Monday, November 29, 2010

Zon bebas cukai Tasik Kenyir untuk siapa?

Bersungguh benar nampaknya Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mempertahankan perancangan kerajaannya membangunankan zon bebas cukai di Tasik Kenyir. Dengan nada separuh “melenting”, beliau menafikan sekeras-kerasnya projek diumumkannya bulan lalu itu sekadar gimik politik.

Sebagai bukti kesungguhan pihaknya merealisasikan projek berkenaan, Ahmad turut memaklumkan beberapa perkembangan positif melibatkan kerja-kerja awal pembinaannya. Ia termasuk kerja pembersihan tapak di Pulau Bayas dan pemasangan kabel elektrik sepanjang 23 kilometer dari daratan ke pulau tersebut.

Sehubungan itu, katanya, jabatan terbabit juga diarah melaksanakan kerja pembinaan secara ‘fast track’ bagi memastikan sekitar Ogos 2012 nanti Tasik Kenyir dapat beroperasi sebagai kawasan bebas cukai.

Ahmad menjangka pengoperasian kawasan itu akan menarik kehadiran 10 juta pelancong setahun, sekali gus mengubah lanskap ekonomi negeri dan daerah itu.

Penerangan terperinci itu dipercayai sebagai mengulas kenyataan beberapa pemimpin PAS Terengganu sebelum itu yang meragui kesungguhan kerajaan negeri merealisasikan projek berkenaan. Malah ada yang menilainya sebagai hanya gimik politik.

Menurut mereka, sejarah telah membuktikan beberapa perancangan yang diumumkan para pemimpin Barisan Nasional (BN) Terengganu sebelum ini tidak menjadi kenyataan.

“Beberapa tahun sebelum ini juga, pengumuman menjadikan Kuala Berang sebagai Bandar Bawah Tasik dan kawasan Pelabuhan Darat turut dilakukan, namun sehingga kini tiada yang berlaku, sebaliknya hilang begitu saja. Rakyat telah ditaburkan janji kosong,” kata Bendahari PAS Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid.

Beliau juga tidak yakin kajian terperinci telah dilakukan sebelum projek zon bebas cukai Tasik Kenyir itu diumumkan. Selaku bekas Ahli Parlimen Hulu Terengganu, beliau mendakwa keadaan geografi di Tasik Kenyir tidak sesuai untuk projek berkenaan dan dijangka menimbulkan pelbagai masalah jika perancangan itu dilaksanakan kelak.

Kebimbangan Muhyiddin itu terbukti berasas. Dalam reaksi pertama Ahmad sebelum ini, beliau mengakui lokasi asal dicadangkan untuk pembangunan kompleks beli-belah di Pulau Bayas terpaksa dipindah apabila kajian lanjut mendapati tapak asal itu termasuk dalam zon angin lintang.

Bagaimana pun, kesilapan awal itu tidak menghalang Ahmad meneruskan hasratnya. Selain Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang telah dilibatkan dalam kerja pemasangan kabel elektrik, pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM) juga sudah mengenalpasti kekuatan anggota penguatkuasanya dan menyatakan komitmennya memastikan zon berkenaan tidak dibolosi para penyeludup apabila beroperasi kelak.

Menilai kepada kesungguhan Ahmad, dan keterlibatan secara serius beberapa pihak lain sedari awal, kita boleh akui projek itu bukan lagi janji kosong. Sekurang-kurangnya ia tidak akan menerima nasib seperti Kuala Berang yang sebelum ini dijanji untuk dibangunkan sebagai Bandar Bawah Tasik dan Pelabuhan Darat.

Hasrat Ahmad itu juga besar kemungkinan tidak akan berakhir seperti angan-angan bekas Ahli Parlimen Hulu Terengganu, yang sempat hanya separuh penggal menjadi Timbalan Menteri Kewangan, apabila mengumumkan akan membina sebuah lapangan terbang baru di kawasan berkenaan.

Ia hingga kini menjadi bahan tawa orang apabila projek itu tidak pernah diambil sebarang perjalanan menjayakannya. Ia sekadar syok sendiri pemimpin itu mengumumkannya, sekali gus membuktikan ia memang hanya gimik politik.

Jika tidak disebabkan kes-kes yang lalu itu, nescaya tidak mudah bagi rakyat mempercayai dakwaan mana-mana pihak bahawa sesuatu pengumuman projek besar oleh BN sekadar gimik politik. Tabiat pemimpin BN sendiri yang gemar menabur janji kosong dan mempermainkan kepercayaan rakyat menyebabkan mereka sukar percaya apa juga pengumuman dibuat, sehingga ia terbukti menjadi kenyataan.

Biar pun nanti cadangan Tasik Kenyir sebagai zon bebas cukai menjadi realiti, rakyat Terengganu masih ada sebab munasabah mempersoalkan manfaat bakal diperolehi mereka.

Pertama, kawasan itu agak terpencil di hujung negeri. Ia bukan kawasan laluan biasa, tetapi tempat yang perlu dituju secara khusus. Sudah tentu ia bukan tempat yang mampu dikunjungi semua orang untuk membeli-belah, terutama rakyat bawahan yang berpendapatan rendah.

Kedua, pembinaan zon bebas cukai juga bukan penyelesaian yang baik untuk meringankan beban hidup rakyat. Zon berkenaan bermatlamat menyediakan peluang rakyat membeli-belah, menggalakkan rakyat berbelanja.

Ia tempat untuk orang berduit menghabiskan duit mereka, sedangkan rata-rata rakyat Terengganu berdepan himpitan hidup yang semakin membebankan. Jangan dikatakan untuk bermewah, untuk memenuhi keperluan hidup pun mereka terpaksa berjimat.

Begitu juga hasrat mengubah lanskap ekonomi dan menarik pelancong. Cita-cita sama turut disebut BN dalam merasionalkan belanja ratusan juta membangunkan dua pulau di muara Sungai Terengganu, iaitu Pulau Duyong dan Pulau Wan Man, lima tahun lalu.

Hingga kini kerajaan negeri masih terkial-kial membuktikan kejayaannya mencapai hasrat itu, sedangkan belanja ratusan juta dihabiskannya terus dipertikaikan rakyat negeri itu sendiri. Sebab itu rakyat berhak bertanya, pembangunan mewah itu sebenarnya untuk siapa?

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah, Bil: 1592, 29 November 2010, dengan tajuk sama di ruangan Kolumnis, F21)

No comments:

Post a Comment