Sunday, September 15, 2013

Said bin Jubair – rela syahid menentang pemerintah zalim

Oleh: MOHD NASIR AWANG

Muqoddimah
“Orang yang paling tahu tentang ilmu-ilmu Al-Quran adalah Mujahid, yang paling tahu tentang haji adalah ‘Atha’, yang paling tahu tentang hukum halal-haramnya suatu perkara adalah Thawus bin Kaisan, yang paling tahu tentang talaq adalah Said bin Al-Musayyib, dan yang paling mampu mengkombinasikan dan menguasai semua disiplin ilmu tersebut adalah Said bin Jubair.”

Demikian kata sanjungan Khushaif, salah seorang ulama, memperihalkan ketinggian ilmu Said bin Jubair rahimahullah. Kemampuan ilmunya dikatakan tiada tandingan di kalangan ulama sezamannya, bahkan di zaman selepasnya. Berkata Ibrahim An-Nakhaie, “Said (bin Jubair) tidak meninggalkan kemampuan intelektual kepada seseorang yang sebanding dengannya sesudah dia meninggal dunia.”

Beliau bahkan menjadi tempat rujuk para ulama yang sempat hidup sezamannya, termasuk di kalangan tabien dan para Sahabat. Salah seorang Sahabat, Ibnu Umar ra pernah diriwayatkan mengiktiraf keilmuan Said bin Jubair, walau pun Said pernah menimba ilmu daripadanya sendiri (menjadi murid Ibnu Umar).

Hal ini diceritakan dari Aslam Al-Munqiri, dengan katanya, “ada seseorang datang menghadap Ibnu Umar dan bertanyakannya mengenai ilmu faraid. Dia (Ibnu Umar) menjawab, “tanyakanlah kepada Said bin Jubair, kerana dia lebih tahu tentang ilmu berhitung daripada saya, dia sangat ahli di bidangnya dan dapat membahagi sesuai dengan ketentuannya (dalam pembahagian pusaka).”

Penghormatan serupa turut diberikan seorang lagi Sahabat Nabi saw, iaitu Ibnu Abbas ra. Diriwayatkan jika ada seseorang penduduk Kufah bertanya kepada beliau mengenai permasalahan agama, maka dia mengalihkannya kepada Said bin Jubair dengan katanya, “tidakkah di antara kamu ada Ibnu Ummu Ad-Duhama’ (Said bin Jubair)?”

Nama & kelahirannya
Nama penuhnya ialah Said bin Jubair bin Hisyam Al-Asadi Al-Walibi, Abu Muhammad, dipanggil pula dengan Abu Abdillah. Dia adalah seorang imam, al-Hafiz (yang hafaz banyak hadith dan juga hafaz Al-Quran), ahli tafsir dan salah seorang pejuang yang mati syahid menentang pemerintah yang zalim.

Tiada catatan tepat mengenai tarikh kelahirannya. Cuma andaian dapat dibuat berdasarkan beberapa fakta berkaitan. Antaranya apabila Said bin Jubair diriwayatkan pernah berkata kepada anak lelakinya, “ayahmu tidak akan ada lagi setelah berusia 57 tahun.” Mengambilkira tarikh beliau dibunuh ialah pada Syaaban tahun 95 Hijriyah, maka ada penulis mengira tarikh kelahirannya pada sekitar tahun 38 Hijriyah.

Adz-Dzahabi pula menegaskan bahawa Said bin Jubair lahir di zaman Abu Hasan Ali bin Abi Talib menjadi khalifah. Ada pula yang mengatakan, “dia berumur 49 tahun (ketika meninggal), jadi dia lahir pada tahun 46 Hijriyah.”

Guru dan muridnya
Said bin Jubair sempat menimba ilmu daripada sebilangan para Sahabat dan tabien. Beliau banyak meriwayatkan hadith daripada tokoh-tokoh ilmuan terkemuka di zamannya. Antara mereka ialah Anas bin Malik, Abdullah bin Az-Zubair, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Umar Al-Khattab, Abdullah bin Mughaffal, Adi bin Hatim, Abu Said Al-Ansori, Abu Musa Al-Asyaari, Abu Hurairah, Sayyidah Aisyah, Amr bin Maimun Al-Audi dan Add-Dhahak bin Qais Al-Fahri.

Beliau merupakan murid senior kepada Ibnu Abbas, terutama dalam menimba ilmu-ilmu hadith dan tafsir al-Quran. Tafsiran dan huraian beliau mengenai ayat-ayat al-Quran kerap dijadikan rujukan dan dipetik para ulama di dalam mengarang kitab-kitab mereka.

Kesungguhannya menyebarkan ilmu dimilikinya tidak dinafikan lagi. Hubaib bin Abi Tsabit pernah menceritakan, “Said bin Jubair berkata kepadaku, ‘sesungguhnya menyebarkan ilmu pengetahuan lebih aku sukai daripada aku perlu membawanya ke kuburku’.” Baginya, tanda-tanda kebinasaan bagi manusia ialah apabila para ulama telah dipanggil menghadap Allah SWT (meninggal dunia).

Ada pun anak-anak murid Said bin Jubair tersangatlah ramai. Antara mereka yang termasyhur ialah dua anak lelakinya sendiri, Abdul Malik dan Abdullah, Ya’la bin Hukaim, Ya’la bin Muslim, Al-Mughirah bin Syu’bah, Al-Qasim bin Abi Murrah, Talhah bin Musharrif, Adam bin Sulaiman, Abu Az-Zubair Al-Makki, Asy’ats bin Abi Asy-Sya’tsa, Hubaib bin Abi Tsabit dan Al-Hakam bin Utaibah.

Peribadatannya
Said bin Jubair adalah salah seorang wali dari wali-wali Allah SWT yang soleh dan dikabulkan doa-doanya. Kehidupan sehariannya yang senantiasa mengingati Allah (berzikir) dalam setiap perkara dilakukannya menyebabkan dirinya hampir kepada Allah.

Beliau pernah berkata, “sesungguhnya rasa takut itu hanyalah kepada Allah SWT, dan rasa takut anda itu hendaklah dapat menghalangi antara anda dan perbuatan maksiat, kerana itulah takut yang sebenarnya. Zikir adalah taat kepada Allah. Barangsiapa yang taat kepada Allah, maka dialah orang yang berzikir kepada-Nya, dan barangsiapa yang tidak mentaati-Nya, maka dia bukanlah orang yang berzikir kepada-Nya, walau pun dia memperbanyak membaca al-Quran dan bertasbih.”

Hilal bin Khabab pernah meriwayatkan suatu peristiwa berjalan bersama Said bin Jubair untuk menziarahi kematian. Katanya, “selama dalam perjalanan dia (Said) banyak memberikan hukum-hukum agama dan peringatan kepada kami, hingga sampai di tempat kematian itu. Ketika sudah duduk, dia pun masih begitu hingga kami berdiri dan pulang ke rumah. Dia adalah seorang yang banyak berzikir kepada Allah SWT.”

Dari Nushaif pula, katanya, “aku melihat Said bin Jubair melakukan solat dua rakaat di belakang Makam Ibrahim sebelum solat Subuh. Lalu aku mendatanginya dan melakukan solat di sampingnya. Kemudian aku bertanya tentang sebuah ayat al-Quran, tetapi dia tidak menjawabnya. Setelah selesai solat, dia berkata, ‘jika Fajar telah tiba, maka janganlah kamu berkata-kata selain berzikir kepada Allah, sampai setelah kamu melaksanakan solat Subuh’.”

Beliau amat memberati solat dan membenci seseorang yang tidak tenang dalam melakukan solat. Abdullah bin Muslim bin Hurmuz pernah menyebutkan, “aku tidak pernah melihatnya (Said) solat kecuali bagaikan batu yang kukuh (khusyuk).”

Beliau juga gemar berpesan kepada sahabat dan anak buahnya perihal menjaga solat. Umar bin Dzar berkata, Said bin Jubair pernah menulis surat kepada ayahnya yang berisi wasiat agar sentiasa bertaqwa kepada Allah. Surat itu selanjutnya menyebut, “sesungguhnya kehidupan seorang muslim merupakan harta yang tak ternilai harganya. Pelajarilah ilmu faraid dan selalu ingatlah solat serta rezeki yang telah diberikan Allah SWT.”

Abu Syihab pula berkata, “di bulan Ramadhan Said bin Jubair melakukan solat Isyak, kemudian pulang sebentar ke rumahnya dan kembali semula ke masjid, lalu solat tarawikh bersama kami. Setelah itu melakukan solat witir 3 rakaat dan membaca doa Qunut yang panjangnya sama dengan membaca 50 ayat al-Quran.”

Di ketika lain Said pernah berkata, “janganlah kamu mematikan lampu pada malam-malam sepuluh terakhir bulan Ramadhan, yang merupakan saat-saat tepat untuk beribadat.” Dia juga berkata, “bangunkanlah para pembantu kamu agar mereka makan sahur bersama kamu pada hari Arafah (ikut berpuasa sunat).”

Dari Al-Qasim Al-A’raj, dia berkata, “Said bin Jubair sering menangis pada malam hari (ketika solat malam) hingga penglihatannya rabun.” Dia (Said) juga pernah berkata, “andai hatiku sudah tidak mengingati kematian, nescaya aku bimbang hatiku sudah rosak.”

Kesyahidannya
Said bin Jubair dikenali sebagai seorang alim yang sangat membenci kezaliman dan perlanggaran hukum Allah. Pemerintah di zamannya ialah Al-Hajjaj bin Yusof Ats-Tsaqafi yang terkenal sangat zalim serta melakukan berbagai kerosakan terhadap agama dan masyarakat.

Apabila Ibnu Al-Asy’ats berkeputusan keluar memerangi Al-Hajjaj, Said bin Jubair ikut serta. Beliau malah menyeru kepada kaum muslimin, “perangilah mereka (Al-Hajjaj dan bala tenteranya) kerana kezaliman mereka dalam menjalankan pemerintahan, keluarnya mereka dari agama, kesombongan mereka terhadap hamba-hamba Allah, mereka menghapuskan solat dan merendahkan martabat kaum muslimin.”

Di dalam pertempuran yang berlaku di Dir al-Jamajim, pasukan penduduk mengalami kekalahan. Said bin Jubair lantas bersembunyi dan berpindah-pindah tempat di daerah-daerah pedalaman sekitar Mekah selama 12 tahun.

Adz-Dzahabi berkata, “waktu dia bersembunyi cukup lama. Peperangan dengan Al-Hajjaj Ats-Tsaqafi pada tahun 82 Hijriyah. Mereka tidak dapat mengesan Said bin Jubair kecuali pada tahun 95 Hijriyah, tahun di mana Allah SWT juga membinasakan Al-Hajjaj dan para pengikutnya.”

Sebetulnya, Said bin Jubair sendiri yang akhirnya merelakan dirinya ditangkap. Abu Hushain menceritakan, “aku pernah melihat Said di Mekah, lalu aku berkata kepadanya, “sesungguhnya Khalid bin Abdullah (Datuk Bandar Mekah) telah datang dan aku tidak yakin kamu wahai Said akan selamat.” Dia menjawab, “demi Allah, aku telah melarikan diri (dari pemerintah zalim) sehingga aku merasa malu kepada Allah.”

Maka tertangkaplah Said bin Jubair di tangan Khalid bin Abdullah. Lalu beliau dibawa kepada Al-Hajjaj Ats-Tsaqafi. Adz-Dzahabi berkata, “ketika Said mengetahui keutamaan mati syahid dan dia yakin akan dibunuh, dia tidak berkeluh-kesah. Jika tidak begitu, pastinya dia telah memilih untuk melakukan taqiyah, yang boleh dilakukannya (seperti yang dilakukan Asy-Sya’bi, sahabatnya dalam melepaskan diri dari hukuman Al-Hajjaj).”

Said ternyata tidak mahu menyelamatkan dirinya lagi. Dia malah berdoa agar dirinya menjadi orang terakhir dibunuh Al-Hajjaj dan bala tenteranya.

Dari Abu Saleh, dia berkata, “aku menemui Said bin Jubair ketika dia diajukan kepada Al-Hajjaj Ats-Tsaqafi. Kemudian, aku melihat seorang lelaki menangis, lalu Said berkata, ‘apa yang membuatmu menangis?’ Lelaki itu berkata, ‘musibah yang telah menimpa Tuan.’ Said berkata, ‘janganlah kamu memangis, dalam putusan Allah, ini memang pasti terjadi’.”

Selepas melalui soal jawab yang keras, Said bertegas tidak mahu berkompromi dengan tawaran diberikan Al-Hajjaj. Beliau lalu dibunuh, pada Syaaban tahun 95 Hijriyah.

Maka syahidlah Said bin Jubair. Kematiannya turut meninggalkan kesan sangat buruk terhadap Al-Hajjaj. Beliau sering dihantui mimpi ngeri di atas kekejamannya itu. Ibnu Uyainah berkata, “Al-Hajjaj tidak membunuh orang lagi setelah membunuh Said bin Jubair, melainkan seorang saja.”

Ternyata doa Said bin Jubair agar menjadi orang terakhir dibunuh Al-Hajjaj dimakbulkan Allah SWT.

- Rujukan: Syaikh Ahmad Farid, 60 Biografi Ulama Salaf, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta Timur. 2009.

(Artikel ini disiarkan di kolum ULAMA PEWARIS NABI, majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, Edisi 17 (September 2013) dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment