Thursday, July 15, 1999

Bolehkah Kerjasama PAS-DAP Tumbangkan BN?


Oleh: Anuwa Jamalullail

Ironis, bukan? Dua parti politik yang secara ideologikal dan praktikalnya tidak pernah sehaluan, malah sering bertikam lidah, tiba-tiba mahu dipaksa oleh keadaan untuk duduk semeja dan berdiri sepentas.

Namun, tidak ada yang mustahil dalam politik. Kawan boleh bertukar menjadi lawan. Lawan menjadi kawan. Pengalaman yang dilalui oleh kedua-dua parti yang di maksudkan, Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) sudah cukup untuk mengajar kedua-duanya tentang apa yang patut dan apa yang tidak patut mereka lakukan.

DAP sememangnya dilihat sebagai sebuah parti cauvinis Cina. Walau pun antara pemimpin yang pernah menempa nama dalam DAP terdapat tokoh-tokoh Melayu dan India, seperti Ahmad Nor, Fadzlan Yahya, Daeng Ibrahim, Karpal Singh, P. Patto dan V. David (sekadar menyebut beberapa nama), parti itu tetap tidak berupaya mengikis imej kecinaannya.  Sebagai bukti, ia hanya mampu bertapak kukuh di kawasan majoriti bangsa Cina, terutama di bandar-bandar utama.

Isu-isu yang diketengahkan parti itu juga banyak berbau perkauman. Melalui slogan Malaysian Malaysia yang antara lain menuntut keadilan kepada semua kaum dalam segala aspek kehidupan, DAP cuba menampilkan peranan sebagai pembela nasib bangsa Cina dalam negara ini. Segala perkara yang dinilai sebagai menggugat kepentingan bangsa mereka, DAP akan menjadi juara menentangnya.

Dalam perjuangan politiknya, DAP bukan sahaja menghalakan serangannya kepada Barisan Nasional (BN). Mana-mana parti pun yang mengemukakan sesuatu yang tidak sealiran dengan idealismenya, DAP akan menentang secara terbuka.

Paling lantang ialah penolakan total parti itu terhadap idea penubuhan Negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS. DAP dikatakan bertanggungjawab menakutkan masyarakat Cina terhadap Negara Islam yang mereka sendiri jahil tentang konsep dan matlamatnya.

Dalam Pilihan Raya Umum 1986, PAS telah mengambil pendekatan yang licin dengan masyarakat Cina. Dengan bantuan beberapa aktivis PAS berbangsa Cina, Chinese Consultative Council (CCC) telah ditubuhkan. CCC berperanan seolah-olah sebagai cawangan PAS yang memberikan penerangan kepada masyarakat Cina tentang Islam dan perjuangan PAS. Sambutan yang diterima PAS amat menggalakkan.

Ada pihak mendakwa bahawa DAP adalah antara pihak yang memerhatikan perkembangan ini dengan cemas dan sensitif sekali. Rasionalnya, DAP merasakan pengaruhnya (yang sememangnya bergantung harap kepada masyarakat Cina) akan merosot jika perkembangan ini tidak disekat.

Maka parti itu dikatakan dengan ghairah memainkan isu-isu perkauman dan memperhebatkan serangan mereka terhadap PAS dengan memfitnah dan menakut-nakutkan masyarakat Cina daripada mengundi PAS. Sehingga tersebar berbagai karikatur yang tidak bertanggungjawab, antaranya memaparkan Pak Haji PAS mengejar orang Cina dengan parang untuk dikhatankan dan juga karikatur orang PAS sedang memotong tangan pencuri.

Gambaran keseluruhannya, PAS adalah parti orang Melayu yang lebih radikal dan lebih ekstrim daripada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno). Jika PAS memerintah, beberapa anggota tertentu badan  orang-orang Cina kononnya akan dipotong.

Dengan adanya serangan-serangan sedemikian, ditambah dengan eksploitasi media massa yang sentiasa menekan dan memfitnah PAS, maka menjelang pilihan raya tersebut, pengaruh PAS yang sudah berjaya diwujudkan sedikit di kalangan masyarakat Cina telah hilang dan pengaruh CCC telah dapat dinutraliskan. DAP dikatakan ada saham atas kegagalan PAS meraih undi masyarakat Cina.

Pengalaman pahit itu sukar dilupakan begitu sahaja oleh PAS. Sebab itu apabila S46 yang telah menjalin persefahaman politik dengan PAS berura-ura mengadakan kerjasama politik dengan DAP menjelang Pilihan Raya Umum 1990, PAS telah menunjukkan sikap yang tegas. 

PAS menolak sebarang bentuk kerjasama dengan DAP kerana DAP menolak gagasan Negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Bagi PAS, DAP adalah dalam kategori yang sama dengan Umno yang menolak dasar dan perlaksanaan Islam.

Malah, PAS menyatakan kesediaannya untuk tidak meneruskan persefahaman dengan S46 andaikata parti itu tetap meneruskan hasrat bekerjasama dengan DAP. PAS memang selama-lamanya berjuang dan berusaha ke arah perpaduan, tetapi perpaduan mestilah di atas prinsip Islam. Jika prinsip ini tidak diterima oleh orang lain, maka tidak menjadi apa-apa masalah kepada PAS untuk berjuang bersendirian, kata seorang pemimpin kanan PAS dalam kenyataan akhbarnya.

Langkah S46 meneruskan juga hasrat kerjasama dengan DAP akhirnya memaksa PAS “menelan buah jadam”. Keadaan itu memaksa PAS mewujudkan satu analogi bagi menenangkan hati pengikutnya. Hubungan politik ketiga-tiga parti diibaratkan hubungan diplomatik antara Malaysia, Singapura dan Israel.

PAS dan DAP ibarat Malaysia dan Israel yang terlalu sensitif untuk mengadakan sebarang hubungan diplomatik. Manakala S46 ibarat Singapura, yang mampu mengadakan hubungan dipomatik dengan kedua-duanya. Hubungan Singapura-Israel tidak bererti Malaysia juga turut bersetuju dengan Israel. Itu hak Singapura.  Begitulah juga antara PAS dan DAP. Itu hak S46.

Bahkan, DAP membuktikan lagi ketidaksediaannya bekerjasama dengan PAS. DAP, yang sepanjang sejarah pilihan raya belum pernah meletakkan calonnya di Terengganu, telah berbuat demikian dalam Pilihan Raya Umum 1990. Barangkali, ia ada hubungkaitnya dengan kecaman atas isu kerjasama dengan S46 yang kebetulan paling acap kedengaran daripada pemimpin kanan PAS Pusat di Terengganu. Maka DAP seolah-olah cuba memberi mesej bahawa “di negeri kamu pun kami mampu bertapak”.

Bagaimana pun, hasrat DAP memalukan PAS di Terengganu menjadi sebaliknya. Dalam pertandingan tiga penjuru yang turut disertai calon Malaysian Chinese Association (MCA) itu, PAS berjaya memanfaatkan pemecahan undi Cina di Dun Bandar.

Ekoran kemenangan PAS di satu-satunya kerusi masyarakat Cina di Terengganu itu, DAP mendapat kecaman hebat masyarakat Cina. Berbagai pandangan diutarakan, antaranya melabelkan DAP sebagai ‘kacau daun’ dan bertanggungjawab mengalahkan wakil tunggal masyarakat mereka di Terengganu.

DAP akhirnya terpaksa mengutamakan kepentingan masyarakat mereka dan melupakan hasrat menunjuk kekuatan di negeri lubuk PAS itu. DAP telah “mengembalikan” kerusi Bandar kepada MCA dalam Pilihan Raya Umum 1995.

Perlu diakui bahawa antara orang yang bertanggungjawab mempertemukan DAP dan PAS pada peringkat awalnya ialah Presiden S46, Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah (Ku Li).  Walau pun tidak secara langsung di atas pentas politik, tetapi beberapa pertemuan di forum-forum sosial dan ekonomi akhirnya telah menzahirkan beberapa common interests antara PAS dan DAP.

Tindakan Presiden S46, Ku Li menyertai semula Umno sekaligus membubarkan partinya menyebabkan DAP seolah-olah hilang rakan seperjuangan di barisan pembangkang. Para pemimpin DAP antara pihak paling lantang mengkritik tindakan Ku Li itu. Antara mereka melabelkan Ku Li sebagai politikus yang tidak berprinsip.

Di masa yang sama, tindakan perubahan S46 itu turut menyerlahkan lagi keutuhan PAS sebagai parti yang tahan lasak menghadapi apa jua karenah politik. Kalah atau menang, prinsip perjuangan tetap tidak boleh dijual-beli. Sikap PAS yang kuat berpegang kepada prinsip ini nyata disegani kawan dan lawan.

Beberapa isu kebelakangan ini nampaknya tambah menuntut PAS dan DAP saling memahami prinsip perjuangan masing-masing dan bekerjasama dalam menangani common interests. Paling ketara ialah dalam menangani isu-isu keadilan sosial dan kepentingan awam. 

Isu-isu seperti tol, rampasan tanah rakyat, kebebasan kehakiman, kedaulatan undang-undang, keganasan polis dan pencerobohan rumah setinggan telah membawa kedua-dua pihak berganding bahu menanganinya.

Apabila Timbalan Setiausaha Agung DAP, Encik Lim Guan Eng dihukum penjara kerana membela seorang gadis Melayu bawah umur yang menjadi mangsa kerakusan pemimpin BN, PAS antara pihak yang tampil membela Encik Lim. Bagi PAS, isu ini bukan semata-mata soal politik atau perkauman. Keadilan adalah suatu yang dituntut Islam. Ia sememangnya menjadi satu agenda dalam perjuangan PAS.

Prinsip keadilan dan kesaksamaan sosial dalam pemerintahan dibuktikan secara praktikal oleh PAS melalui kerajaannya di Kelantan. Hasil beberapa kunjungan para pemimpin DAP ke Kelantan, mereka dapati Islam terlalu adil untuk dipertanggungjawabkan atas kepincangan sosial yang berlaku dalam negara kini.

Setelah hampir dua penggal pemerintahan PAS di Kelantan, tiada sebarang bukti masyarakat Cina dianiaya, tiada kejadian Pak Haji PAS mengejar orang Cina dengan parang untuk dikhatankan atau sebagainya.

Gambaran kononnya PAS lebih ekstrim kemelayuannya daripada Umno nyata fitnah yang sangat jahat. Sedangkan, orang-orang Cina di Kelantan adalah antara kelompok kaum itu yang paling senang dalam negara ini.

Kehilangan Ku Li sebagai pengantara PAS-DAP kini seolah-olah diambilalih pula oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri dan isterinya Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail. Melalui Majlis Gerakan Keadilan Rakyat (GERAK) yang diterajui PAS, DAP tampil memberikan kerjasama yang amat bermakna, khususnya dalam menuntut keadilan sosial.

Dalam keadaan yang ada sekarang, tembok pemisah yang selama ini terlalu kebal antara PAS dan DAP nampaknya hampir-hampir dapat diranapkan. Kedua-dua pihak semakin mampu menghormati antara satu sama lain. Lebih penting lagi, kedua-dua pihak turut berkongsi satu matlamat dalam politik - menumbangkan kerajaan BN. 

Perkembangan ini tentu sekali merimaskan BN. Pelbagai usaha nampaknya telah dan sedang dilakukan demi menggagalkan sebarang pakatan antara parti-parti pembangkang khususnya PAS dan DAP. Psychological warfare begitu hebat kini untuk melaga-lagakan kedua-dua parti tersebut.

Rasanya setiap rakyat yang cintakan keadilan akan berdoa, semoga kebijaksanaan dan pengalaman luas dalam politik yang dimiliki para pemimpin kedua-dua parti mampu membuahkan hasil yang diharap-harapkan – sebuah pakatan yang mampu menumbangkan BN.

(Artikel ini disiarkan majalah isu tidak berkala "Anwar Diracun - Lawan Tetap Lawan" diselenggarakan Tarmizi Mohd Jam, diterbitkan di sekitar Julai 1999).

No comments:

Post a Comment