Saturday, January 1, 2011

Gelaran ‘ustaz’, cita-cita datuk pendorong kejayaan

Walau pun berita dan cerita mengenainya tidak termuat di dada media arus perdana sekerap tokoh lain, nama Dato’ Dr Johari Mat bukan lah terlalu asing dalam masyarakat negara ini. Selain sebagai ulama yang aktif menyebarkan dakwah dan ilmu Islam, kolumnis tetap majalah al-Muslimah ini turut dikenali sebagai tokoh akademik yang sarat dengan pengalaman.

Berbekalkan ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang yang diperolehinya dari Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK), Nilam Puri, Kota Bharu (1972-75), Dr Johari memulakan kerjaya sebagai tutor di institusi sama pada 1976. Sejak itu anak kelahiran Kampung Paloh, Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan ini tidak pernah menoleh ke belakang dalam membina kerjayanya di bidang akademik.

Pengalaman ditimbanya selama lima tahun di YPTIK menjadi bekal amat berguna untuk beliau meneruskan khidmat pada tahun sama, juga sebagai tutor, di Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur pula.

Tambahan pula kesempatan bertugas di YPTIK itu dimanfaatkannya untuk menyambung pengajian ke Universiti Imam Mohd Ibn Saud al-Islamiyyah, Riyadh, Arab Saudi bermula 1978. Pada 1982 beliau mendapat ijazah Sarjana Usuluddin (Pengkhususan Akidah dan Aliran Pemikiran Semasa).

“Dengan kelulusan itu, saya diterima menjadi pensyarah di Akademi Pengajian Islam UM (APIUM), Kuala Lumpur, bermula 1983 hingga 1999. Sepanjang tempoh itu alhamdulillah saya sempat menimba banyak pengalaman dalam pentadbiran akademik,” ceritanya.

Beliau diberikan tugas sebagai Timbalan Dekan Fakulti Usuluddin bagi tahun 1983 hingga 1985. Di masa sama beliau turut menjadi Penyelaras Pendidikan Islam UM (1984-85).

Pada 1985, beliau dilantik sebagai dekan fakulti sama, sehingga mengambil cuti menyambung pengajian pada 1990. Beliau kembali ke universiti sama di Riyadh dan berjaya memperolehi ijazah Doktor Falsafah (PhD) Usuluddin pada 1994.

Bermula 1996, Dr Johari diamanahkan sebagai Ketua Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam UM, sehingga dilantik sebagai Professor Madya di APIUM pada 1999. Dua tahun kemudian, beliau berpindah ke APIUM Nilam Puri, Kelantan.

“Saya berkhidmat di situ bermula 2001 sehingga 30 April 2003. Mulai Mei tahun itu, saya dijemput untuk menerajui KIAS ini,” jelas Dr Johari, merujuk kepada jawatan disandangnya kini, sebagai Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), juga di Nilam Puri.

Di samping sibuk dengan tugasan akademiknya, ilmuan Islam yang sangat komited memperbetulkan kefahaman Islam di kalangan anggota masyarakat ini turut aktif di bidang penyelidikan dan penulisan. Selama tiga tahun berturut-turut (1997-99), beliau menjalankan kajian mengenai ajaran sesat di Pantai Timur, Selatan dan Utara tanahair.

Dr Johari turut menghasilkan beberapa buku akademik selain mengambil bahagian aktif dalam penulisan di beberapa majalah ilmiah dan belasan jurnal akademik.

Namun, tidak semua tahu kejayaan dan kemampuan akademik diraihnya kini bermula  dengan segala kepayahan. Ibu bapanya bukan sahaja petani miskin yang kais pagi makan pagi, tetapi juga hampir buta huruf. Hanya bapanya yang tahu sedikit bacaan Jawi, manakala ibunya langsung tidak tahu membaca dan menulis.

“Bukan itu sahaja, mereka langsung tidak  ada cita-cita besar ke atas anak-anak, termasuk saya. Tujuan mereka hantar saya ke sekolah pun sekadar mengharap biar lebih baik sikit daripada mereka”, Dr Johari mengimbau sikap ibubapanya.

Disebabkan pendirian sebegitu, beliau gagal mendapat pendidikan awal yang sempurna. Dr Johari hanya memulakan alam persekolahan pada usia 8 tahun (Darjah Dua), itu pun hanya untuk dua tahun.

“Selepas habis Darjah Tiga, ayah ajak tolong dia pergi teroka tanah hutan di Bukit Bunga. Setahun tahun 1962 tu memang tinggal terus, tak sekolah langsung,” cerita Dr Johari lagi.

Bermula 1963 hingga 1969, beliau menyambung pengajian di Sekolah Menengah Arab Ihsan, Tanah Merah. Ada ketikanya beliau berbasikal ke sekolah yang terletak kira-kira lima batu dari rumahnya itu. Di kebanyakan masa, beliau menaiki bas.

“Sepanjang berulang-alik dengan bas inilah pelajar-pelajar lain pakat gelar saya “ustaz”. Sebabnya, dalam sebuah bas tu, saya seorang saja sekolah Arab. Pakai pun lain daripada orang. Seluar hitam, baju putih, songkok,” ujarnya.

Meski pun tahu gelaran itu tersirat maksud ejekan, Dr Johari mengambilnya sebagai satu cabaran. Beliau menguatkan tekad menukar persendaan itu menjadi kenyataan.

Tambahan pula, katanya, di masa sama datuknya turut memberikan dorongan kepadanya untuk mencapai kejayaan, terutama dalam ilmu Islam.

“Datuk saya kebetulan ada sedikit asas pendidikan, sebab pernah belajar di pondok. Setiap kali ada ustaz beri syarahan di surau, dia akan galakkan saya pergi dengar. Dia kata dia nak tengok suatu hari saya juga boleh bersyarah macam ustaz itu,” cerita Dr Johari lagi.

Alhamdulillah, cita-cita datuknya itu dianggap sudah tercapai apabila Dr Johari muncul sebagai penceramah yang amat disegani keilmuan dan kemampuannya.

Namun, pada usia yang bakal genap 59 tahun pada 28 April 2011 nanti, Dr Johari masih belum benar-benar berpuas hati dengan tahap pencapaian cita-cita hidupnya. Kedudukannya selaku orang nombor satu di KIAS alhamdulillah telah memberikan ruang dan peluang keemasan untuknya memenuhi cita-cita peribadinya memartabatkan sebuah institusi unggul di rantau ini dengan penekanan akademik dan pembentukan syakhsiyah pelajar menjadi insan soleh.

“Bagaimana pun, setelah tujuh tahun di KIAS, saya akui tidak sepenuhnya cita-cita itu tercapai. Cuma kita bangga KIAS sudah melahirkan lulusan yang dapat memberi sumbangan kepada masyarakat, termasuk yang berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran,” ujarnya.

Di rumahnya di Kampung Kedai Menanti, Pasir Puteh, Dr Johari adalah suami penyayang kepada Puan Sarmizin Yusof, 53. Hasil perkongsian hidup sejak 1982, mereka dikurniakan enam cahayamata. Anak sulung mereka, Nurhilwani, 27, menetap di Tumpat.

Lima anak lain masih menuntut. Ibtisam, 24, dalam jurusan syariah di IAIN Lampung, Sumatera; Haninun Ibtihal, 21, di Universiti Tun Abdul Razak (UniTAR), Kota Bharu dan Mohamad Aufa, 20, di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu.

Anak kelima, Adani Sobhah, 14, di Sekolah Menengah Agama Azhariah, Melor, manakala anak bongsu, Ghufroni Huwaina, 7, di Sekolah kebangsaan Tualang Tinggi, Bukit Jawa, Pasir Puteh.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Januari 2011 dengan tajuk "Dato' Dr Johari Mat - Cita-cita datuk pendorong kejayaan" di ruangan Personaliti Lelaki)

No comments:

Post a Comment