Monday, November 22, 2010

PAS tak boleh ganti Umno semua perkara

Dalam keghairahan para pemimpin dan pendokong PAS menyuarakan kesediaan mengganti Umno di persada politik tanahair, parti itu jangan lupa bahawa ia bukan Umno. Biar pun kedua-dua parti itu berteraskan dokongan orang Melayu, mereka sebenarnya amat berbeza dalam banyak perkara.

PAS mungkin boleh menggantikan Umno sebagai teraju kepimpinan negara. Syaratnya, sepertimana disuarakan banyak pihak, ia mesti membuktikan kemampuannya memenangi sejumlah kerusi yang diperuntukkan kepadanya.

Oleh kerana di kebanyakan kerusi lawan PAS adalah Umno, kemenangannya dalam pilihan raya secara tidak langsung menjadi bukti PAS lebih berupaya menambat hati pengundi dan rakyat berbanding Umno.

Meski pun nantinya hasrat itu berjaya direalisasikan PAS, itu tidak bermakna ia berjaya mengambil alih sepenuhnya peranan dan tugas ditinggalkan parti musuh tradisinya itu. PAS perlu akui, dan para pendokongnya mesti terima hakikat bahawa ada perkara yang PAS tidak akan dapat menggantikan Umno.

Dalam sepak terajang politik, ada bidang di mana PAS perlu akui ia tidak ada kepakaran atau kepandaian setanding Umno. Atau, jika pun PAS boleh berusaha membina kepandaian dan kemahiran tersebut, orang tidak akan percaya PAS tergamak melakukan sepertimana pernah dibuat Umno sebelumnya.

Salah satu kepakaran Umno yang sukar ditanding mana-mana pihak ialah keupayaannya memutarbelit fakta, membelakangkan kebenaran dan memanipulasi seluruh alat propaganda. Ada benda yang tidak dibuatnya, terutama berkaitan kepentingan rakyat dan agama, tetapi digambarkan telah dilaksanakannya dengan penuh kesungguhan.

Sebaliknya, biar pun begitu banyak kebajikan sama dilakukan parti lawan, Umno ada keupayaan menyembunyikan gambaran positif untuk itu. Tabiat itu amat berdarah daging dalam batang tubuh Umno di segenap lapisan organisasinya.

Insya Allah PAS nantinya (selepas mengambil alih tampuk pemerintahan negara) mungkin ada akses dan penguasaan lebih realistik terhadap berbagai saluran media arus perdana. Ia juga ada berbagai ruang dan peluang yang memudahkannya memutarbelit fakta atau menyembunyikan kesilapannya, jika ia mahu.

Namun itu belum tentu menjadikannya bersedia mengulangi tabiat buruk dan jahat itu. Penghalang utama PAS berbuat demikian ialah pegangan kuatnya kepada Islam sebagai dasar perjuangan. Islam yang dijadikan rujukan terhadap setiap keputusan dan tindakan parti menyebabkan para pemimpin PAS amat tidak pandai berbohong atau memutarbelit fakta.

Perkiraan dosa-pahala di atas setiap perkataan dan perbuatan juga menyebabkan para pemimpin dan ahli PAS berfikir banyak kali sebelum menutur atau melakukan sesuatu.  Ada ketikanya mereka mengambil sikap “mengalah” dan membiarkan Umno menguasai keadaan semata-mata atas perkiraan itu.

Contoh agak ekstrem, pernah dalam beberapa kes pemimpin dan petugas PAS meninggalkan tempat pembilangan undi kerana kesuntukan masa menunaikan solat. Sedangkan petugas Umno selaku parti lawan tidak berbuat demikian.

Lalu, sebaik kembali semula selepas itu, keputusan dapatan undi amat jauh berubah. Seakan ada ‘silap mata’ berlaku seketiadaan mereka dalam masa singkat itu. Natijahnya, calon PAS diisytiharkan kalah. Itu memang pernah berlaku.

Maka apakah selepas ini PAS sanggup memfatwakan petugasnya boleh meninggalkan solat semata-mata demi menjamin tiada penipuan dalam proses pengiraan undi? Demi Allah, Umno telah membuktikan ia tidak perlu menunggu hal itu difatwakan.

Pegangan Islam liberal Umno yang mengutamakan kepentingan politik berbanding tuntutan agama itu antara perkara yang tidak mungkin dapat diganti oleh PAS. Umno telah membuktikan ia bersedia mengenepikan tuntutan agama sekiranya pada perkiraannya memenuhi tuntutan itu boleh merugikan politiknya.

Satu contoh lain ialah sikap bangang para pemimpin kerajaan dari parti itu yang tergamak menghapuskan bantuan untuk sekolah agama rakyat. Umno jangan pula mahu menafikan betapa selama lebih 50 tahun memerintah negara parti itu telah menafikan bantuan lebih berpatutan kepada sekolah-sekolah agama rakyat, termasuk institusi pondok, semata-mata kerana melihat ia sarang perkaderan paling subur untuk PAS.

Sehinggakan ada pemimpin Umno menegaskan pegangannya, “di mana ada pondok, di situ ada PAS”. Lalu, di atas premis menghapuskan tapak dan lubuk kekuatan PAS, Umno bukan sahaja menganaktirikan institusi agama rakyat, malah menghasut rakyat memandangnya dengan gambaran amat negatif.

Apa yang berlaku di Terengganu beberapa tahun lalu juga boleh dijadikan contoh. Kerajaan pimpinan PAS tidak mengarahkan pihak berkuasa tempatan menyita atau menutup operasi sebuah bangunan menempatkan pejabat Umno satu bahagian di negeri itu, walau pun ia beroperasi tanpa sijil layak menduduki (CF).

Sebaliknya, Umno yang kembali berkuasa beberapa tahun kemudian tergamak menyondol ranap sebuah masjid yang diluluskan pembinaannya oleh kerajaan PAS, semata-mata di atas premis ia dijadikan pusat aktiviti para penyokong PAS.

Demi Allah, sikap jahat Umno itu tidak akan dapat diganti PAS. Selaku parti yang berpegang teguh kepada prinsip keadilan dan keterbukaan dalam Islam, PAS tidak mungkin akan sanggup mengutamakan kepentingan politik sehingga membelakangkan hak dan kepentingan pihak lain.

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1590, 22 November 2010 di ruangan Kolumnis, F21, dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment