Oleh: Mat Zain Mat Isa
Ada beberapa kesan ke atas pelbagai pihak yang dapat diperhatikan ekoran berlangsungnya simulasi pilihan raya oleh Barisan Nasional (BN) Terengganu minggu lalu. Walau pun secara lahiriahnya ia bukan suatu program yang menghasilkan kegemparan dan bual-bicara hangat dalam masyarakat, program pengundian olok-olok itu sebenarnya telah berjaya meninggalkan kesan psikologi dan emosi, khususnya kepada golongan sasar, pada tahap tertentu.
Biar pun khalayak umum, terutama para pendukung Pakatan Rakyat dan mereka yang memihak pembangkang menganggap program anjuran BN negeri itu sebagai membazir dan sia-sia, bahkan ada yang menyebutnya sebagai ‘kerja orang gila’, ia sebenarnya memberikan kesan positif teurtama dalam konteks memperkasa kekuatan jentera pilihan raya BN negeri itu. Ia suatu amali sangat bermakna membiasakan bukan sahaja tenaga petugas malah sebilangan pengundi sasaran untuk membiasakan diri dengan BN.
Simulasi itu diadakan serentak di seluruh Terengganu pada Sabtu, 26 November. Ia melibatkan kesemua 140 Unit Peti Undi (UPU) di 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun). Sasaran simulasi ialah 60 peratus pengundi baru dan 40 peratus pengundi lama. Mereka yang dipilih kebanyakannya yang berada di dalam senarai penerima pelbagai bantuan kerajaan, sama ada Dana Bakti Remaja, bantuan ihsan, bantuan kebajikan, dana nelayan, e-Kasih dan sebagainya.
Seperkara amat menyerlah, pelaksanaan simulasi itu memanfaatkan beberapa premis awam. Antaranya balairaya, masjid, dewan orang ramai dan pekarangan sekolah. Malangnya, salahguna kuasa itu langsung tidak dianggap kejelikan oleh mana-mana pihak, khususnya masyarakat setempat.
Itu soal penggunaan kemudahan awam. Bagaimana pula dengan dana awam atau peruntukan kerajaan? Setelah sekian lama kita mengenali BN, khususnya Umno, sebagai parti yang bertabiat menyalahgunakan kewangan kerajaan untuk memperkuatkan parti, maka adakah orang boleh menerima kononnya program simulasi pilihan raya BN Terengganu ini disempurnakan tanpa melibatkan walau sesen pun peruntukan kerajaan?
Itulah kesan pertama. BN berjaya mewujudkan persepsi umum bahawa apa yang dibuatnya semuanya baik dan betul. Tidak timbul langsung soal penyalahgunaan kuasa. Khalayak umum seolah boleh menerima apa yang dibuat BN itu sebagai betul dan tidak ada salahnya, walau pun ia secara terbuka menggunakan kemudahan awam dna peruntukan kerajaan untuk menjayakan program parti.
BN telah berjaya mewujudkan persepsi bahawa asal saja sesuatu itu dilakukan BN, semuanya menepati undang-undang dan peraturan.
Kedua, BN berjaya “menyuntik” semangat jenteranya untuk memanaskan badan bagi menghadapi pilihan raya sebenar. Seperti biasa pendorong utama mengaktifkan mereka menjayakan kerja-kerja latihan amali itu dengan penuh kesungguhan ialah tidak lain tidak bukan daripada “fulus”.
Ya, kita diberitahu bahawa hampir segenap peringkat penggerak simulasi mendapat habuan. Setiap ahli jawatankuasa pelaksana di peringkat UPU mendapat imbuhan khas. Dikatakan setiap kali bermesyuarat mereka mendapat elaun sehingga RM50 seorang. Hanya semata-mata di atas premis menjayakan program teresebut, maka beberapa siri mesyuarat diadakan dan kebanyakan ahli jawatankuasa “kenyang” mengaut elaun itu.
Bagi yang tidak terlibat secara langsung sebagai ahli mesyuarat pula, ada juga habuan untuk mereka. Ada yang diberikan kontrak menyediakan makanan dan minuman, bukan hanya untuk setiap kali mesyuarat, bahkan sepanjang beberapa hari kerja persiapan berlangsung.
Manakala pada hari pembuangan undi itu pula, pesanan makanan ditambah untuk setiap pengundi. Bayangkan sahaja apabila setiap UPU mensasarkan 200 pengundi, maka berapakah peruntukan dikeluarkan untuk makan-minum mereka. Congaklah sahaja jumlahnya sekiranya ‘umpan’ serupa turut diagih di kesemua 140 UPU di seluruh negeri.
Ertinya, walau pun simulasi berlangsung hanya sehari, ada pihak yang tersenyum puas dan tersuntik semangat untuk bekerja lagi kerana telah menerima habuan masing-masing.
Ketiga, kesan psikologi kepada para pengundi terpilih. Mereka ini golongan sasar BN, sama ada pengundi baru atau lama. Bagi mereka yang baru pertama kali memangkah, latihan amali ini setidaknya meninggalkan ingatan bahawa pengalaman pertama mereka mengundi ialah dengan memangkah lambang ‘dacing’. BN berharap kesan psikologi itu akan berpanjangan dan bakal diulangi mereka dalam pilihan raya sebenar.
Selain itu, kehadiran mereka ke tempat pembuangan undi bukan setakat fizikal. Mereka hadir dengan dorongan mental dan emosional. Ada suatu perasaan bimbang dan takut di kalangan sebilangan mereka, bahawa sekiranya tidak menyempurkan arahan BN untuk “keluar mengundi”, mereka akan menerima natijah tidak menyenangkan. Paling mereka bimbang ialah kononnya bantuan yang masing-masing terima akan ditarik balik. Nama mereka akan dipotong daripada senarai penerima bantuan kerajaan.
Berdasarkan bual-bicara dalam masyarakat, khalayak pengundi terpilih ini memang ada yang berpendirian begitu. Ertinya, BN telah berjaya mewujudkan ‘budaya takut’ di kalangan golongan sasar ini untuk mengengkari arahan parti itu.
Dalam hal ini agak tidak kena sekiranya PAS memandang remah apa yang dilakukan BN itu dan mengaggapnya sebagai suatu yang sia-sia atau ‘kerja orang gila’. Jangan sekadar memperolok-olokkannya tanpa mengambilkira kesan diraih BN.
Justeru, PAS perlu lebih agresif memberikan reaksi dan serangan balas. Jangan hanya membiarkan penyalahgunaan kuasa oleh BN terhadap kemudahan awam berlalu bagaikan ia suatu lumrah. Rakyat perlu diterang dan difahamkan mengenai tabiat buruk itu agar mereka menilai apa dibuat BN itu sebagai salah dan tidak bermoral.
Di masa sama, wujudkan pettikaian di dalam masyarakat mengenai kewajaran simulasi itu diadakan, terutama apabila ia membabitkan perbelanjaan yang tinggi. Sekiranya tidak dihabiskan untuk itu, banyak perkara lain lebih bermanfaat dapat dilaksanakan untuk rakyat.
(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding artikel disiarkan tabloid Harakah Bil: 1696, 5 Disember 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', F14 dengan tajuk "Usah remehkan pilihan raya olok-olok BN")
No comments:
Post a Comment