Thursday, December 15, 2011

Justifikasi palsu Umno tolak laksana hudud


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Tidak ada bezanya kenyataan terbaru Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said berkaitan pelaksanaan hukum hudud berbanding kenyataan lain-lain pemimpin Umno sebelum ini. Biar pun pada zahirnya beliau menegaskan kerajaan negeri pimpinannya tidak menolak usaha melaksanakan hukum Allah itu, hujah dan alasan diberikannya menampakkan pendirian sebaliknya. Ia lebih sebagai dalih mewajarkan kegagalan Umno meneruskan pelaksanaan hukum itu, walau pun ia sebenarnya telah dilulus dan diwartakan di negeri tersebut.

Dalam reaksinya terhadap perbahasan isu tersebut di Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu minggu lalu, Ahmad antara lain mendakwa kononnya kerajaan negeri memang bersedia melaksana dan menguatkuasakan hukum hudud dan qisas. Cuma persediaan ke arah itu didakwanya masih belum cukup lengkap, terutama dalam hal berkaitan prasarana dan soal teknikal.

Katanya, untuk melaksanakan dua cabang hukum Islam itu memerlukan persiapan teliti melibatkan semua aspek. Justeru, kerajaan negeri memerlukan masa lebih panjang.

Justifikasi itu barangkali pada perkiraan Ahmad sudah cukup kuat membuktikan keikhlasan Umno menyokong pelaksanaan hukum Islam. Namun dia terlupa alasan sama telah disuarakan orang nombor dua partinya lebih dua bulan lalu dan sudah pun dipertikaikan rakyat, khususnya umat Islam yang cintakan kedaulatan agama.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah mengulas kononnya parti itu juga menerima hukum hudud. Cuma ia merasakan masanya belum sesuai untuk hukum itu dilaksanakan di negara ini, mengambilkira banyak faktor.

Lalu apabila dipersoalkan berapa lama diperlukan Umno untuk sampai ke masa ‘sesuai’, isu itu bagaikan menjerut leher parti itu. Para pemimpin parti itu gagal memberikan jawaban meyakinkan.

Asakan serupa membelenggu Ahmad minggu lalu. Dalam keadaan terdesak oleh dalihnya sendiri yang memakan diri, beliau lalu menghamburkan kritikan liar terhadap PAS. Lebih kurang katanya, kalau benar PAS serius terhadap pelaksanaan hudud dan qisas, kenapa tidak direalisasikan sewaktu masih berkuasa dulu. Ahmad mendakwa PAS mempunyai masa lebih tiga tahun untuk laksanakan hudud di Terengganu.

Barangkali beliau menyangka hujahnya itu menyebabkan para pemimpin PAS jatuh terduduk. Dia tersilap lagi. Hujah itu juga sebenarnya kembali menikam dirinya. Ia secara jelas membuktikan betapa menteri besar itu sangat sembrono dan ‘main tangkap muat’ di dalam melepaskan diri.

Sebagai rekod yang diketahui umum, Enakmen Jenayah Syariah II (Hudud dan Qisas) Terengganu diluluskan Dun pada pertengahan 2002. Ia diperkenan dan ditandatangani Tuanku Sultan pada 2 September 2002. Ia hanya diwartakan sebagai undang-undang pada 25 September 2003.

Ertinya, dakwaan mengatakan PAS mempunyai masa tiga tahun untuk pelaksanaan enakmen tersebut adalah suatu hujah yang ‘baham rambang’, memandangkan hayat kerajaan PAS hanya bertahan sehingga Mac 2004. Apalah sangat yang dapat dibuat dalam enam bulan itu?

Pun begitu, masyarakat awam dapat melihat betapa PAS telah membuktikan ia serius menegakkan hukum Tuhan itu. Ia tidak mengambil masa lama, bahkan tidak sampai pun sepenggal pemerintahannya untuk meluluskan enakmen jenayah syariah membabitkan dua hukum tersebut di Terengganu, juga di Kelantan yang diperintahnya.

Sebaliknya Umno pula telah diberi mandat memerintah negara dan negeri-negeri sebaik sahaja rakyat mula kenal proses pilihan raya, iaitu bermula 1955. Malangnya parti itu hingga kini gagal mengemukakan rang undang-undang bersabit hukum itu. Bahkan selepas memerintah selama 56 tahun pun ia masih tidak malu memberi alasan kononnya masih belum cukup masa untuk memperkenal dan memahamkan hukum Islam kepada khalayak umum.

Di situlah rakyat dapat menilai betapa permasalahan sebenar pelaksanaan hudud dan qisas ini bukannya soal mampu atau tidak, atau soal sudah sampai masa sesuai atau belum. Masalah sebenar ialah apakah Umno selaku peneraju pemerintahan negara dan negeri Terengganu serius mahu melaksanakannya atau tidak.

Dalam ertikata lain, sementara PAS berusaha sedaya mungkin mengemukakan hujah dan dalil memahamkan rakyat mengapa hukum Islam wajib dilaksanakan, Umno pula mencari alasan dan dalih untuk tidak melaksakannya.

Namun, sudah menjadi dasar Umno untuk tidak mudah menerima kenyataan. Sebab itu walau pun sudah mati hujah menegakkan dalih-dalihnya, para pemimpin Umno nampaknya belum mati akal. Ada-ada saja hujah loyar buruk dikemukakan untuk menimbulkan keraguan rakyat terhadap kebaikan hukum Islam.

Untuk itu Ahmad tergamak mempertikaikan enakmen yang telah pun diperkenankan Tuanku Sultan itu. Dikatakan pula kononnya enakmen itu membenarkan suami meliwat isteri, hanya disebabkan terdapat ungkapan ‘selain daripada isterinya’ pada membicarakan kesalahan liwat.

Itulah perangai pemimpin Umno. Beliau sanggup merendahkan martabat diri semata-mata mahu menegakkan benang basah. Dengan mengangkat kembali pertikaian itu seolah-olah menggambarkan Ahmad seorang pemimpin yang ‘buta maklumat’ dan tidak mengikuti perbahasan sebelum ini. Penjelasan para ulama, termasuk pemimpin PAS mengenai kekeliruan itu sepatutnya telah memahamkan semua pihak tentang letak duduk sebenar perkara tersebut.

Kesemua hujah dan pertikaian dilontarkan Ahmad di atas sebetulnya membuktikan keadaan terdesak Umno melepaskan diri dalam isu hudud dan qisas ini. Disebabkan gagal mencari hujah, akhirnya mereka tergamak mengemukakan justifikasi palsu untuk menolak pelaksanaan hukum itu.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding yang disiarkan tabloid Harakah Bil: 1699, 16 Disember 2011 di ruangan 'KOLUMNIS' F21 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment