Oleh: Mohd Nasir Awang
SAMBUTAN Hari Wanita 2013 mengetengahkan tema ‘Respek Wanita: Masyarakat Sejahtera’.
Walau pun agak terganggu dengan pemilihan perkataan ‘respek’ itu (apa salahnya
digunakan istilah tulen Melayu seumpama ‘hormati’ atau lain-lain perkataan seertinya?),
apa yang lebih penting ialah maksud dan mesej yang cuba diutarakan di
sebaliknya.
Tema itu dikatakan membawa mesej penting supaya golongan
wanita dihormati, selain mereka menghormati diri sendiri, dalam usaha kita
mewujudkan sebuah masyarakat sejahtera di negara ini.
Dalam hal ini saya agak tertarik dengan penegasan Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim, pada
sambutan berkenaan di ibu negara, 25 Ogos lalu. Katanya, tema tersebut dipilih
bagi meningkatkan kesedaran semua lapisan masyarakat, terutama kaum lelaki
mengenai perkongsian hak dan tanggungjawab dalam mewujudkan masyarakat
progresif.
Beliau malah melontarkan pemahaman lebih luas, sekaligus
memperbetulkan persepsi silap yang mungkin selama ini bersarang di dalam
masyarakat, kononnya apabila bercakap soal menghormati wanita, pokok permasalahan
hanyalah pada kaum Adam.
“Selain itu, tema ini dipilih untuk mengingatkan semua
bahawa mesej ‘respek’ wanita ini bukan hanya ditujukan khas kepada kaum lelaki dalam
konteks keganasan. Penghormatan terhadap wanita perlu dilihat dalam konteks
yang lebih luas, iaitu wanita juga perlu menghormati diri mereka sendiri dan
wanita lain”, akhbar memetik katanya.
Ya, memang benar. Pembicaraan soal menghormati wanita
tidak sewajarnya difokuskan hanya terhadap sikap, pendirian dan tindakan kaum
bapa. Kerap berlaku, golongan wanita sendiri sebenarnya yang gagal menghayati
hakikat dialami kaum sejenis mereka. Mereka bahkan gagal menunjukkan
penghormatan sepatutnya kepada wanita lain, terutama di kala berlaku sesuatu
keadaan melibatkan percanggahan kepentingan antara mereka sendiri.
Ambil saja contoh kes-kes rumahtangga yang porak-peranda.
Bukankah ada perkongsian hidup yang dibina atas dasar suka sama suka, cinta
sehidup semati, kekasih awal dan akhir, tiba-tiba berubah menjadi “medan
tempur”, sumpah-seranah dan ungkit-mengungkit antara pasangan bahagia itu?
Kita fokuskan saja perbincangan kita kepada kes-kes
persengketaan antara suami-isteri sebegini yang didakwa berlaku hanya ekoran
kehadiran “orang ketiga”. Cuba tanyakan, berapa banyak di antara kes sedemikian
di mana “orang ketiga” itu adalah kaum lelaki? Sudah tentu tidak sukar diakui
bahawa hakikat yang berlaku adalah sebaliknya. Dalam kebanyakan kes, wanitalah
yang menjadi “orang ketiga” itu, yang didakwa menjadi perosak kebahagiaan
sebuah rumahtangga, bukan?
Kita lihat pula kes-kes poligami, yang kebelakangan ini
nampaknya semakin menjadi kecenderungan, terutama di kalangan para asatizah dan
ulama. Tanpa menafikan ada kes tertentu yang menatijahkan ketidakadilan
terhadap mana-mana isteri, ia bukanlah alasan atau hujah untuk mana-mana pihak menafikan
keharusannya. Ketahuilah bahawa Islam amat bertanggungjawab di dalam memberikan
keizinan kepada kaum lelakinya beristeri lebih daripada seorang. Disertakan
sama dalam syariat suci ini garis panduan yang cukup jelas berhubung hal itu.
Memang ada sang suami yang ‘bangang’, yang hanya tahu
berkahwin ramai, tetapi tidak menghiraukan soal berlaku adil di antara para
isteri. Namun, itu kesalahan individu terbabit dan tidak wajar dipersalahkan atas
kecacatan syariat agama ini. Di samping itu, kita berharap suami yang ‘kurang
asam’ sebegini menyedari kesilapan dan segera memperbetulkannya, jika dia tidak
mahu dibangkitkan di akhirat kelak dalam keadaan senget sebelah!
Keghairahan sebilangan pihak menyorot hanya sisi negatif
dari isu poligami bagaimana pun kerap mendinding mereka dari melihat manfaat
dan kebaikan tersembunyi di sebalik amalan itu. Sehinggakan kedapatan kes-kes
tertentu di mana sang suami berkeputusan berbuat demikian di atas hasrat murni
membela kaum Hawa yang “tidak terbela”, juga gagal mendapat sokongan kaum
sejenis mereka.
Akuilah bahawa bukan semua lelaki berkahwin lagi itu
semata-mata di atas dorongan syahwat atau kemaruk kebendaan. Bukankah di
hadapan kita kedapatan kes-kes di mana suami kahwin lagi dengan ibu tunggal
atau anak dara lanjut usia? Bahkan, dalam kes-kes tertentu jika dinilai pada rupa
paras, isteri sedia ada jauh lebih ‘trang-tang-tang’ berbanding isteri baru.
Ertinya, jika mahu diterima secara positif, tindakan sang
suami itu adalah untuk membantu wanita-wanita yang “tidak terbela” sebegitu. Ada
ibu tunggal yang kematian suami atau bercerai, tetapi terpaksa menanggung
nafkah diri dan beberapa anak yang masih kecil. Begitu juga ada anak dara yang
sudah menjangkau usia lewat 30-an atau 40-an, tetapi masih belum ada yang sudi
hadir menemani hidupnya. Mereka ini memerlukan “pembelaan” sewajarnya.
Malangnya, apabila ada suami bertindak menyelamatkan
keadaan, ramai isteri tidak berupaya merasionalkan “pelan kebajikan ummah”
dilaksanakannya. Sekali lagi, kita berdepan dengan kes di mana kaum wanita
sendiri yang tidak berupaya menghormati hak wanita lain untuk turut sama
berkongsi kebahagiaan hidup di dunia yang sementara ini.
Dalam kes-kes lain, ada juga sesuatu isu yang
diperjuangkan satu pihak untuk mengangkat dan menjaga martabat wanita, tetapi
dibantah oleh kaum wanita sendiri.
Ingat lagi isu penguatkuasaan peraturan berpakaian menutup aurat
terhadap pekerja wanita di restoran dan pusat-pusat membeli-belah oleh sebuah
pihak berkuasa tempatan di sebuah negeri suatu ketika dulu? Begitu juga isu
larangan mempamerkan wanita tidak menutup aurat di dalam mana-mana iklan di
khalayak umum?
Bagi kita yang faham, kita akui menjadi tugas sebuah kerajaan Islam
untuk melindungi kaum wanitanya supaya martabat dan maruah mereka sentiasa
terpelihara. Wanita bukan bahan pameran atau barang dagangan untuk menarik
perhatian lelaki.
Daya tarikan istimewa yang ada pada wanita tidak wajar disalahgunakan,
termasuk bagi melariskan perniagaan. Membiarkan wanita memperagakan susuk tubuh
dan kecantikan sebenarnya menjatuhkan martabat mereka yang suci.
Malangnya kecenderungan ke arah itu semakin berleluasa kini. Hal itu
memaksa sesebuah kerajaan mengadakan peraturan bagi membendungnya.
Penguatkuasaan peraturan sebegitu baik bagaimana pun mengundang reaksi
negatif beberapa pihak. Rata-rata yang membantah beranggapan peraturan
berkenaan suatu prejudis dan diskriminasi terhadap wanita. Malah ada yang
menyifatkannya sebagai mengarut dan tidak masuk akal.
Sekali lagi, pihak paling ke depan membantah usaha menjaga martabat dan
kehormatan wanita ini ialah pertubuhan-pertubuhan wanita dan pemimpin wanita
sendiri. Justeru, ada benarnya pendirian diambil Mak Menteri kita, bahawa
wanita sendiri perlu “menghormati diri mereka dan wanita lain”.
No comments:
Post a Comment