Oleh: Mat Zain Mat Isa
Insya Allah PAS tidak akan berdepan masalah perebutan menjadi calon untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti. Jika pun ada lebih daripada satu nama dicalonkan pelbagai peringkat organisasi parti untuk sesuatu kerusi, ia tidak lebih sekadar perbezaan pandangan yang tidak sukar dirai dan dicari titik penyelesaiannya.
Pada adatnya suara-suara berbeza itu tidak akan merebak menjadi perbalahan besar sehingga menjejaskan kelancaran jentera pilihan raya setempat. Jauh sekali untuk sampai ke tahap kronik, sehingga memaksa kepimpinan parti mewajibkan semua ahlinya melafazkan ikrar tata setia, sepertimana yang terpaksa dilakukan Umno mutakhir ini.
Sebagai sebuah parti yang mendukung aspirasi perjuangan Islam dan dikenali amat menitikberatkan soal adab serta akhlak diajar agama dalam setiap keputusan dan tindakannya, PAS selalunya ada kelebihan tersendiri di dalam memadamkan sebarang percanggahan dalaman.
Hakikat itu sama sekali berbeza dengan parti lawannya, Umno yang sudah sinonim dengan politik berpuak, bertelagah dan boikot-memboikot. Ia bukan sahaja berlaku lima tahun sekali tatkala berlangsungnya pilihan raya umum, malah lebih kerap lagi ekoran berlangsungnya pemilihan parti.
Pertelagahan dalaman Umno bukan berakhir setakat protes dan boikot, bahkan sehingga melahirkan parti serpihan. Sejumlah tidak sedikit pemimpin dan pendukung parti itu ‘berhijrah’ menjayakan parti baru, sepertimana disaksikan sejarah politik negara pada 1988 dan 1998.
Kedua-dua peristiwa itu memberikan tamparan hebat kepada Umno. Perbalahan dalamannya menyebabkan parti itu terbelah dua, sekaligus merobek penguasaannya dalam pilihan raya. Jumlah kerusi dipertahankan Umno pada PRU 1990 dan 1999 merosot teruk. Malah ia terlepas dua negeri diperintahnya kepada PAS, masing-masing di Kelantan dan Terengganu.
Rasanya Umno telah banyak belajar daripada episod itu. Bahawa perbezaan pandangan dan pendirian di kalangan ahli-ahlinya bukan suatu yang boleh dianggap remeh. Jika tidak ditangani sedari awal, ia amat berpotensi merebak menjadi tokak dan mendatangkan mudarat besar kepada parti. Pemilihan calon untuk pilihan raya selalunya menjadi medan paling subur untuk perbalahan itu.
Sebab itu bukan suatu yang menghairankan apabila parti Melayu itu kini rancak melaungkan soal taat setia ahlinya sendiri terhadap parti. Sejak beberapa bulan lalu, terutama apabila bayangan PRU-13 semakin menampakkan tanda-tandanya, ahli Umno mula dipasakkan dengan seruan agar mengutamakan kepentingan parti dan mengenepikan kehendak.
Hampir tidak ada pemimpin tertinggi parti itu yang tidak menyuarakan hal itu. Berbekalkan istilah “calon boleh menang” yang dicipta Presidennya sendiri, mereka berusaha keras menyediakan hujah terbaik untuk mengelakkan perpecahan dan perbalahan sesama ahli, terutama di peringkat bawahan.
Ahli Umno sebenarnya sedang dihipnotis dengan istilah “calon boleh menang” agar taat dan tunduk kepada apa juga keputusan pemimpin parti berhubung pemilihan calon. Maka nantinya apabila terpilih sesiapa juga sebagai calon, mereka akan dipaksa menerima kononnya yang dipilih oleh pemimpin itu adalah yang paling “boleh menang” di kalangan sebilangan “calon boleh menang”.
Dalam ungkapan lebih stereotaip, sebarang ketidakpuasan hati ahli bawahan akan ditenangkan dengan ungkapan, “pemimpin tertinggi lebih tahu apa yang baik untuk parti”. Persepsi itulah yang sedang disuburkan di minda pendukung Umno kini.
Apa yang tergambar jelas di Perhimpunan Agung Umno minggu lalu menerangkan hakikat itu. Umno bijak memanipulasi sentimen kebencian para perwakilan dan pendukungnya terhadap pembangkang, setelah ia diapi-apikan oleh hampir setiap pengucap di perhimpunan itu. Lalu di tengah-tengah kebencian itulah ahli Umno dipaksa menuturkan ikrar taat setia tidak berbelah bahagi kepada parti, terutama membabitkan pemilihan calon PRU nanti.
Mereka dipaksa bersumpah menyokong sesiapa pun calon yang bakal dipilih, sama ada yang mereka setuju atau tidak. Mereka juga diminta untuk tidak mengkhianati calon tersebut, lebih-lebih lagi mensabotaj kerja-kerja pilihan raya sehingga menguntungkan parti lawan.
Setakat itu PAS mampu berbangga kerana beberapa sebab. Selain masalah perebutan calon bukan isu besar dalam parti itu, natijah perbezaan pandangan di situ juga tidak merebak sampai ke peringkat menimbulkan perpecahan. Bahkan dalam beberapa kes tertentu, perebutan di kalangan pemimpin PAS lebih kepada menolak pencalonan ke atas masing-masing.
Mengambilkira hakikat itulah timbul persoalan perlukah PAS menunggu saat-saat akhir berlangsungnya PRU untuk mendedahkan calon-calonnya? Apa rasionalnya menanti pembubaran Parlimen untuk memaklumkan kepada individu terbabit bahawa dia akan disenaraikan sebagai calon?
Bahkan, ada kalanya yang empunya diri hanya tahu secara rasmi dia bakal menggalas cabaran parti selang beberapa hari sebelum penamaan calon dilakukan. Sedangkan dia, terutama mereka yang buat pertama kali akan berdepan tugas berat itu, perlukan masa lebih panjang untuk membuat berbagai persiapan.
Selain persediaan kewangan, penampilan diri di dalam masyarakat juga memainkan peranan penting. Bakal calon perlu diberikan isyarat lebih awal untuk membolehkannya turun ke medan. Bukan setakat membiasakan diri dengan jentera dan memperkenalkan diri kepada masyarakat, tetapi perlu dilibatkan oleh segenap organisasi parti di dalam berbagai aktiviti dianjurkan sepanjang tahun.
PAS tidak kurang aktiviti, sama ada membabitkan pendidikan prasekolah, kebajikan mahu pun keagamaan. Mereka yang telah dikenalpasti oleh parti sepatutnya sentiasa ditonjolkan dalam aktiviti-aktiviti seumpama ini. Tidaklah nanti hanya setelah disahkan sebagai calon, dalam tempoh kempen yang singkat itulah mahu dilakukan segalanya, termasuk memperkenalkan diri kepada khalayak pengundi. Kita akhirnya ketinggalan dari aspek memenangi hati rakyat berbanding parti lawan yang mampu mengatasi masalah itu dalam masa singkat dengan umpan bentuk lain.
(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding artikel disiarkan tabloid Harakah Bil: 1697, 9 Disember 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', F22 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment