Friday, November 5, 2010

Khutbah Terengganu macam tanam sireh di kandang kambing

Teks khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) untuk bacaan 29 Oktober lalu mengupas tajuk ‘Zina dan Anak Tak Sah Taraf’. Dipercayai teks itu telah diperdengarkan kepada muslimin di seluruh negeri itu minggu lalu.

Ia membincangkan secara agak menyeluruh kesukaran hidup yang terpaksa dihadapi anak-anak luar nikah akibat keterlanjuran ibu bapa kandung mereka. Selain kebimbangan mereka menjadi mangsa pembunuhan dan pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini, mimbar Jumaat minggu lalu turut menyorot beberapa kesukaran bakal dihadapi anak tak sah taraf.

Bukan sahaja terlarang ‘dibin’ atau ‘dibinti’ kepada seseorang apabila sijil kelahiran mereka tidak disertakan maklumat bapa, anak tak sah taraf juga terpaksa menanggung beberapa implikasi hidup dari segi hukum agama, psikologi dan sosial.

Antaranya, mereka dipertikai nasabnya, ternafi hak mempusakai harta orang tua, tidak boleh diwali atau mewalikan orang lain, tertakluk kepada syarat aurat bukan mahram walau pun dengan ibubapa sendiri dan hak hadanah terhad hanya bagi ibunya.

Disebutkan juga kepada hadirin perangkaan memalukan mengenai peningkatan ketara jumlah anak tak sah taraf di Terengganu bagi 2007 dan 2008. Sejumlah 730 anak kategori itu berketurunan Melayu didaftarkan pada 2008, meningkat sebanyak 199 orang atau 37.48 peratus berbanding 531 pada tahun sebelumnya.

Jumlah itu mungkin dianggap kecil bahkan jauh lebih kecil berbanding sebilangan negeri lain. Namun ia sebenarnya sudah lebih dari cukup untuk memalukan bangsa dan agama. Ia malah sangat tidak konsisten dengan slogan Terengganu sebagai bumi Ulul Albab dan negeri paling hadhari dalam dunia!

Khutbah itu mungkin bertujuan menggambarkan keprihatinan JHEAT terhadap gejala anak tak sah taraf yang semakin membimbangkan. Pendirian itu bagaimana pun tidak diterjemahkan kepada kaedah penyelesaian konkrit.

Mimbar Jumaat ada mengesyorkan beberapa langkah, namun lebih sebagai meringankan kesan sosial dan tekanan psikologi dihadapi anak luar nikah. Kesemua cadangan itu lebih bersifat mengubati penyakit yang telah dihidapi, bukannya mencegahnya daripada berlaku.

Ia tidak menyorot secara serius punca berlaku kedurjanaan hidup itu. Ada disebutkan secara ringkas punca-punca perzinaan seperti pergaulan tanpa batas dan duduk berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi, tetapi tidak diperhalusi.

Sebab itu biar pun bergetar anak tekak khatib mempertegaskan isi khutbah itu, kesungguhan membasmi kelahiran anak luar nikah dinilai tidak realistik. Nasihat khutbah itu sekadar luaran dan tidak menyeluruh ke arah membasmi masalah diperkatakan.

Lebih tepat lagi, keberanian menerjah pihak yang mewujudkan punca sebenar mendorong zina dalam masyarakat tidak dizahirkan pihak yang menerbitkan khutbah itu.

Sebab itu, meski pun ayat al-Quran mengingatkan hadirin agar jangan menghampiri perbuatan zina ada dibaca dan diterjemahkan, ia tidak pula dibahasakan kepada hakikat yang sedang berlaku dalam masyarakat.

Maksudnya, jika Allah melarang perbuatan menghampiri zina, maka apakah usaha mana-mana pihak mengadakan tempat atau menganjurkan pesta dan konsert yang menggalakkan pergaulan bebas, seterusnya menambahkan kemungkinan berlakunya persetubuhan haram, juga tidak tergolong dalam kategori mengajak orang menghampiri zina?

Sudah tentu jika ia disentuh sebegitu, maka ia terkena batang hidung kerajaan didokong JHEAT sendiri. Bukankah itu isu yang difahami semua pihak dari cadangan Barisan Nasional (BN) menjadikan negara kita sebagai hab hiburan seperti digemariuh minggu lalu itu?

Sebagai salah satu Program Transformasi Ekonomi (ETP) diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, kerajaan bercadang menjadikan Malaysia hab hiburan malam bagi memacu sektor pelancongan dan meningkatkan ekonomi negara.

Bagi menyempurnakan pelaksanaannya, kerajaan diterajui Umno itu antara lain berhasrat mewujudkan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert-konsert besar di samping melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa (yang selama ini telah sedia longgar itu!).

Asas utama dalam pemikiran pemimpin BN hanyalah soal keuntungan material. Soal keruntuhan moral dan akhlak rakyat serta soal melanggari hukum Tuhan seolah-olah langsung tidak diambil hirau.

Apakah BN, khususnya Umno, sudah bankrap idea membasmi kemuflisan negara sehingga tergamak membelakangi tuntutan agama dan moral masyarakat? Bukankah selama ini sudah sekian banyak pihak mengemukakan hasil kajian mengaitkan pesta dan konsert hiburan dengan berbagai kesan sosial negatif? Pengambilan dadah dan alkohol, pergaulan dan seks bebas, seterusnya kehamilan luar nikah dibuktikan meningkat setiap kali berlangsungnya pesta hiburan utama.

Setakat ini kita tidak nampak cadangan menjadikan Malaysia hab hiburan itu menggambarkan komitmen Islam sangat baik di pihak Umno. Kita juga amat ragu dengan menyemarakkan aktiviti hiburan boleh membantu menyelesaikan krisis moral dan keruntuhan akhlak yang semakin parah mutakhir ini.

Kedegilan pimpinan Pusat BN mempertahankan cadangan itu juga menjadikan nasihat dilontarkan khutbah Jumaat di Terengganu minggu lalu tidak lebih umpama ‘menanam sireh di kandang kambing’.

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1586, 5 November 2010 di ruangan Kolumnis F22 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment