Monday, November 1, 2010

Ibadat korban terpesong oleh adat kebiasaan

Bulan Zulhijjah kembali lagi. Bagi umat Islam seluruh dunia, kedatangan bulan ini adalah sinonim dengan sambutan Idul Adha yang jatuh pada hari ke-10.

Sepertimana Idul Fitri atau Hari Raya Puasa disambut mengiringi dua ibadat besar, iaitu puasa Ramadhan dan zakat fitrah, maka Idul Adha atau Hari Raya Haji juga dirayakan bersempena dua ibadat besar dalam Islam, iaitu haji dan korban.

Biar pun di negara kita keghairahan umat Islam menyambut Idul Adha tidak dapat menandingi kemeriahan Idul Fitri, kehadiran Zulhijjah tetap ditunggu. Bagi mereka yang mengerjakan ibadat haji, saat itu menandakan kejayaan amat bermakna menyempurnakan rukun Islam kelima itu.

Bagi ahli keluarga dan sanak-saudara mereka yang menunggu di tanahair pula, kemuncak urusan kerja haji di Mekah adalah penamat kepada penantian yang agak mendebarkan.

Bagi sebilangan yang lain pula, perancangan menyambut kedatangan Idul Adha tertumpu kepada ibadat korban yang bakal dilakukan. Urusan jual-beli binatang ternakan untuk menyempurnakan ibadat itu menyajikan peluang bagi semua pihak terlibat mencari manfaat dan memenuhi hajat masing-masing. Si pemilik atau penjual binatang ternakan mendapat habuan kewangan, manakala si pembeli berpuas hati apabila binatang diperlukan sudah menjadi miliknya.

Keghairahan dan kesungguhan umat Islam menunaikan ibadat korban kini semakin meluas. Namun, sejauh manakah amalan dilakukan itu benar-benar menepati garis panduan ditetap Islam, adalah suatu persoalan yang memerlukan penelitian semula.

Seperkara agak jelas, kebanyakan kita tidak begitu menghiraukan soal syarat sah atau keutamaan disarankan agama. Sebaliknya, kita selesa melakukannya mengikut adat dan kebiasaan yang pernah dilakukan orang-orang tua sebelum kita.

Orang Melayu memang sangat terkenal mementingkan adat dan kebiasaan. Disebabkan terlalu biasa menjadikan adat sebagai panduan dalam melakukan hampir semua perkara dalam hidup, kita kekadang terlajak hingga turut berpegang kepada prinsip sama dalam melaksanakan ibadat.

“Banyak aspek dari ibadat korban ini jika diperhalusi, apa yang menjadi adat pegangan dan amalan biasa masyarakat kita sebenarnya tidak tepat dengan kehendak Islam,” tegas pendakwah bebas, Ustaz Abd. Zaman Bakri Mohamad.

Menurutnya, umat Islam, terutamanya orang-orang Melayu sering menjadikan kebiasaan yang mereka lihat dan warisi daripada ibu bapa atau generasi lebih tua sebagai panduan dalam melakukan sesuatu. Malangnya, kepercayaan mereka bahawa apa yang dilakukan orang terdahulu itu bertepatan dengan agama menyebabkan mereka tidak peduli menilainya kembali berdasarkan ajaran Islam sebenar. Mereka selesa menerima seadanya apa jua yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat.

“Salah satu adat tak betul yang saya maksudkan ialah soal membeli lembu (binatang korban). Kita tengok konsep orang dulu, pilih yang harga murah. Itu tak betul. Sedangkan Rasulullah s.a.w. suruh kita cari binatang yang terbaik. Disebutkannya yang jantan, yang bertanduk, maksudnya yang cukup sifat. Bahkan warna pun Rasulullah s.a.w. sebut biar warna merah,” tegas Ustaz Abd. Zaman.

Menghurai lanjut hujahnya itu, ulama muda lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir ini menilai saranan Nabi Muhammad s.a.w. itu mengisyaratkan supaya umatnya seboleh-bolehnya mengorbankan binatang yang paling cantik dan sempurna. Baginya, saranan itu sekali gus bererti Baginda s.a.w. lebih gemar umatnya mendapatkan binatang semahal yang boleh bagi mencapai kesempurnaan maksud korban itu sendiri.

“Kita kena perbetulkan konsep ini, bahawa jika ingin berkorban, maka korbanlah yang terbaik yang kita mampu. Jangan berlumba cari yang murah. Dan Allah Ta’ala pula, Dia akan terima korban hambaNya yang ikhlas,” sambung Ustaz Abd. Zaman lagi.

Beliau yang juga Imam Masjid Jamek Kampung Apal, Besut, Terengganu, turut merasa sedih melihat konsep dan kaedah umat Islam mengagihkan daging korban. Menurutnya, berbagai aspek pengagihan itu yang menjadi amalan biasa umat Islam sedikit tersasar daripada kehendak agama.

Contohnya, kaedah pembahagian daging korban yang sepatutnya diasingkan kepada tiga bahagian. Masing-masing satu bahagian untuk kegunaan diri sendiri, satu bahagian untuk diagihkan kepada fakir-miskin, manakala satu lagi untuk kaum kerabat, termasuk jiran dan kawan-kawan.

Berdasarkan pemerhatian beliau, dan kita juga dapat mengakuinya, umat Islam sering mengambil mudah soal pembahagian ini. Begitu juga dalam hal meneliti syarat kelayakan orang yang menerima agihan daging korban.

“Bolehkah orang kaya menerima daging korban? Pada asalnya tak boleh, melainkan jika dia termasuk kaum kerabat, jiran atau kawan. Itu termasuk dalam bahagian tadi. Tetapi itu pun sekadar cukup untuk dimakan hari itu saja. Kita kena ingat, orang kaya terima daging korban tak boleh simpan dan tak boleh juga jual,” hurai Ustaz Abd. Zaman lagi.

Beliau yang banyak memberikan kuliah di sekitar daerah Besut, Setiu dan Pasir Puteh (Kelantan) mengakui masih ramai umat Islam yang gagal memahami syarat yang digariskan Islam dalam hal ini.

Turut disentuhnya ialah kebiasaan sebilangan umat Islam yang lebih gemar memasak daging korban dan menjemput tetamu menjamu selera di rumah mereka. Beliau menegaskan, kebiasaan ini juga suatu yang tidak menepati saranan agama.

“Afdhalnya daging korban ni kita bahagi-bahagikan yang mentah. Ia berlawanan dengan aqiqah, yang lebih afdhal kita jamu yang sudah dimasak. Tapi itulah nampaknya kebiasaan dalam masyarakat kita (memasak daging korban),” luah Ustaz Abd. Zaman dengan nada kesal.

Beliau turut menegur kebiasaan umat Islam yang mengasingkan sebahagian daging korban untuk dijadikan saguhati kepada penyembelih dan petugas melapah daging. Menurutnya, membahagikan daging korban kepada tukang urus adalah haram.

“Begitu juga dalam hal menjual belulang. Orang kita biasanya jual, duit tu ada yang masuk poket tuan punya lembu korban, ada sesetengah tu beri kepada surau, masjid. Kita kena ingat, tak boleh guna duit jual belulang, walau pun untuk surau dan masjid,” tegasnya.

Ustaz Abd. Zaman lalu memetik sebuah hadis sahih dari riyawat al-Hakim, di mana Nabi s.a.w. menegaskan tiada korban (maksudnya tidak ada pahala korban) bagi sesiapa yang menjual kulit (belulang) binatang korbannya.

Baginya, satu-satunya pihak yang layak memanfaatkan belulang itu ialah golongan fakir miskin. Sama ada belulang itu diserahkan kepada mereka untuk dijual, atau sesiapa saja menguruskan penjualannya, kemudian duit hasil jualan itu diserahkan kepada fakir miskin.

Beliau turut menilai secara kritis kecenderungan umat Islam negara ini menganjurkan program korban ke negara-negara umat Islam lain, terutamanya di Mindanao, Kemboja, Pattani dan lain-lain. Secara peribadi, beliau nasihatkan agar pihak yang biasa atau bercadang berbuat demikian kembali menilai keutamaan disarankan agama.

“Cuba kita persoalkan, apakah di sana (negara luar) lebih perlukan daging korban berbanding di sini (dalam negara)? Di negara kita dah tak ada fakir miskin? Lagi pula, apakah bagi umat Islam di negara-negara itu daging lebih diperlukan berbanding duit, jika kita kata atas hasrat nak tolong saudara Islam kita di sana?”, Ustaz Abd. Zaman melontarkan persoalan.

Beliau memetik pandangan mazhab Syafie yang mengatakan ibadat korban di tempat sendiri adalah lebih baik daripada melakukan korban di tempat orang. Bahkan, katanya, sebilangan ulama Syafie berpendapat adalah haram membawa keluar daging korban ke tempat lain selagi ada orang miskin (golongan yang layak menerima korban) di tempat sendiri.

Sebilangan adat dan kebiasaan yang disebutkan Ustaz Abd. Zaman tadi adalah bukti sikap mengambil mudah umat Islam dalam melaksanakan ibadat. Semoga kebiasaan yang mampu memesongkan hasrat sebenar mencari pahala dan redha Allah Ta’ala itu akan dapat diperbetulkan.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi November 2010 dengan tajuk sama di ruangan TOPIK)

No comments:

Post a Comment