Tepoh, Teluk Pasu, dan Bukit Tunggal di Parlimen Kuala Nerus; Batu Buruk, Wakaf Mempelam, Ladang dan Bandar (Kuala Terengganu); Manir, Kuala Berang dan Ajil (Hulu Terengganu); Alor Limbat, Rhu Rendang, Pengkalan Berangan dan Bukit Payong (Marang).

Jangan nafikan peluang PAS untuk menawan semula DUN Jabi di Setiu dan Jertih di Besut.  Kedua-duanya pernah menjadi milik PAS pada tahun 1990 dulu. Jika kedua-duanya berjaya ditawan semula, bermakna PAS sudah ada enam belas kerusi.

Bagaimana mencari sekurang-kurangnya satu kerusi lagi? Kawasan Besut mungkin tidak berupaya menyumbangkan DUN Kampung Raja, tetapi masih ada peluang sama ada di Kuala Besut atau Hulu Besut atau kedua-duanya. Kawasan Setiu juga barangkali tidak dapat menghadiahkan DUN Permaisuri dan Langkap untuk PAS. Tetapi jangan diperkecilkan keupayaan Yang Di Pertuanya, yang juga AJK PAS Pusat, Ustaz Abu Bakar Chik untuk menawan DUN Batu Rakit.

Kawasan Dungun yang diterajui oleh Naib Presiden PAS, Haji Mustafa Ali juga tidak boleh diketepikan begitu sahaja. DUN Rantau Abang dan Sura, kalau pun masih belum mahu dilibatkan DUN Bukit Besi dan Paka, bukanlah suatu yang agak sukar untuk beralih ke tangan PAS.

Begitu juga bagi kawasan Kemaman. PAS Kawasan berkenaan perlu menyumbang sekurang-kurangnya satu kerusi sebagai saham dalam memastikan Terengganu dalam genggaman PAS. 

Apa yang dilontarkan di atas bukan sekadar jangkaan simplistik yang tidak mungkin berpijak di bumi nyata. Orang-orang PAS, khususnya di Terengganu, mestilah menerima hakikat bahawa bukanlah suatu perkara yang mudah untuk menawan Terengganu daripada BN. 

Justeru, sesukar mana sekali pun mereka rasakan untuk memenangi kerusi-kerusi yang dicadangkan itu, mahu tidak mahu ia mesti dimenangkan jua.

Soal menang atau kalah nanti, tercapai atau tidak cita-cita yang dicanangkan itu, Allah jua yang menentukan. Namun, bagi orang-orang PAS, lawan tetap lawan.

(Artikel ini disiarkan makalah isu tidak berkala bertajuk "Anwar Diracun - Lawan Tetap Lawan" diselenggarakan Tarmizi Mohd Jam, diterbitkan sekitar Julai 1999).

No comments:

Post a Comment