Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi
Allah, Yang telah menurunkan kitab suci Al-Quran sebagai petunjuk buat manusia
seluruhnya. Salawat dan salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad saw, Penghulu
segala nabi dan rasul.
Proses menyiapkan
bahan-bahan untuk menerbitkan edisi 16 ini berlangsung di saat umat Islam
menyambut kedatangan bulan mulia, Ramadhan al-Mubarak. Bulan yang dijanjikan
Allah Taala dengan berbagai kerahmatan dan keberkatan dari sisinya, terutama
bagi setiap diri Muslim yang pandai memanfaatkan kehadirannya dengan sebaik
mungkin.
Di tahun lalu, edisi
menyambut Ramadhan telah kita isi dengan beberapa tulisan dan kupasan para
asatizah kita berhubung kelebihan dan peluang yang disusun oleh agama kita bagi
mencapai Ramadhan terbaik. Biar pun sudah setahun berlalu, ilmu-ilmu yang kami
paparkan di dalamnya tetap malar segar dan relevan sampai bila-bila. Moga para
pembaca tidak keberatan membelek naskhah itu kembali.
Ketika catatan ini
dibuat, umat Islam khususnya di negara kita juga sedang berdepan beberapa isu
yang dianggap menghina ajaran dan pegangan agama kita. Ada isu wanita Islam
diberikan syarat menanggalkan tudung sekiranya mahu diambil bekerja. Ada isu
atlet Melayu yang masih remaja merogol pelatih dalam keadaan ‘separuh sedar’
(dipercayai akibat pengaruh alkohol).
Terkini ialah isu
persendaan sepasang anak muda bukan Islam terhadap ajaran Islam. Kononnya di
atas hasrat meraikan teman-teman beragama Islam di atas kedatangan Ramadhan,
mereka nyata tersalah pilih pendekatan apabila mengajak umat Islam berbuka
puasa dengan sajian yang memang diketahui haram untuk kita.
Tidak syak lagi semua
ini ditakdirkan berlaku dengan hikmat tersendiri di sisi Allah. Ia tidak
sepatutnya dibiarkan berlalu begitu saja tanpa diambil pengajaran atau
dijadikan bahan renungan. Bahawa persendaan terhadap ajaran dan hukum Tuhan
sudah semakin menyerlah dalam masyarakat kita, sama ada oleh bukan Islam mahu pun
individu yang bernama Islam sendiri.
Kesemua perkembangan
ini sebetulnya menebal dan membukitkan lagi komitmen kami untuk terus
menerbitkan majalah ini. Bahawa tuntutan menyebarluas ilmu-ilmu Islam
bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah semakin besar tatkala umat Islam semakin
menyimpang dari ketaatan terhadap Allah dan Rasul-Nya.
Bagi menyempurnakan
hasrat itu, sokongan dan dukungan saudara-saudari pembaca amat kami sandarkan.
Moga kita semua mendapat saham masing-masing dalam membela agama Allah ini. Wassalam.
Al-faqir ilallah,
Mohd Nasir Awang
(Artikel ini adalah catatan editorial majalah Dian - Ihya' As-Sunnah Bil. 16, Ogos 2013)
No comments:
Post a Comment