Thursday, January 13, 2011

Sukarnya harapkan ketenangan di Tenang

Tidak sukar dimengertikan mengapa daripada ratusan tanah rancangan Felda di serata negara, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad memilih Felda Tenang di Labis, Johor sebagai lokasi majlis rasmi Felda pertama dihadirinya selaku Pengerusi agensi itu.

Jika tidak kerana kawasan Felda tersebut termasuk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang yang bakal menyaksikan pilihan raya kecil akhir bulan ini, besar kemungkinan beberapa lokasi lain dinilai lebih munasabah untuk dirakam detik amat bermakna buatnya itu.

Felda Lurah Bilut di Pahang, misalnya, lebih wajar dipertimbangkan mengambilkira sejarahnya selaku kawasan paling awal dibuka tanah rancangan itu di negara ini. Atau, pihak pengurusan Felda sendiri mungkin akan memilih kawasan paling cemerlang, sama ada dari sudut pencapaian hidup para penerokanya atau produktiviti ladangnya, sebagai lokasi majlis sulung Pengerusinya yang baru itu.

Atau secara peribadi, Mohd Isa sendiri mungkin lebih berminat memulakan langkah turun padang melaksanakan tugas barunya itu di mana-mana kawasan Felda yang berpotensi memberikan saham politik kepadanya. Boleh jadi beliau akan memilih satu kawasan Felda di negerinya sendiri, terutama yang berdekatan dengan kawasan khidmatnya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Bekas Naib Presiden Umno yang dibuktikan bersalah terbabit politik wang itu dilantik sebagai Pengerusi Felda yang baru berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Majlis Ramah Mesra bersama kira-kira 500 peneroka di Dewan Serbaguna Felda Tenang, 5 Januari adalah majlis rasmi pertama dihadirinya. Di kesempatan itu beliau menyerahkan Bonus Insentif Produktiviti kepada wakil-wakil peneroka membabitkan lebih 15 tanah rancangan Felda dalam Wilayah Segamat.

Kenapa dari sebegitu banyak kawasan Felda di seluruh daerah itu, Felda Tenang juga yang dipilih sebagai lokasi majlis itu tidak perlu lagi dipersoalkan. Sudah ditelah tadi bahawa ia ada kaitan sangat munasabah dengan pilihan raya kecil yang bakal diadakan.

Apatah lagi, Mohd Isa turut mengambil kesempatan pertemuan itu untuk memasak minda para hadirin (sebahagian besarnya pengundi Dun Tenang) agar mengekalkan sokongan mereka terhadap Barisan Nasional (BN).

Bagai diduga, tidak ada pula mana-mana pihak yang menganggap penganjuran majlis itu suatu perlanggaran terhadap larangan berkempen sebelum selesainya proses penamaan calon, sepertimana ditegaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor seminggu sebelum itu. Media arus perdana bahkan tanpa teragak menyiarkan laporan beserta ucapan Mohd Isa yang secara jelas bertujuan berkempen bagi pihak BN itu.

Barangkali semua pihak sudah muak dengan manipulasi sebegitu. Kita juga dapat menduga BN sudah bersedia dengan jawaban andai dipertikaikan. Ada ungkapan klise di kalangan para pemimpin parti itu kononnya majlis sedemikian bukan untuk berkempen, tetapi sebagai rutin menyempurnakan agenda pemerintahan.

Lebih memualkan, ada juga pemimpin tergamak memperbodohkan minda rakyat dengan hujah pandir kononnya majlis-majlis di bawah pelbagai kementerian itu sebenarnya telah lama dirancang. Ia hanya secara kebetulan berlangsung di kawasan berlakunya pilihan raya kecil.

Kita percaya berbekalkan alasan loyar buruk itulah, beberapa pemimpin BN sudah pun berlumba-lumba membawa program kementerian dan agensi diterajui masing-masing ke Tenang sejak lebih seminggu lalu.

Di hari sama berlangsungnya majlis membabitkan Mohd Isa itu, Tan Sri Rahim Tamby Chik selaku Pengerusi Risda melancarkan Kelab Usahawan Risda Daerah Segamat di Balairaya Pekan Air Panas, Labis.

Keesokannya giliran Dato’ Seri Shafie Apdal pula berada di situ dalam dua program berasingan. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu menghadiri Majlis Pelancaran Kempen Tanam Semula Peringkat Negeri Johor di Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah, selain satu majlis membabitkan Tabika KEMAS di Felda Chemplak.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Fuad Zarkashi juga dilaporkan menghadiri beberapa majlis rasmi di sekitar Dun Tenang. Antaranya majlis ramah mesra bersama guru-guru dari seluruh Dun tersebut, bertempat di Sekolah Kebangsaan Felda Tenang, Jumaat, 7 Januari.

Ada pun Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Maslan sudah tidak perlu diperkatakan lagi kekerapannya berada di situ. Beliau bagaikan bertukar portfolio sejak kematian Adun kawasan tersebut dan bertugas sepenuh masa menjamin kemenangan BN di Dun Tenang.

Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman juga sering berulang-alik ke situ. Beliau telah mengadakan pertemuan khusus dengan beberapa kelompok pengundi, termasuk veteran Angkatan Tentera Malaysia dan masyarakat India penghuni beberapa ladang dalam Dun berkenaan.

Apa yang berlaku itu menunjukkan BN sendiri selaku penyandang kerusi siang-siang lagi gagal menujukkan sikap “bertenang” dalam mematuhi arahan SPR berhubung pilihan raya kecil di situ. Sebaliknya parti pemerintah itu terlalu gopoh, bukan sahaja mengatur strategi, malah sedari awal turun melakukan kempen pra-tempoh.

Dalam keadaan ia agak ketinggalan ke belakang berbanding BN dalam proses menemui dan menambat hati pengundi, apakah PAS mampu mengawal sikap “bertenang” jentera kempennya sebaik wisel kempen dibunyikan 22 Januari nanti?

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah, Bil: 1605, 14 Januari 2011 dengan tajuk "Sukar mengharapkan 'ketenangan' di Tenang" di ruangan 'kolumnis', F21).

No comments:

Post a Comment