Monday, November 1, 2010

Dr Abdullah Sudin Ab. Rahman Tunggakan gaji pertama jadi belanja kahwin

Oleh: Mohd Nasir Awang

SEKALI imbas orangnya nampak serius dan tegas. Berasaskan nilaian zahiriah itu semata-mata, mungkin terdetik rasa kekok di hati setiap yang belum mengenalinya untuk mendekati, apatah lagi berbual bicara dengannya.

Tambahan pula, insan bernama Dr Abdullah Sudin Ab. Rahman ini bukan calang-calang personaliti. Beliau adalah nama yang tidak asing dalam sektor pendidikan negara dan pernah menjawat Pengarah Institut Teknologi MARA (ITM – kini Universiti Teknologi MARA, UiTM) Kelantan, sekitar dua dekad lalu.

Selepas bersara, beliau dijemput pula menjawat Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Darul Naim (KTD), sebuah kolej kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang beroperasi di Pengkalan Chepa, hingga kini.

Di masa sama, beliau juga orang penting dalam pelbagai gerakerja kemasyarakatan. Dr Abdullah Sudin adalah Presiden Gabungan Profesional Kelantan (GPK), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggabungkan tenaga profesional berjiwa Islam dengan komitmen kerja yang sangat mengagumkan. Mereka ini aktif menganjurkan program peningkatan ilmu dan kefahaman Islam serta kerja-kerja kebajikan di dalam masyarakat, terutamanya di Kelantan.

Namun, khalayak umum negara ini mungkin lebih mengenali anak kelahiran Pengkalan Chepa ini selaku peneraju NGO induk kepada salah sebuah pertubuhan yang memainkan peranan utama dalam misi Lifeline For Gaza (LL4G) yang mencetuskan kegemparan dunia, Januari lalu.

Dr Abdullah Sudin adalah Presiden Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Malaysia, atau singkatannya HALUAN. Sebut saja nama NGO itu tentu sekali setiap rakyat negara ini yang prihatin terhadap pergolakan di Asia Barat akan teringat kepada HALUAN Palestin selaku pihak paling menonjol dalam misi kemanusiaan dimaksudkan.

Mengambilkira jawatan dan peranan penting digalas beliau itu, maka sudah tentu ia menambahkan rasa canggung seseorang seperti penulis ini untuk menerjah dan menyelongkar kehidupan beliau. Namun demi tugas dan di atas hasrat memperkenalkan insan sangat istimewa ini kepada umum, penulis tabahkan juga hati menemui beliau di pejabatnya di KTD, baru-baru ini.

Demi Allah, nilaian awal penulis terhadap beliau amat meleset. Pencapaian akademiknya yang tinggi, statusnya selaku pentadbir dan nama besar diraihnya menerusi pelbagai NGO diterajuinya ternyata tidak langsung membekaskan keperibadian negatif padanya.

Beliau amat mesra, mudah didekati, gemar berbicara dan tidak sukar berterus-terang. Malah bicaranya kerap disulami unsur humor, terutama tatkala mengkisahkan perjalanan hidupnya.

“Saya ni sebenarnya tak lulus periksa Darjah Enam, dapat gred teruk sangat. Sebab tu saya masuk (sambung belajar di) sekolah swasta,” cerita Dr Abdullah Sudin seraya tersenyum.

Sambil berdiri di depan papan putih di sebelah mejanya, tangannya ligat mencatatkan senarai sekolah-sekolah yang pernah dimasukinya.

Insan yang dilahirkan pada 20 Disember 1949 ini memulakan persekolahan di Sekolah Umum Anak-Anak Askar, tidak jauh dari rumahnya pada 1956. Beliau kemudian ke Sekolah Umum Pengkalan Chepa pada 1959. Di situlah beliau mengambil peperiksaan Darjah Enam yang disebutkan tadi.

Selepas itu, Dr Abdullah Sudin menyambung belajar di Islah English School, sebuah sekolah swasta sehingga lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beliau kemudian ke sebuah institut pendidikan swasta lain, juga di Kota Bharu, sehingga ke peringkat Sijil Tinggi Pelajaran (STP).

“Habis STP, saya minta masuk Universiti Malaya (UM), tapi result (keputusan peperiksaan) tak berapa molek, tak dapat. Dulu tak dak UPU (Unit Pusat Universiti), kalau minta UM, dia proses untuk UM saja lah. Kalau tak dapat UM, tak dapat lah,” ujarnya.

Sementara menunggu mengambil semula STP, Dr Abdullah Sudin sempat bekerja sebagai juruteknik taliar di Kemubu. Beliau akhirnya diterima memasuki UM pada 1972 apabila berjaya memperbaiki pencapaiannya dalam STP.

Pada 1975, beliau berjaya menamatkan pengajian Sarjana Muda Ekonomi jurusan Analitikal dengan kepujian. Kelulusan itu dimanfaatkannya untuk mencipta kerjaya, bermula sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), diikuti pegawai sebuah bank komersial, kemudian pegawai di Lembaga Pembangunan Bandar (UDA) sebelum menabur bakti sebagai warga Institut Teknologi MARA (ITM) selama 27 tahun berikutnya.

“Saya mula kerja di ITM sebagai pensyarah, pada 1 haribulan Mac 1976, sehinggalah saya berhenti pada 28 Februari 2003. Di tengah-tengah itulah saya sempat dua kali sambung belajar untuk Masters (ijazah Sarjana) dan PhD,” ceritanya lagi.

Tidak sekadar menyebutnya, bagi memastikan penulis memperolehi fakta yang tepat dan jelas, Dr Abdullah Sudin tidak jemu mencatatkan satu persatu butiran itu di papan putih. Boleh jadi juga tabiat itu diwarisinya dari kebiasaan sekian lama melayani kerenah para pelajarnya di dewan kuliah.

Beliau mengambil cuti belajar antara 1980 hingga 1982 sehingga memperolehi ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada 1991, beliau sekali lagi mengambil cuti belajar sehingga memperolehi PhD (Islamic Economy) dari University of Wales, United Kingdom, pada 1995.

Sepanjang tempoh khidmatnya di ITM, beliau sempat bertugas di tiga negeri, bermula di Perlis (1976-82), Terengganu (1982-86) dan berakhir di Kelantan (1986-2003).

Ditanya tentang sesuatu yang paling manis sepanjang kerjayanya, Dr Abdullah Sudin terus tersenyum.

“Hak paling manis sekali, awal-awal kerja dulu lah. Mula kerja dulu tak terus dapat gaji. Saya mula kerja awal Mac, akhir Mei baru dapat. You tahu, duit gaji dapat selonggok tu, saya terus guna buat belanja kahwin,” ujarnya sambil ketawa kecil.

Hasil perkongsian hidupnya dengan seorang guru, Hajah Fauziah Haji Yaacob, rumah tangga bahagia itu dikurniakan tujuh cahaya mata. Anak sulung mereka, Handzalah dilahirkan pada 1977, kini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Anak kedua, Ansari (1978, arkitek), diikuti Nur Samihah (1983, doktor). Empat anak lagi masih menuntut, masing masing Ali Ilman (1985, jurusan Kejuruteraan), Umar Ikhwan (1987, Ekonomi), Hajar Aishah (1990, Pengajian Islam) dan Osman Bakr (1992, multimedia).

Ditanya mengenai sejarah penglibatannya dalam HALUAN, Dr Abdullah Sudin pantas membentang beberapa dokumen dan majalah menerangkan profail dan program pertubuhan tersebut. Beliau yang menjawat Presiden HALUAN sejak 1997 kelihatan amat ‘well-versed’ mengenai setiap perkembangan pertubuhan diterajuinya itu.

“Sebenarnya HALUAN telah wujud sejak 1988 lagi, di Selangor. Aktiviti kita macam-macam, sejak dulu. Cuma sebahagian orang baru kenal dan baru tahu tentang HALUAN apabila tercetusnya kes Mavi Marmara awal tahun ini,” Dr Abdullah Sudin separuh menyesali hakikat itu.

Menurutnya, HALUAN Palestin hanyalah salah satu di antara 21 biro dan kelab yang wujud dalam HALUAN. Setiap biro itu pula aktif melaksanakan berbagai program sepanjang tahun.

“Cuma ekoran isu LL4G tempohari, nama HALUAN, khususnya HALUAN Palestin agak kerap disebut orang, dan saya sendiri pun banyak dijemput memberi penerangan berhubung peristiwa tersebut,” akuinya.

LL4G adalah projek kemanusiaan terbesar yang pernah dilancarkan masyarakat antarabangsa bagi memberi bantuan kepada penduduk Palestin. Bagi menjayakannya, HALUAN telah bekerjasama dengan sebuah NGO Turki, IHH di peringkat antarabangsa. Di dalam negara pula, sebilangan pertubuhan ikut menggabungkan tenaga, seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Palestinian Center of Excellence (PACE), Aqsa Syarif, Dewan Pemuda Masjid Malaysia, Pertubuhan Mawaddah Malaysia, Viva Palestina Malaysia (VPM), Global Peace Mission dan Muslim Care.

Bagi HALUAN pula, khususnya Dr Abdullah Sudin sendiri, misi LL4G itu hanyalah secebis daripada rutin mingguan yang sangat padat. Komitmen dan kesungguhannya menjayakan segala program dianjurkan pertubuhan diterajuinya itu menyebabkan beliau tidak jemu bergegas ke seluruh pelusuk negara, dan kadangkala ke peringkat antarabangsa, saban minggu.

Mujurnya, kepenatan menyempurnakan tanggungjawab berat itu tidak sedikit pun menjejaskan wibawanya sebagai seorang insan yang mesra dan mudah didekati. Kemesraan itu banyak membantu memadamkan rasa kekok atau canggung di hati sesiapa saja yang berbicara bersamanya.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi November 2010 dengan tajuk sama di ruangan Personaliti Lelaki)

No comments:

Post a Comment