Thursday, January 27, 2011

Tenang imbau nostalgia Teluk Pasu

Oleh: Mohd Nasir Awang

Sama ada kemenangan bakal memihak PAS atau sebaliknya pada 30 Januari nanti, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Johor, yang kini menghampiri kemuncak, banyak mengingatkan kita kembali kepada pertembungan serupa di Dun Teluk Pasu, Terengganu, lebih dua dekad lalu.

Beberapa juzuk dari senario keseluruhan dan tingkah politik yang berlaku di Tenang sejak hampir seminggu lalu memudahkan sesiapa saja yang pernah terlibat di Teluk Pasu melihat titik persamaan kedua-dua proses demokrasi itu.

Dua episod itu berkongsi latar politik hampir sama. PAS menyertai PRK Teluk Pasu berbekalkan dua kerusi dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-7, 1986. Dua kerusi itu ialah Wakaf Mempelam, menerusi Cikgu Mustafa Ali dan Ru Rendang (Tuan Guru Abdul Hadi Awang).

Di Johor kini, PAS menentang Barisan Nasional (BN) di Tenang juga berbekalkan dua kerusi ditawannya dalam PRU ke-12 lalu. Calon PAS, Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh menang di Dun Sungai Abong, manakala Dr Mohamad Taslim menewaskan BN di Maharani.

Dalam kedua-dua PRK di atas, rekod cemerlang dua Adun sedia ada menjadi pembakar semangat buat PAS meletakkan harapan tinggi mendapatkan kerusi ketiga untuknya. Moral PAS berdepan BN menjadi lebih tinggi bilamana ia tidak bersendirian. PAS menghadapi proses demokrasi itu bersama dokongan rakan-rakan.

Di Teluk Pasu, PAS mendapat kawan baru, iaitu kumpulan Team B Umno diketuai Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah. Walau pun ketika itu gabungan Angkatan Perpaduan Ummah belum terbentuk, bahkan Parti Semangat 46 juga belum ditubuhkan, kerjasama erat antara PAS dan kumpulan serpihan Umno itu sudah berputik.

Beberapa PRK sebelum Teluk Pasu membenihkan persefahaman antara dua puak yang selama ini berseteru. PRK Parlimen Johor Bahru dan Dun Parit Raja, Johor, masing-masing pada Ogos dan Oktober 1988 meyakinkan PAS bahawa kumpulan Team B telah mengisytiharkan perang terbuka terhadap musuh yang sama, iaitu BN.

Bahkan, jalinan persahabatan antara PAS-Team B Umno itu bertambah mesra dan erat menerusi PRK Parlimen Ampang Jaya, pada Januari 1989. PAS turun secara lebih tersusun dan terbuka membantu Allahyarham Dato’ Harun Idris, calon Bebas yang mewakili kumpulan serpihan Umno itu.

Di saat kerjasama dan persefahaman semakin mengukuh itulah datangnya PRK Teluk Pasu, Jun 1989. Keadaan hampir sama kini terserlah di Tenang. Tidak sukar diakui betapa PAS amat terhutang budi kepada rakan-rakan parti Pakatan Rakyat.

Apa pun keputusan bakal berlaku Ahad nanti, kehadiran ratusan jentera kempen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tidak syak lagi amat meringankan gerakerja PAS. Bahkan moral PAS amat tinggi apabila beberapa isu dihadapinya turut diperjelas dan dipertahan rakan-rakan itu.

Latarbelakang calon kedua-dua parti di dua PRK itu juga berkongsi persamaan. Di Teluk Pasu, PAS dan BN mempertaruhkan calon berpendidikan agama. PAS menamakan Ustaz Harun Taib, lulusan pengajian syariah Islam dari Timur Tengah. Manakala lawannya dari BN, Haji Abdul Rahman Mohamad juga berkelulusan undang-undang Islam.

Di Tenang pula, kedua-dua calon memiliki latarbelakang khidmat masyarakat yang agak baik mengikut bidang kerjaya masing-masing. Calon BN, Mohd Azahar Ibrahim adalah bekas Penolong Pegawai Daerah, manakala calon PAS, Puan Normala Sudirman (Cikgu Mala) bukan sahaja dikenali masyarakat sebagai pendidik anak-anak mereka, malah mengembangkan jasa baktinya menerusi jawatan Penyelia Pusat Aduan Rakyat Dun berkenaan.

Namun persamaan paling menarik antara Tenang dan Teluk Pasu sudah tentu isu-isu berligar di sekitar kedua-dua PRK ini. Dua isu yang kini kelihatan sedang membelit BN ialah isu salam dan rekod kemasyarakatan calonnya yang disifatkan tidak mesra rakyat.

Jangan lupa isu salam telah cuba dijadikan senjata paling tajam oleh BN di Teluk Pasu. Bersandarkan foto dirakam di pusat penamaan calon, Ustaz Harun difitnah enggan bersalam dengan Abdul Rahman.

Seperti biasa media-media arus perdana talibarut BN memainkan peranan utama memutarbelit fakta dan menyebarluaskan fitnah-fitnah sebegini. Gambar Ustaz Harun berpaling dari Abdul Rahman yang sedang menghulurkan tangan disiarkan media cetak disertakan ‘caption story’ yang amat menjijikkan.

Ia diulas panjang lebar oleh media elektronik buat beberapa hari berikutnya. Rakyat dipaksa percaya kononnya calon PAS menolak salam calon BN. Sekeping gambar disiarkan akhbar itu didakwa membuktikan segalanya.

Lalu isu itu diheret dari perspektif adat budaya masyarakat Melayu. Perbuatan ‘sombong’ Ustaz Harun dikatakan menyalahi tata susila masyarakat. Apatah lagi beliau seorang lulusan agama, yang disifatkan bertindak tidak konsisten dengan ilmu dimilikinya.

Sedangkan keadaan sebenar yang berlaku tidak sedemikian. Namun amat sukar bagi PAS membuktikan sebaliknya, terutama apabila tiada pula wartawan atau penyokong parti yang merakam gambar-gambar sepanjang proses penamaan calon itu, sepertimana sekarang.

Ketika itu akses PAS kepada maklumat dan pertolongan “belakang tabir” dari rakan-rakan media lain juga hampir mustahil.

Allah Ta’ala Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Tanpa disangka gambar yang sangat-sangat dicari PAS itu rupa-rupanya disiarkan sebuah tabloid harian berbahasa Inggeris edisi ibukota.

Pasukan gerak saraf PAS berjaya mendapatkan keratan akhbar itu. Lalu gambar Ustaz Harun sedang menggenggam erat tangan Haji Abdul Rahman sambil kedua-dua mereka tersenyum lebar memandang ke arah kamera diulangcetak PAS dalam bentuk poster.

“Fitnah Barisan Nasional Terbongkar!”, tulis poster itu. Petang menjelang hari pengundian keesokannya, poster itu disebarluas secara terbuka, termasuk kepada pemandu ratusan kenderaan yang bertali arus melewati kawasan PRK Teluk Pasu.

Ya, sekeping gambar itu memang berjaya membongkar fitnah BN. Tidak syak lagi, isu salam yang pada awal disangka BN boleh menikam PAS kembali memakan diri parti itu.

Di Tenang kini, isu salam juga menjadi topik paling diperkatakan. Calon PAS, Cikgu Mala ditohmah sebagai tidak mesra pengundi apabila dikatakan menolak salam lelaki. Kita dapat lihat ekoran keceluparan Presiden MCA, Dato’ Seri Chua Soi Lek, yang sengaja memperlekeh hukum Islam itu kini memakan diri BN. Ia juga menjadikan Umno makhluk ‘bisu’ dan meletakkan BN di kedudukan amat defensif.

Menariknya, dalam kedua-dua episod itu ada pemimpin tertinggi BN sudah mencium sesuatu tidak enak sedari awal. Di Teluk Pasu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, ketika itu Menteri Besar Terengganu, memberi ingatan kepada jentera kempen partinya agar tidak terlalu ghairah memperbesarkan isu salam itu.

Di Tenang pula kita dengar luahan tidak selesa dalam nada serupa turut diucap Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beberapa hari lalu. Isu salam terbukti tidak menguntungkan BN.

Satu lagi persamaan ialah rekod calon BN yang tidak begitu memihak kepada kepentingan rakyat. Di Teluk Pasu, Abdul Rahman dibuktikan pernah menjatuhkan hukuman kepada seorang ulama ketika berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Syariah Besut beberapa tahun sebelum itu.

Beliau memenjarakan ulama itu di atas dakwaan mengajar tanpa tauliah. Walau pun dalam hujah membela Abdul Rahman, para penceramah BN mendakwa perbuatannya itu menepati undang-undang (legally right), bagi rakyat terbanyak tindakan menghukum ulama kerana mengajar agama tetap dianggap perbuatan menyalahi moral (morally wrong).

Kes seakan sama kini menjadi penilaian diri ke atas calon BN di Tenang. Beliau ada rekod keterlibatan dengan kes mahkamah yang membuktikan dia bertindak tidak menepati kehendak rakyat. Mohd Azahar dibuktikan terlibat kes lelongan tanah tanpa kebenaran pemiliknya.

Ya, BN mungkin sehabis daya berhujah apa dibuat calonnya itu ‘legally right’, tetapi rakyat tetap melihatnya sebagai ‘morally wrong’, terutama untuk seorang yang berusaha menjadi pembela kepentingan rakyat.

Tidak syak lagi sebilangan persamaan dicatatkan tadi membantu kita mengimbau episod di manis Teluk Pasu dulu. Beberapa faktor tadi akhirnya membuahkan kejayaan manis untuk PAS. Ustaz Harun berjaya merampas kerusi Dun berkenaan daripada penguasaan BN dengan majoriti 141 undi.

Nostalgia itu sudah tentu akan bertambah indah buat PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat sekiranya Cikgu Mala juga berjaya mengulangi kejayaan ditempa Ustaz Harun itu, Ahad nanti. Insya Allah hendaknya!

(Artikel ini disiarkan laman HarakahDAILY, 28 Januari 2011 dengan tajuk sama. Ia turut disiarkan laman DetikDaily pada hari sama.)

No comments:

Post a Comment