Sunday, July 7, 2013

Besut – bumi pertautan dua budaya


Oleh: MOHD NASIR AWANG

DI DAERAH paling utara negeri Terengganu, majoriti penduduknya tidak “makang ikang tambang dalang talang” (dialek Terengganu untuk ‘makan ikan tamban dalam talam’). Walau pun mereka warga negeri itu dan mencurahkan taat setia tidak berbelah bagi kepada Tuanku Sultan Terengganu, bahasa pertuturan mereka sama sekali asing daripada bahasa Terengganu. Penduduk Besut “makae ikae tambae dalae talae”.

Perbezaan ini dikaitkan dengan sejarah. Dikatakan Besut pada asalnya satu jajahan di bawah kerajaan Kelantan. Sebab itu bahasa pertuturan penduduknya menyamai bahasa Kelantan.

Bahkan, teori sejarah lebih masyhur mengatakan Besut dan Kelantan adalah dua wilayah di bawah Empayar Langkasuka, berpusat di Pattani. Empayar ini menjalur luas dari Surat Thani (wilayah selatan Thai) di sebelah utara hingga ke Sungai Tong (di Setiu sekarang) di sebelah selatan. Penduduk empayar ini berkongsi bahasa dan budaya, termasuk permainan tradisi, pakaian, makanan dan segala aspek kehidupan.

Sebab itu dalam banyak hal penduduk Besut secara tradisinya “berkiblat” ke Kelantan. Untuk membeli barangan perniagaan atau kegunaan sendiri, mereka memilih ke Kota Bharu, berbanding Kuala Terengganu. Selera mereka lebih “berpalut” dengan nasi kerabu (menu Kelantan) berbanding nasi dagang (sajian istimewa Terengganu).

Dalam berhibur, orang Besut lebih meminati dikir barat dan wayang kulit (tradisi Kelantan) berbanding rodat dan gamelan (tradisi Terengganu). Manakala penampilan “bersemutar” (lilit kepala Kelantan) lebih melumrah di kalangan nelayan Besut, berbanding mereka yang berterendak (identiti nelayan Terengganu).

Namun, itu keadaan dulu-dulu, zaman nenek-moyang kita. Suasana sudah jauh berubah, terutama sejak tiga-empat dekad kebelakangan ini. Proses gabungjalin antara dua budaya yang sama sekali berbeza itu berlaku begitu cepat, sehingga menghasilkan sebuah masyarakat sangat unik di daerah itu.

Besut sekarang tidak ubah ‘bumi pertemuan dua benua’. Di situ anda boleh temui nasi kerabu, di kedai sama juga ada nasi dagang Terengganu (pastikan anda tahu perbezaan antara nasi dagang Terengganu (beras putih) dengan nasi dagang Kelantan (beras merah)!). Ada kain batik Terengganu, ada batik Kelantan. Ada kueh taik itik dan ulat bulu, ada juga akok dan nganang.

Berkongsi meja di kedai makan, anda boleh dengar orang bercakap bahasa ‘Ayoh Wang’ dan bahasa ‘Abe Awe’. Malah dalam sebuah rumah pun, ada cucu bertutur loghat Besut, ada bercakap dialek Kuala Terengganu.

Hanya di Besut anda ada pilihan untuk tatap akhbar Sinar Harian, sama ada edisi Terengganu (kuning) atau Kelantan (hijau).

Dalam konteks PAS, penghormatan pendukung Islam Besut terhadap Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tiada beza dengan sanjungan mereka kepada Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Datanglah ke Besut, dan saksikanlah sendiri pertautan dua budaya yang sangat menarik di sana!

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil: 1859, 29 Syaaban-2 Ramadhan 1434/8-11 Julai 2013 di halaman belakang sisipan Fikrah dengan tajuk 'Jom bertandang ke Kuala Besut')

Monday, July 1, 2013

Dakwah dengan perbuatan lebih berkesan


Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Yang di tangan-Nya segala kekuasaan. Dialah Yang memenangkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dia juga menangguhkan kejayaan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, berdasarkan kebaikan yang hanya Dia Yang Maha Mengetahui.

Edisi kali ini menjengah pasaran dalam suasana masyarakat negara kita masih lagi diselubungi kehangatan proses pilihan raya umum yang baru berlangsung. Keputusannya sudah diketahui. Sama ada pihak yang menang, mahu pun yang kalah, kedua-duanya sudah tampil dengan analisa dan kajian masing-masing atas faktor-faktor mendorong keputusan ke atas mereka.

Seperkara agak menarik ialah kecenderungan para pengundi negara kita yang menunjukkan sikap semakin terbuka. Walau pun pola keseluruhan menampakkan mereka terpisah dua mengikut kelompok pemerintah dan pembangkang, wujud juga kecenderungan memilih batang tubuh calon-calon tertentu. Hal itu terserlah apabila kedapatan keadaan di mana kesemua atau majoriti kerusi peringkat Dewan Undangan Negeri dalam sesuatu kawasan Parlimen dimenangi satu pihak (kerajaan/pembangkang), tetapi kerusi Parlimennya dimenangi calon parti berlawanan.

Apabila diselidiki, terdapat unsur-unsur tarikan peribadi calon terbabit yang menyebabkan berlaku pecah undi sedemikian. Tidak syak lagi ia terhasil daripada gerakerja dan penampilan positif oleh calon-calon terbabit, sehingga menyebabkan para pengundi tidak lagi mengutamakan soal parti yang mereka wakili.

Itulah gambaran betapa besarnya peranan menonjolkan keperibadian yang baik dan menarik di dalam usaha mendapatkan sokongan dan menjana penerima orang terhadap apa yang kita perjuangan. Dalam konteks perbincangan topik dakwah edisi ini, kebanyakan penulis kami menyimpulkan bahawa dakwah dengan perbuatan (bil hal) itu jauh lebih berkesan berbanding dakwah dengan ucapan atau syarahan.

Semoga Allah mengganjari semua pihak yang terlibat menjaya usaha dakwah Islam ini. Wassalam.

Al-faqir ilallah,
Mohd Nasir Awang

(Artikel ini adalah catatan EDITORIAL bagi majalah Dian - Ihya' As-Sunnah, edisi 15 (Julai 2013) dengan tajuk sama)

Sultanul Ulama Izzuddin Abdus Salam

Oleh: MOHD NASIR AWANG


Muqoddimah
Nama sebenarnya ialah Abdul Aziz bin Abdissalam bin Abi Al-Qasim bin Hasan bin Muhammad bin Muhazzab. Beliau dilahirkan di Damsyik, Syria pada 577 Hijriah dan meninggal pada 660 Hijriah. Nama panggilannya Abu Muhammad. Manakala gelaran Izzuddin, atau singkatnya Al-Izzu, adalah kerana bersesuaian dengan trend semasa di zaman itu. Di mana para khalifah, raja, ulama mahu pun pegawai awam memakai gelaran-gelaran diri sebagai tambahan kepada nama asal masing-masing. Menjadi kegemaran mereka juga mengaitkan nama-nama gelaran itu dengan perkataan ‘ad-Din’, yang bermaksud agama (Islam).

Beliau juga terkenal dengan gelaran Sultanul Ulama, maksudnya ‘Raja Para Ulama’. Gelaran itu pertama kali diberikan muridnya, Ibnu Daqiq al-Id, di atas usaha kerasnya mengangkat kedudukan dan nama ulama, terutama di dalam mempertahankan hukum dan ajaran Islam.

Kerap berlaku para ulama teruji keilmuan dan keimanan mereka oleh perlakuan dan tindakan, serta keputusan diambil oleh para penguasa (hakim, sultan, pegawai pemerintah) yang menyimpang dari ajaran Islam. Usaha menegah dan menyanggah penguasa ini amatlah berat dan kerap gagal dilaksanakan, termasuk oleh para ulama.

Dalam keadaan itulah Izzuddin muncul mewakili para ulama menyuarakan kebenaran Islam. Dalam hampir kesemua pertembungan itu beliau berjaya menundukkan hujah dan pendirian penguasa-penguasa tersebut. Izzuddin berjaya mengangkat nama dan kedudukan para ulama, walau pun akibatnya beliau sendiri terpaksa berdepan pelbagai kelelahan dan kepayahan dalam hidup.

Pelaksana amar maaruf nahi mungkar
Beliau sangat dikenali sebagai seorang yang menjuarai pelaksanaan amar maaruf nahi mungkar di zamannya. Kebanyakan ulama yang dipetik menyuarakan kata sanjungan terhadap beliau tidak akan ketinggalan mengiktiraf jasa dan komitmen beliau yang tinggi terhadap amar maaruf nahi mungkar. Antara mereka ialah Adz-Dzahabi, Tajuddin As-Subki, Jalaluddin As-Suyuti, Fakhruddin Muhammad bin Syakir Al-Katabi dan Jalaluddin Al-Isnawi.

Kisah mengenai sikapnya yang tegas dalam menegakkan yang maaruf dan mencegah kemungkaran ini amat banyak dan masyhur. Salah satu kisah tersebut ialah apa yang diceritakan dari Ibnu As-Subki dari ayahnya, yang menerima periwayatan kisah itu dari Syaikh Al-Baji (murid Izzuddin).

Ceritanya, pada satu Hari Raya Al-Izzu pergi mengadap Sultan Mesir, Sultan Najmuddin Ayub di Qal’ah. Ada perbarisan hormat oleh para perajurit, manakala Sultan Najmuddin diiringi para pembesar dan pegawainya. Beliau keluar ke dewan istana lengkap berpakaian dipenuhi perhiasan, sepertimana adat para sultan. Sekalian yang hadir bersujud mencium tanah sebagai tanda hormat kepada beliau.

Syaikh Izzuddin sangat terganggu melihatkan perbuatan itu. Beliau lantas berteriak ke arah Sultan Najmuddin, “Wahai Ayub! Apa hujahmu di hadapan Allah ketika Dia berkata kepadamu, “Aku telah memberikan kerajaan Mesir kepadamu lalu kamu memperbolehkan penjualan arak!”

Beliau sengaja melontarkan persoalan arak, memandangkan hukum mengenainya sangat jelas dan tidak ada yang tidak tahu mengenai status haramnya. Sedangkan yang beliau mahu tegur ialah perbuatan bersujud hormat secara berlebihan oleh para pegawai terhadap sultan itu, yang juga haram hukumnya.

Sultan Najmuddin pura-pura terkejut. Beliau seolah-olah tidak tahu dan tidak menyangka ada penjualan arak di dalam pemerintahannya. “Apakah hal itu memang berlaku?”, soal beliau.

Melihatkan lakonannya itu, dengan suara yang keras Syaikh Izzuddin menjawab, “Ya, di kedai seorang perempuan telah dijual minuman keras, bahkan berlaku juga perkara-perkara mungkar lain, sedangkan kamu berseronok dan bermegah dengan segala kenikmatan ini!”

Sergahan Syaikh Izzuddin itu membuatkan para pembesar dan pegawai ketakutan dan diam membisu. Mereka mengandaikan sultan akan murka terhadap Al-Izzu. Sebaliknya, Sultan Najmuddin memberikan alasan bahawa penjualan arak itu sebenarnya sudah pun wujud sejak zaman pemerintahan ayahnya, bukan diluluskan oleh kerajaan beliau.

Mendengarkan hujah itu, Izzuddin terus menempelak Najmuddin. Katanya, “kamu ini samalah seperti orang yang disebutkan Allah di dalam al-Quran, “sesungguhnya kami mendapati bapa-bapa kami dulu menganut suatu agama (Az-Zukhruf:22)”. Justeru, kamu hanya mengikut apa yang telah dilakukan ayahmu, sekali pun ia perbuatan mungkar?”

Sergahan itu membuatkan Najmuddin mati hujah, lalu berjanji akan membasmi penjualan minuman haram itu.

Tatkala kembali kepada murid-muridnya, Izzuddin menjelaskan sikap kerasnya terhadap sultan itu. Katanya, “aku telah melihat ia terlalu berbangga dengan kebesaran dimilikinya. Lalu aku merasakan bertanggungjawab membuatnya menjadi hina supaya dia tidak terus sombong, kerana kesombongan itu akan membinasakannya.”

Mengenai sikapnya ini, Syaikh Jalaluddin Al-Isnawi mencatatkan, “Syaikh Izzuddin, semoga Allah menyayanginya, adalah orang yang menganggap rendah para raja dan orang-orang yang menghambakan diri padanya, serta bersikap keras terhadap mereka.”

Sanjungan ulama terhadap ilmunya
Syaikh Tajuddin as-Subki mengatakan, “Al-Izzu adalah syaikh Islam dan muslimin, salah satu imam terkemuka, raja para ulama, imam pada masanya yang tiada bandingannya. Beliau orang yang mengetahui hakikat, rahsia dan tujuan syariat.”

Sanjungan serupa diberikan oleh Jalaluddin As-Suyuti. Beliau menyifatkan Izzuddin sebagai “raja para ulama yang mengambil ilmu usul, mendengar hadith, pandai dalam ilmu fiqh dan bahasa Arab."

Izzuddin Al-Husaini pula menyebutkan, “beliau adalah tokoh tempat tertumpu ilmu pada masanya. Padanya terkumpul banyak disiplin ilmu. Beliau seorang yang teguh dalam agama, walau pun mempunyai watak yang tidak suka berlebih-lebihan.”

Fakhruddin Muhammad bin Syakir Al-Katabi turut menyanjunginya. Katanya, “Syaikh Izzuddin adalah tokoh para tokoh, mendengar hadith, belajar fiqh, mengajar dan memberi fatwa, menguasai mazhab, mencapai darjat mujtahid, ditujui para siswa dari berbagai negeri dan melahirkan ramai imam. Seorang yang kuat beribadat, warak dan mempunyai fatwa-fatwa yang bagus.”

Menguasai ilmu mazhab
Beliau turut diiktiraf sebagai seorang yang menguasai ilmu mazhab. Kata Imam Ibnu Katsir, “Al-Izzu adalah maha guru mazhab.”  Adz-Dzahabi pula mengatakan, “Al-Izzu telah mencapai darjat mujtahid dan kepadanyalah berhenti kepemimpinan mazhab.”

Menurut Jalaluddin As-Suyuti pula, pada akhir hidupnya, Izzuddin tidak terikat dengan mazhab. Ia telah melintasi mazhab dan memberikan fatwa sesuai dengan ijtihadnya sendiri.

Penghilang bidaah
Salah seorang muridnya, Syaikh Syihabuddin Abu Syamah mengatakan, “dia telah menghilangkan banyak bidaah yang dilakukan oleh para khatib, seumpama mengetuk pedang pada mimbar. Ia juga telah menganggap batil dan mencegah solat Raghaib dan majlis sambutan Nisfu Syaaban.”

Guru dan Muridnya
Di antara gurunya yang utama ialah Syaikh Fahkruddin bin Asakir, Syaikh Saifuddin Al-Amidi, Al-Hafiz Abu Muhammad Al-Qasim bin Al-Hafiz Al-Kabir Abu Al-Qasim bin Asakir, Abdullatif bin Ismail bin Abi Saad Al-Baghdadi dan Al-Qadhi Abdussamad bin Muhammad Al-Harastani.

Manakala sebilangan muridnya yang masyhur ialah Ibnu Daqiq Al-Id, Imam Alaudin Abu Al-Hassan Al-Baji, Al-Hafiz Abu Muhammad Ad-Dimyati, Syaikh Tajuddin bin Al-Faikarah
Abu Muhammad Hibatullah Al-Qifthi dan lain-lain.

Karya-karyanya
Sebagaimana telah disebutkan, Syaikh Izzuddin memang menghasilkan banyak karya yang bagus. Antaranya yang termasyhur ialah Al-Qawa’id Al-Kubra, Majaz Al-Quran, Syajarah Al-Maarif, Al-Ghayah fi Ikhtisar an-Nihayah, Mukhtasar Shahih Muslim, Al-Imam fi Adillah Al-Ahkam, Al-Fatawa Al-Maushuliyah dan al-Farq Baina Al-Iman wa Al-Mihan.

Meninggal dunia
Al-Hafiz Ad-Dimyati mengatakan Syaikh Izzuddin Abdissalam meninggal pada 9 Jamadil Awal tahun 660 Hijriah. Jenazahnya dimakamkan di Al-Qurafah, Kaherah dengan penghormatan diraja. Dikatakan Raja Mesir, Zahir Baibras ikut menyalati jenazah beliau, disertai ribuan ulama, para pembesar negara, pegawai kerajaan dan orang awam.

Semoga Allah memberikan rahmat yang luas kepada Syaikh Izzuddin dan memasukkannya dan kita semua ke dalam syurga-Nya yang tinggi.

Rujukan: Syaikh Ahmad Farid, 60 Biografi Ulama Salaf, Pustaka Al-Al-Kautsar, Jakarta Timur, 2005.

(Artikel ini disiarkan majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, edisi 15 (Julai 2013) di kolum 'ULAMA PEWARIS NABI' dengan tajuk sama)


Selagi ada ruang, nilailah secara positif

Oleh: MOHD NASIR AWANG

AGAK gempar juga pentas media tanahair dengan berita perkahwinan ‘Big Boh’ pentas dakwah, Ustaz Azhar Idrus (UAI). Yang menjadikannya gempar ialah kerana cerita mengenainya tidak dihebahkan lebih awal. Mungkin pihak terbabit sendiri tidak mahu ia dihebahkan, tidak sepertimana kebiasaan dilakukan sebilangan besar selebriti atau orang tersohor.

Lebih dianggap menggemparkan ialah apabila ia pernikahan UAI yang ketiga. Sebagai seorang tokoh dakwah yang diakui menjadi pujaan dan sanjungan jutaan umat Islam yang dahagakan ilmu-ilmu Islam, apa pun yang dilakukan oleh - atau berlaku ke atas - sosok seperti beliau akan segera menjadi perhatian umum. Apatah lagi ianya sesuatu yang dianggap di luar kebiasaan masyarakat umum.

Pendakwah yang juga dikenali dengan jolokan ‘Ustaz Youtube’ itu dilaporkan melangsungkan perkahwinan dengan seorang wanita berasal dari Pagoh, Johor, pada 26 Mei lalu. Gambar pasangan mempelai itu diapit dua wanita berpurdah (dipercayai dua isterinya yang terdahulu) sedang menjamah hidangan dijadikan antara bukti awal oleh media cetak untuk menguatkan berita berkenaan. Ia dikatakan dipetik daripada media sosial seorang teman karib UAI.

Bagai diduga, berita itu segera mengundang reaksi khalayak umum. Bual bicara mengenainya menguasai laman-laman sembang, terutama di media siber. Ribuan melontarkan ucapan tahniah di kesempatan masing-masing. Sebahagian mereka menganggap apa yang dilakukan oleh ikon dakwah itu sesuatu yang wajar dipuji.

Bahawa dengan keilmuan dan ketegasan UAI menyuarakan pelbagai hukum-hakam berkaitan segenap aspek hidup, maka keupayaan beliau menegakkan Sunnah Nabi saw dalam bab kahwin ini tidak diragukan. Beliau dipercayai mampu berlaku adil dan memenuhi segala tuntutan sebagai suami mithali dalam berpoligami.

Tidak kurang juga yang menyeru, secara serius mahu pun dalam nada bergurau, agar apa yang dilakukan oleh pendakwah idola mereka itu turut dijadikan contoh. Justeru, bertalu-talulah seruan dan cabaran sesama mereka agar masing-masing turut memasang hasrat atau merealisasikan niat “membuka cawangan”.

Namun, sebagaimana sering disebutkan orang, bahawa “akan sentiasa ada sisi yang lain pada sekeping syiling”. Begitulah juga dengan berita perkahwinan ketiga UAI ini. Ada pihak yang tidak dapat menilainya dari sisi positif. Komen-komen mereka, terutama yang dapat dibaca di laman-laman sosial, nyata amat negatif dan sinis. Bahkan sesetengah mereka, entahlah sama ada secara jahil atau dengan kesedaran ilmu, tergamak mengungkap kalimah-kalimah yang boleh ditafsirkan sebagai mempersendakan hukum termaktub dalam agama berhubung poligami ini.

Persendaan itu juga, sama ada disedari atau tidak, turut diseret kepada dunia dakwah. Mereka seakan mengambil kesempatan memburuk atau memberikan gambaran negatif terhadap khalayak yang terlibat dengan kerja-kerja agama. Mereka menafsirkan, dan cuba merasionalkan hujah mereka yang tidak rasional itu, kononnya apa dilakukan sosok dianggap ikon dakwah itu boleh menjatuhkan imej dakwah tanahair. Bahawa mengamalkan poligami bukanlah contoh yang baik kepada masyarakat, lebih-lebih lagi mengambilkira betapa sebahagian besar “pemuja” UAI ialah kalangan anak muda.

ii.
Ketidaksediaan seorang rakan kami menerima tawaran menjadi jurunikah baru-baru ini mencetuskan persoalan teman-teman lain. Bual bicara hal itu agak relevan dengan keadaan semasa ketika itu, memandangkan ia musim orang berkenduri-kendara.

Tidak pasti keadaan di tempat lain, tetapi di tempat kami di Besut musim cuti persekolahan selalunya musim amat meletihkan buat jurunikah. Dikatakan sebahagian besar mereka terpaksa memenuhi tempahan khidmat berbelas tempat dalam sehari. Jadual mereka bermula seawal jam 9 pagi dan berakhir lewat malam, bahkan kadang-kadang terpaksa berlarutan hingga ke awal pagi.

Permintaan sangat tinggi terhadap jurunikah itu disifatkan teman-teman sebagai peluang baik buat rakan kami itu meluaskan khidmatnya selaku imam rawatib mukim kami. Di samping itu, ia juga peluang untuknya menambahkan pendapatan, walau pun hanya bermusim. Justeru, teman-teman agak hairan kenapa beliau tidak berminat memikul tugas itu.

Jawaban diberikan beliau bagaimana pun membuatkan kami termenung sakan. “Aku takut tak lepas nak jawab depan Allah Ta’ala di akhirat esok-esok”, katanya. Beliau memaparkan realiti masyarakat kita, khususnya kaedah pemilihan saksi nikah yang dibuat semata-mata bagi memenuhi tuntutan peraturan jabatan agama. Sedangkan katanya, ada di kalangan mereka yang disenaraikan itu tidak pun melepasi “syarat menjadi seorang saksi yang adil” di sisi Allah Ta’ala.

“Inilah masalah dengan peraturan kita. Kita duk utamakan kursus kepada pasangan yang nak nikah saja, tetapi kita tak pernah beri kursus pun kepada orang yang nak jadi saksi nikah. Mereka ini hanya tahu sebut ‘sah’ apabila tok imam (jurunikah) tanya, ‘sah?’ Tapi satu benda pun pasal nikah kahwin ni dia tak tahu. Betul ke boleh sah nikah dengan saksi macam tu?”, soal beliau balik kepada kami.

Sepintas lalu, saya akui hujah dilontarkan rakan kami itu bukanlah sandaran yang kuat untuk menidakkan tugas ditawarkan kepadanya. Malah saya percaya masih banyak ruang dalam hujahnya itu yang boleh dipertikai atau diberikan hujah balas, lebih-lebih lagi oleh mereka yang tinggi ilmu dan selok-belok hukum-hakam agama.

Namun, secara peribadi saya tidak mahu memandang sepi hujahnya itu. Paling tidak pun ada suatu kesedaran mendalam dalam hujahnya itu tentang kejahilan melanda masyarakat Islam mengenai agama mereka sendiri, termasuk perkara-perkara penting menyangkuti hidup mereka. Sedangkan agama kita amat menekankan kewajiban mendalami ilmu, terutama berkaitan sesuatu ibadat yang mahu kita laksanakan.

Dalam ertikata lain, selaku orang Islam amat tidak sayugia bagi kita melakukan sesuatu ibadat hanya secara ikut-ikutan, tanpa disertakan pengetahuan dan pemahaman yang jelas mengenainya.

Bagi saya itulah sesuatu yang boleh dikutip secara positif dari hujah rakan kami tadi. Samalah juga dengan keputusan Ustaz UAI berkahwin lagi itu!

(Artikel ini disiarkan di kolum 'Coretan Ketua Pengarang' , majalah ERA Muslimah, Edisi 16 (Julai 2013) dengan tajuk sama)


Saturday, June 29, 2013

Kak Sah kalah hanya kerana dia muslimat?

Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

PADA adatnya, Puan Napisah Ismail  adalah orang paling berhak untuk dipertaruhkan sekali lagi dalam Pilihan Raya Kecil Dun Kuala Besut, nanti. Selaku bekas calon PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang baru sahaja berlalu tidak sampai dua bulan lalu, adalah amat beradab sekiranya peluang kali ini ditawarkan semula kepada beliau.

Lagi pun menurut kebiasaannya, PAS tidak ada apa-apa halangan untuk memberikan peluang kedua, malah ketiga atau lebih, kepada mana-mana individu yang diyakininya mampu memberikan tentangan terbaik kepada parti lawan dalam mana-mana pilihan raya diadakan.

Persoalan ini terlontar semula apabila satu pilihan raya kecil pasti akan diadakan di Dun Kuala Besut tidak berapa lama lagi. Kerusi itu kosong ekoran kematian wakil rakyatnya, Dr. A. Rahman Mokhtar, akibat penyakit jantung dan paru-paru pada Rabu, 26 Jun.

Lalu persoalan siapakah bakal dipilih mewakili PAS dalam pertarungan nanti mula disuarakan. Di situlah timbul pengesyoran di atas tadi. Lagi pun Napisah, atau lebih mesra dipanggil ‘Kak Sah’, sendiri tidak ada apa-apa kelemahan peribadi sehingga boleh dipertikaikan kewibawaannya membawa suara parti sekiranya terpilih.

Pengalamannya memegang berbagai jawatan parti sejak hampir tiga dekad lalu, sama ada di peringkat Cawangan, MTD, Kawasan mahu pun Negeri adalah suatu yang tidak dapat dinafikan. Komitmennya terhadap kerja-kerja parti tidak pernah luntur mahu pun goyah.

Malah, memperkukuhkan lagi pengorbanan beliau ialah wujudnya gandingan mantap bersama suami, Cikgu Zawawi Mahmud. Pesara guru itu bukan sosok yang asing bagi pendukung PAS, khususnya di Besut. Kewujudannya dalam PAS di pelbagai peringkat agak sinonim dengan jawatan ‘setiausaha’.

Cikgu Zawawi pernah memegang jawatan yang merupakan ‘nadi organisasi’ itu di cawangannya, Kampung Dengir; Unit Peti Undi (UPU) Bukit Puteri, Majlis Tindakan Dun (MTD) Kuala Besut dan terakhir sempat menjawat Setiausaha PAS Kawasan Besut. Malah sepanjang kempen PRU-13 lalu, beliau bertindak selaku ‘Setiausaha Peribadi’ kepada calon Dun Kuala Besut, iaitu tidak lain dari isterinya sendiri.

Ertinya, jika mahu dipersoalkan tentang kelayakan Kak Sah dari sudut komitmen terhadap perjuangan parti, penulis rasakan hampir tidak ada ruang untuk beliau diremehkan. Satu-satunya hakikat yang nampaknya diketengahkan sebagai faktor mengurangkan sokongan terhadap beliau ialah kerana beliau seorang wanita (muslimah).

Itulah sahaja “kekurangan” beliau. Sebenarnya, penulis sendiri telah lama mendengar sungutan beberapa pihak, sedari awal nama Kak Sah disebut-sebut bakal dipilih mewakili PAS di Dun Kuala Besut dalam PRU-13 lalu. Ketika itu belum pun ada kata putus dari pucuk pimpinan, tetapi nama beliau sudah “lacuh” disebut.

Penulis pernah mengulas isu kemungkinan PAS meletakkan calon muslimat di Terengganu menerusi akhbar Harakah (rujuk bil: 1769, 17 Ogos 2012 atau layari http://padredeumares.blogspot.com/2012/08/terengganu-bakal-pertaruh-calon-muslimat.html). Walau pun dalam artikel itu penulis memilih untuk tidak menyebut di kawasan mana calon dimaksudkan itu akan muncul, ia sebenrnya sudah ada dalam pengetahun, termasuk siapa nama bakal calonnya.

Di waktu itu juga penulis sendiri sudah diterjah dengan berbagai suara kurang enak, mempersoalkan kewajaran PAS meletakkan calon muslimat. Salah seorang mereka secara penuh bertanggungjawab melontarkan, “tak ada orang lelaki dah ke kita ni? Ana bimbang takut orang tak boleh terima lagi kat tempat kita ni calon perempuan ni...”

Rakan penulis itu seorang pemerhati politik yang cermat. Beliau mendakwa menerima maklumbalas agak negatif daripada beberapa pihak ditemuinya berhubung hasrat PAS meletakkan calon muslimat.

Ya, kita memang tidak menyangka isu itu akan berlarutan. Kepimpinan parti juga barangkali menganggap ahli-ahli dan pendukung PAS akan akur akhirnya kepada pilihan parti. Justeru, kita diyakinkan bahawa sebarang gertakan atau penegasan mana-mana pihak untuk “boikot” kerja pilihan raya sekiranya calon muslimat diletak, tidak akan menjadi kenyataan.

Tambahan pula di masa sama, Dewan Muslimat PAS Pusat katanya sangat beriya-iya menampilkan calon muslimat di Terengganu. Konon katanya bagi memperlihatkan Muslimat Terengganu tidak ketinggalan dalam ‘perlumbaan’ mengetengahkan wakilnya seperti yang telah bertahun dilakukan oleh Muslimat di negeri-negeri lain.

Tidak sangka pula, bahawa isu itu rupa-rupanya tidak mudah untuk dipadamkan. Penolakan segelintir itu terhadap calon muslimat, melarat menjadi “serangan peribadi” terhadap Kak Sah. Ternyata PAS tersilap underestimate penolakan itu, apabila segelintir itu sanggup pergi lebih jauh mengisytiharkan “haram” mengundi calon muslimat. Memburukkan keadaan ialah apabila “hukum” ini tercium oleh jentera saraf BN. Hasilnya, tidak sedikit mereka yang pada asalnya cenderung memilih PAS akhirnya mengubah pendirian.

Kak Sah memperolehi 6,375 undi berbanding Allahyarham Dr A. Rahman yang mendapat 8,809 undi. Majoriti kekalahannya ialah 2,434 undi, meningkat hanya sedikit berbanding 2,631 pada 2008. Apabila ditanya kenapa keputusan itu sedemikian rupa, ada yang menjawab, “kerana oghe toksir ko calon muslimat”.

Astaghfirullah al-‘Azim, sempit benarkah pemikiran orang di Besut ini sehingga tidak dapat terima muslimat sebagai calon? Ataukah pemimpin kita yang silap kerana meremehkan isyarat awal penolakan itu?

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil:1857, 22-25 Syaaban 1434/1-4 Julai 2013 di ruangan ‘KOLUMNIS F21’ dengan tajuk serupa)