Friday, March 1, 2013

Seksi - antara hak individu dan keselesaan awam


Oleh: Mohd Nasir Awang

Tuntutan ke arah wujud dan berkuatkuasanya suatu peraturan khusus berhubung etika berpakaian (sopan) di khalayak awam, terutama terhadap wanita, sering berkumandang. Sebagai sebuah negara berteraskan bangsa Melayu yang tebal dengan adat sopan ketimuran, ditambah pula dengan imej negara kita yang sering ditonjol dan diwar-warkan sebagai “Negara Islam Contoh”, maka sudah selayaknya hal-hal berkaitan kesopanan awam dititikberatkan oleh masyarakat negara ini.

Perbahasan dicetuskan isu berpakaian sopan ini juga tidak kurang menghangatkan dada media. Setiap kali berbangkit, ia selalunya segera mengundang reaksi pelbagai pihak, yang pada kebiasaannya terbahagi kepada dua kelompok pandangan atau pendirian.

Pihak yang terbabit dengan penguatkuasaan peraturan tersebut, serta sebilangan yang berpendirian selari dengannya, sudah tentu akan mengutarakan hujah dan sandaran bagi mengukuhkan tindakan mereka.

Secara positif, peraturan itu dilihat usaha terbaik untuk menegakkan kesopanan awam, sekaligus mengurangkan keruntuhan akhlak di kalangan anggota masyarakat. Bagi khalayak ini, menjadi tanggungjawab sebuah kerajaan untuk melindungi kaum wanitanya supaya martabat dan maruah mereka sentiasa terpelihara.

Bahawa wanita bukan bahan pameran atau barang dagangan untuk menarik perhatian lelaki. Daya tarikan istimewa yang ada pada wanita tidak seharusnya disalahgunakan, termasuk bagi melariskan perniagaan. Membiarkan wanita memperagakan susuk tubuh dan kecantikan sebenarnya menjatuhkan martabat mereka yang suci.

Malangnya, hasrat murni itu gagal difahami, terutama oleh khalayak yang kononnya memperjuangkan martabat wanita sendiri. Peraturan sedemikian dianggap prejudis dan diskriminasi terhadap wanita. Kata mereka, “pakaian adalah hak individu dan Pihak Berkuasa Tempatan tidak berhak mencampuri atau menentukan fesyen pakaian individu”.

Itulah hujah agak stereotaip yang kerap diulangsuara pelbagai pihak tatkala berbangkit perbahasan mengenai penampilan sopan di tempat awam. Bantahan dan sanggahan itu seringkali bersandarkan hak dan kebebasan individu.

Kes seumpama ini pernah berbangkit apabila masyarakat setempat di beberapa kampung berdekatan sebuah pusat peranginan di Terengganu membantah cara berpakaian para pelancong di situ. Bagi mereka, para pelancong perlu berpakaian lebih sopan, terutama ketika mandi kerana kawasan itu adalah pantai awam yang turut dikongsi masyarakat setempat.

Agak mendukacitakan, pihak berkuasa dikatakan tidak berminat menyantuni desakan awam itu. Alasan utama diberikan kononnya tidak ada undang-undang khusus membenarkan mereka bertindak berkaitan pakaian tidak sopan di khalayak awam. Turut kedengaran ialah justifikasi “bodoh” kononnya apa yang dipakai para pelancong itu adalah hak individu, terutama dalam kes pelancong dari negara-negara Barat.

Itu satu lagi mindset orang kita yang agak terkebelakang. Mengapa kita mesti “mengalah” sehingga menggadai keselesaan awam kita, hanya semata-mata mahu meraikan gaya hidup pelancong luar? Malah, jika diterjah lebih jauh, apakah betul fahaman kita kononnya masyarakat di negara-negara Barat mengamalkan kebebasan individu sehingga ke tahap seseorang itu boleh berpakaian sesuka hati di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja?

Dalam memahami hakikat ini, saya suka berkongsi satu kes yang baru berlaku hujung tahun lalu di Amerika Syarikat, negara yang sering menjadi kiblat para pejuang hak dan kebebasan individu sedunia.

Ceritanya, selepas bekerja sebagai pembantu pergigian selama 10 tahun, Melissa Nelson dipecat kerana bertabiat terlalu “menggoda” dan dianggap menjadi “ancaman” terhadap perkahwinan majikannya. Menariknya, kes ini diputuskan menerusi saluran undang-undang.

Pada 21 Disember 2012, Mahkamah Agung Negeri Iowa memutuskan bahawa Dr. James Knight, majikan Nelson, berada di dalam hak undang-undangnya apabila memecat Nelson. Keputusan itu mengesahkan keputusan mahkamah rendah sebelumnya.

"Kita sentiasa berpendirian bahawa Puan Nelson tidak diberhentikan disebabkan gender, dia diberhentikan kerana pertimbangan bahawa tabiatnya tidak sesuai di tempat kerja. Dia seorang wanita yang menawan. Dr. Knight menganggap perlakuan dan pakaiannya tidak sesuai", kata Stuart Cochrane, peguambela Knight.

Berdasarkan dokumen mahkamah, mereka berdua tidak pernah melakukan hubungan seks atau cuba melakukannya. Bagaimana pun, dalam setahun setengah terakhir perkhidmatan Nelson, Knight mula menegur mengenai cara Nelson berpakaian yang disifatkan terlalu ketat atau “mengganggu”.

"Dr. Knight mengakui dia pernah sekali memberitahu Nelson bahawa jika dia melihat seluarnya (Knight) timbul, dia (Nelson) patut tahu bahawa pakaiannya terlalu menjolok mata," baca penghakiman itu.

"Dr. Knight merasakan demi kepentingan terbaik perkahwinannya dan kepentingan terbaik untuk dia (Nelson) juga, ialah dengan menamatkan hubungan perkhidmatannya," kata Cochrane.

Knight mengesahkan di dalam dokumen mahkamah bahawa Nelson berkhidmat dengan baik. Nelson sendiri malah mengakui dia dilayan dengan penuh hormat.

Apabila suami Nelson cuba berunding dengan Knight, doktor gigi itu memberitahunya dia "bimbang dia akan mempunyai hubungan sulit dengan Nelson kemudian hari jika dia tidak memecatnya."

Nah! Bukankah kes ini menafikan alasan “bodoh” tadi, kononnya negara Barat mengamalkan kebebasan individu yang tidak boleh disentuh atau disanggah? Apa yang pasti, sebuah masyarakat, lebih-lebih lagi masyarakat negara kita yang bertunjangkan penduduk beragama Islam, perlu ada peraturan termasuklah peraturan berpakaian.

Ya, memang setiap individu mempunyai hak dalam memilih cara berpakaian dan menampilkan diri. Tetapi dia harus ingat bahawa orang lain juga mempunyai hak untuk berasa selesa ketika berada bersamanya di tempat awam.

Akuilah bahawa kita hidup dalam masyarakat, bukan tinggal seorang diri dalam gua atau hutan belantara. Sekiranya kita memilih untuk berpakaian sesuka hati, ia mungkin menyinggung perasaan dan keselesaan orang lain. Justeru, hormatilah hak-hak keselesaan awam!

(Artikel ini termuat di dalam majalah ERA Muslimah Bil. 13 (Mac 2013) di ruangan "Coretan Ketua Pengarang" dengan judul sama)

No comments:

Post a Comment