Saturday, January 1, 2011

Cadangan hab hiburan dibayangi pelbagai pertikaian

Ada beberapa persoalan yang mungkin segera terlintas di fikiran ramai orang tatkala mengetahui hasrat kerajaan Malaysia menjadikan negara kita sebagai hab hiburan malam.

Hasrat itu diumumkan sebagai salah satu sasaran kerajaan menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) dilancarkannya lebih dua bulan lalu. Menerusi cadangan itu, kerajaan menyasarkan aktiviti malam yang lebih meriah agar berupaya menjana pendapatan hingga RM1.8 bilion menjelang 2020.

Bagi mencapai maksud tersebut, kerajaan bercadang memperbanyakkan pusat hiburan malam dan menganjurkan lebih banyak acara-acara konsert besar bertaraf antarabangsa sekali gus mengendurkan peraturan sedia ada berkaitan penganjurannya.

Secara lebih khusus, kerajaan mencadangkan penubuhan zon hiburan di lima negeri, yang akan menyaksikan terdapat sekurang-kurangnya 10 kelab malam menjelang 2014. Zon hiburan itu dicadang diwujudkan di Kuala Lumpur/Lembah Kelang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu.

Kewujudannya di beberapa zon tertentu secara eksklusif itu bagi menggambarkan ia disediakan semata-mata untuk para pelancong asing. Persoalannya, apakah ada jaminan ia akan hanya dikunjungi warga asing sahaja?

“Adakah bagi menjamin hal itu, kerajaan akan memperkenalkan peraturan ketat sekira-kira tidak akan ada warga tempatan atau rakyat negara kita tumpang berhibur? Saya rasa (peraturan) itu tak mungkin berlaku. Jika pun nanti ada peraturan sebegitu, mampukah kerajaan memastikan ia dikuatkuasakan?”, terjah Ustaz Wan Sukairi Abdullah.

Bagi aktivis masyarakat dan pendakwah bebas dari Kuala Terengganu ini, rekod penguatkuasaan undang-undang dan peraturan yang sangat lemah mewajarkan rakyat bersikap pesimis terhadap kemungkinan itu.

Apatah lagi, katanya, media sering memaparkan tabiat pengusaha pusat hiburan negara ini yang sering tidak menghiraukan undang-undang. Ketamakan untuk meraih untung memungkinkan mereka membuka pintu premis kepada sesiapa saja, sama ada secara terang-terangan atau sembunyi.

“Bagi saya, alasan mengatakan hab hiburan semata-mata untuk pelancong asing tidak begitu boleh dipegang. Mana ada tauke pusat hiburan yang akan halang kalau ada orang tempatan nak masuk tempat mereka?”, soalnya lagi.

Pandangan serupa turut dikongsi Ustaz Mohd Ruden Mohd Yusof dari Semerak, Kelantan. Beliau yang juga Pegawai Dakwah Halaqat Daerah Pasir Puteh malah mempersoalkan apakah premis hiburan sedia ada masih belum cukup untuk menampung keperluan para pelancong asing berhibur.

“Negara ini sudah ada banyak kelab malam, pub dan pusat hiburan dengan macam-macam nama. Inilah tempat anak-anak muda kita habiskan waktu malam mereka dan tempat macam ini lah yang sering kita dengar berlakunya macam-macam kes jenayah.

“Ada yang bergaduh, ada ditangkap ambil dadah, sindiket pelacuran malah kes bunuh pun berlaku di pusat hiburan. Bila khayal dadah atau mabuk arak, semuanya boleh berlaku. Jadi kalau kerajaan nak tambah lagi tempat macam ini, adat katanya akan bertambah lagi lah kes-kes merosakkan masyarakat itu,” beliau melontarkan kebimbangannya.

Baginya, apa yang lebih diperlukan kini ialah langkah lebih efektif dan relevan membendung gejala sosial dan jenayah bertambah teruk. Langkah memperbanyakkan pusat dan acara hiburan sudah tentu bukan meletakkan hasrat itu di landasan betul, bahkan amat bertentangan.

“Nampak seolah-olah negara kita ini sudah terlalu terdesak (kewangan) sehingga tergamak mempromosi pelancongan berteraskan nafsu semata. Apakah sudah tidak ada cara lain boleh difikirkan untuk memacu ekonomi negara? Apakah kerajaan tidak mengambilkira halal-haram asalkan saja ia boleh mendatangkan keuntungan ekonomi?”, terjahnya.

Persoalan serupa turut dilontar Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad dari Besut, Terengganu. Baginya, menjadikan hab hiburan tarikan utama pelancong asing adalah pendekatan yang amat tidak munasabah. Beliau yang juga anggota Exco MuslimCare sebaliknya menyarankan agar kerajaan turut mempromosi pelancongan berteraskan Islam.

“Kita percaya pelancong asing datang ke negara kita bukan semata-mata untuk berhibur. Kalau nak minum arak, melanggan pelacur atau berdansa dan sebagainya, saya kira di negara mereka jauh lebih mudah. Mereka datang ke sini untuk menikmati keindahan alam semulajadi kita, menjiwai kesantunan budaya, merakam warisan sejarah dan sebagainya. Ini lah sepatutnya menjadi aset utama yang layak kita promosikan,” luahnya.

Justeru, beliau tidak menganggap keputusan tepat memperkenalkan Malaysia di mata dunia menerusi hab hiburan. Sebaliknya, beliau mempersoalkan, adakah hasrat itu bertepatan dengan imej Malaysia selaku negara yang pernah didakwa sebagai “Negara Islam contoh” oleh banyak negara dunia suatu ketika dulu?

“Apakah satu kebanggaan bagi kita nantinya, apabila disebut saja Malaysia, maka perkara utama terlintas di fikiran masyarakat dunia ialah pusat hiburan, arak, judi, dadah dan pelacuran?”, bidasnya.

Ada pula cerdik pandai memberikan pandangan secara terpesong dari isu pokok dipertikaikan. Kononnya konsep hab hiburan dimaksudkan kerajaan itu mesti dilihat secara lebih luas dan positif.

Mereka berhujah Islam juga mengharuskan hiburan. Justeru, kata mereka, hasrat kerajaan tadi tidak wajar disalahertikan sebagai terbatas kepada hiburan Barat dan konsert semata-mata. Ia mungkin turut melibatkan hiburan berkonsep Islam yang mampu dijadikan media dakwah.

“Tidak logik, itu pandangan yang tidak berpijak di bumi nyata. Apakah memang hiburan macam itu yang dimaksudkan kerajaan? Jika ya pun, berapa kerat pelancong akan berpusu ke pusat hiburan untuk menonton persembahan nasyid atau lagu-lagu rakyat?,” soal Wan Sukairi, separuh menyergah.

Beliau menganggap pandangan itu amat tidak logik dan terlalu menampakkan cubaan mengampu kerajaan serta mencari rasional menghalalkan cadangan dipertikaikan semua pihak itu.

(Artikel ini adalah versi asal daripada yang disiarkan majalah al-Muslimah edisi Januari 2011 dengan tajuk "Hab hiburan hab maksiat?" di ruangan TOPIK)

No comments:

Post a Comment