Friday, March 1, 2013

Toleransi Saidina Umar - Yahudi tak kenang budi


PERGERAKAN pembebasan Kota al-Quds bermula dengan peperangan Mu'tah, perutusan tentera Usamah bin Zaid dan peperangan Yarmouk, yang menyaksikan kemenangan Islam mengalahkan tentera Romawi. Pada bulan Rabiul Awwal tahun 15 Hijrah, Saidina Umar  bin al-Khattab ra menerima anak kunci Kota al-Quds dan memeterai perjanjian dengan kaum Kristian, yang dikenali sebagai al-Uhdah al-Umariyah.

Perjanjian bersejarah itu berbunyi:
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Inilah apa yang telah diberikan hamba Allah Umar, Amirul Mukminin, keamanan kepada penduduk Iliya'. Dia (Allah) telah memberikan keamanan untuk diri mereka, harta benda mereka, gereja-gereja mereka dan rumah-rumah ibadat mereka, sama ada yang elok atau rosak, dan kepada seluruh penganut, bahawa tidak sekali-kali gereja-gereja mereka dihuni (rampas) dan tidak sekali-kali dimusnahkan dan sekali-kali dilakukan kekerasan terhadap mereka, sama ada pada tubuh badan atau harta benda. Mereka sekali-kali tidak dipaksa untuk meninggalkan agama mereka dan tidak sekali orang Yahudi menghuni bersama mereka di Iliya'.

Menjadi kewajiban ke atas penduduk Iliya' untuk membayar jizyah sebagaimana ahli agama lain membayarnya. Menjadi kemestian ke atas mereka untuk mengeluarkan orang Rom dan perompak. Maka sesiapa dari kalangan mereka yang keluar, dia dan hartanya selamat sehinggalah dia sampai ke tempat perlindungannya. Sesiapa dari kalangan mereka mahu kekal, maka dia selamat tetapi mestilah dia membayar jizyah, sebagaimana yang dilakukan oleh penduduk Iliya'.

Sesiapa dari kalangan penduduk Iliya' yang mahu pergi dengan hartanya bersama-sama orang Rom, maka mereka selamat sehinggalah mereka sampai ke tempat perlindungan. Sesiapa dari kalangan penduduk bumi ini yang mahu kekal, maka hendaklah dia membayar jizyah sebagaimana penduduk Iliya' dan sesiapa yang mahu berada di bawah Rom dan sesiapa yang mahu kembali kepada keluarganya, tidak diambil daripada mereka sesuatu pun sehinggalah mereka menuai tanaman mereka.

Sesungguhnya apa yang ada di atas tulisan ini adalah janji yang bertunjang kepada Allah, Rasul dan para Khulafa' dan orang-orang Mukmin, jika mereka membayar jizyah yang diwajibkan ke atas mereka.

Ditulis dan dihadiri pada tahun 15H oleh Umar bin Al-Khattab. Saksi kepadanya ialah: Khalid bin Al-Walid, Amru bin Al-Aas, Abdul Rahman bin Auf dan Muawiyah bin Abi Sufyan.

Sejarah telah membuktikan sikap bertanggungjawab umat Islam yang berpegang teguh kepada janji setia ini. Begitu juga dengan keredhaan dan setiakawan ditunjukkan oleh kaum Kristian yang tulen terhadap kerajaan Islam.

Antara isi kandung terpenting perjanjian aman dengan penduduk Kristian di Kota al-Quds (Jerusalem atau Iliya') ini ialah tidak membenarkan pendudukan Yahudi mendiami kota ini. Tentang hal ini, Abdul Hadi Awang berpandangan, “kerana pada waktu itu belum ada lagi orang Yahudi ketika orang Islam membukanya, ini kerana orang Nasrani (Kristian) mengharamkan ke atas orang Yahudi untuk menghuni di kota-kota suci.” Dalam ertikata lain, penegasan Saidina Umar yang melarang orang Yahudi mendiami Kota Al-Quds adalah sebagai meraikan pendirian kaum Kristian sejak sekian lama.

Menurut Ahmad Fauzi Hassan pula, tindakan itu “hanya ilham dan pandangan jauh Saidina Umar tentang masa depan dan nasib kota ini (Al-Quds) jika diduduki sama oleh bangsa Yahudi. Sedangkan bangsa Yahudi tidaklah menimbulkan apa-apa permasalahan ketika itu.”

Namun seperkara yang jelas, meski pun Islam mendakwa Al-Quds milik umat Islam, penghormatan diberikan Islam terhadap pegangan dan kepercayaan agama-agama lain amatlah tinggi. Soal kebebasan menganut dan mengamalkan ajaran agama bukan Islam adalah suatu kewajiban yang dijamin oleh Islam.

Islam adalah agama yang penuh tolak ansur dan tidak memaksa pihak lain mempercayai dan menerima apa yang mereka tidak percaya atau terima. Apa yang dibuat oleh Saidina Umar terhadap kaum Kristian di Kota Al-Quds jelas membuktikan bahawa meski pun memiliki kuasa sebagai penakluk, Islam tidak mengajar umatnya untuk memaksa apatah lagi menindas kaum yang ditakluki.

Sebab itu apabila Saidina Umar mengetuai umat Islam membuka Kota Al-Quds, kerajaan Islam pimpinannya telah memberikan hak-hak yang berkait dengan keagamaan kepada penganut-penganut agama yang mempunyai asas dan kedudukan agama di situ. Kota itu memiliki kesuciannya dan kesucian itu adalah untuk semua umat yang mempunyai risalah samawiyah – Yahudi dan Kristian. Sebab itu tidak boleh sama sekali mana-mana agama memonopoli kota itu dan menyisihkan penganut-penganut agama lain.

Secara praktikal, prinsip ini ditunjukkan oleh Saidina Umar, menerusi beberapa kejadian. Satu ketika Baginda meraikan jemputan daripada orang Kristian untuk menziarahi Gereja Qiyamah. Tatkala sedang berada di situ, masuklah waktu solat. Lantas Saidina Umar berpaling kepada paderi yang ada bersamanya dan bertanya: “Di manakah aku boleh bersolat?

Paderi itu menjawab: “Sembahyanglah di tempat kamu berdiri ( di dalam gereja).”

Umar menjawab: “Tidak sayugia bagi Umar untuk bersolat di Gereja Qiyamah, kerana kemungkinan selepas ini orang-orang Islam akan berkata, ‘di sinilah Umar mendirikan solat’, lalu mereka (menjadikannya alasan untuk) mendirikan masjid di sini.”

Lalu Umar menunaikan solat di tempat lain tidak jauh dari Gereja Qiyamah itu (dan tepat sebagaimana dijangkanya, di situlah umat Islam membina masjid kemudiannya), (Abdul Hadi, 2010).

Dalam riwayat lain oleh Abu Salamah, bahawa Abu Sinan memberitahunya bahawa Ubaid bin Adam mendengar Umar bin Al-Khattab ra berkata kepada Kaab bin Al-Ahbar (seorang Yahudi yang telah memeluk Islam) ketika kedua-dua mereka berada di dalam Masjid Al-Aqsa, “di mana kamu fikir aku patut bersolat di dalam masjid ini?”

Kaab menjawab, “jika tuan menanyakan pendapat hamba, maka hamba rasa seeloknya tuan bersolat di belakang Batu Sakhrah, supaya dengan itu seluruh Kota Al-Quds berada di depan tuan hamba (dan di masa sama turut menghadap ke Mekah – Kaabah).”

Batu Sakhrah atau Foundation Stone (dalam bahasa Ibrani disebut ‘Even haShetiya’) adalah batu yang dianggap suci oleh kaum Yahudi. Mereka bersembahyang menghadap batu itu dan percaya ia merupakan persimpangan untuk mereka menuju ke syurga.

Mendengarkan cadangan itu, Umar menjawab: “Kamu nampaknya mahu aku berebut dengan kaum Yahudi! Tidak, aku sepatutnya bersolat di mana Rasulullah saw bersolat (ketika malam Isra’ Baginda).”

Lalu Saidina Umar menghadap ke arah Kaabah dan bersolat. Baginda kemudiannya menyapu masjid dengan jubahnya dan sekalian yang hadir ikut berbuat demikian (As-Sallaabee, 2008).

Ibnu Taimiyah pula menyebut, “apabila Umar menakluki Kota Al-Quds, Baginda dapati banyak sampah-sarap dilonggokkan di atas Batu Sakhrah, yang dipercayai sengaja dicampakkan oleh kaum Kristian untuk menghina kepercayaan kaum Yahudi yang menganggap batu itu suci dan bersembahyang menghadapnya.

Melihatkan keadaan itu, Umar segera mengarahkan orang-orang Islam yang ada bersamanya agar mengalihkan sampah-sarap dari situ.”

Sebagaimana Saidina Umar menunjukkan sikap tolak ansur dan hormat terhadap kebebasan beragama untuk kaum Kristian, memberikan jaminan keselamatan untuk gereja dan hak milik mereka, Baginda juga tidak menyimpan walau sedikit pun perasaan buruk terhadap kaum Yahudi, di sebalik segala macam karenah dan kejahatan dilakukan kaum itu terhadap umat Islam. Baginda sendiri bahkan menyapu dan membersihkan batu paling suci bagi kaum Yahudi itu dengan tangannya serta mengangkat sebahagian sampah dari situ.

Malangnya, sikap toleransi dan rasa hormat sebegitu tinggi dari umat Islam terhadap kepercayaan kaum Yahudi, sepertimana yang telah dicontohkan oleh Saidina Umar itu nampaknya tidak langsung meninggalkan bekas di kalangan mereka. Kaum itu terus mengganas dan menzalimi umat Islam, sehingga akhirnya memonopoli segala hak memakmurkan kota suci Al-Quds. – Mohd Nasir Awang

Rujukan:
-          Abdul Hadi Awang, 2010, Palestin: Daripada Perampas Jalanan Kepada Peta Jalanan, Kuala Lumpur: Jundi Resources Sdn Bhd.
-          Ahmad Fauzi Hasan, 2011, Palestin: Bumi Pertemuan dan Pertembungan, Kuala Terengganu: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
-          Dr. Muhammad As-Sallaabee, 2008, The Biography of Umar Al-Khattab r.a. (2), London: Maktaba Darus-Salam.

No comments:

Post a Comment