Friday, October 1, 2010

Tanpa penyelesaian menyeluruh di peringkat nasional Sekolah hamil kerja sia-sia?

Tiba-tiba saja kerajaan negeri Melaka mencuri tumpuan masyarakat di tengah kehangatan perbincangan mencari kaedah penyelesaian terbaik gejala pembuangan bayi. Hasratnya menubuhkan sekolah khas untuk murid hamil tidak syak lagi membuka dimensi baru dalam pembicaraan isu yang memalukan negara itu.

Segala-galanya bagaikan bermula pada 23 Julai lalu. Orang yang bertanggungjawab mencetuskan subtopik baru perbahasan gejala yang semakin parah itu tidak lain daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam sendiri.

Menurutnya, cadangan mewujudkan sekolah khas tadi sebagai alternatif kepada pelajar yang berkahwin awal bagi membendung masalah sosial di kalangan mereka.

“Kita sebenarnya mahu mengelakkan maksiat daripada terus berlaku dan tidak mahu lagi gejala pembuangan bayi ini berterusan berlaku dalam masyarakat,” katanya.

Bagai diduga, kebanyakan pihak yang mengulas cadangan itu seakan sependapat bahawa menubuhkan sekolah hamil bukan penyelesaian muktamad atau jalan terbaik membendung gejala pembuangan bayi.

“Seperti masalah gatal pada kulit, ia tidak mencukupi hanya dengan menyapu minyak pada bahagian yang gatal, sebaliknya kita mesti tahu kenapa kita menghadapi masalah tersebut sama ada melalui pemakanan, dan begitu juga masalah (buang) bayi ini, kenapa ia berlaku,” media memetik reaksi seorang timbalan menteri.

Seorang aktivis dakwah Islam di Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Abdullah, juga memberikan analogi serupa. Beliau mengumpamakan sekolah hamil seperti tindakan memakan ‘panadol’ ketika sakit. Menurutnya, ubat itu hanya boleh melegakan kesakitan buat seketika, tetapi bukan mengubatinya secara menyeluruh.

Bahkan, beliau bimbang sekolah itu berkemungkinan akan dijadikan alasan kepada mana-mana pihak, terutama remaja supaya tidak takut melakukan perbuatan tidak bermoral sekali pun sehingga berlaku sesuatu yang tidak diingini.

“Kalau benar-benar mahu hapuskan gejala sosial tersebut (buang bayi), sepatutnya hapuskan punca dia. Kalau marahkan nyamuk mesti cari puncanya, contohnya bersihkan sungai kotor dan longkang kotor,” ujarnya berkias.

Pandangan sealiran itu turut diberikan Pengurus Pusat Rawatan Darus Syifa’ Cawangan Besut, Haji Omar Sidek. Sebagai seorang bekas pegawai tadbir yang pernah menerajui beberapa jabatan kerajaan, beliau mengakui cara terbaik menyelesaikan sesuatu masalah ialah mengenalpasti puncanya.

“Dalam pentadbiran, apabila timbul masalah, kita tanya dan kenalpasti dulu apa masalah sebenar. Kemudian kita kaji apa puncanya, baru kita rangka dan buat tindakan penyelesaiannya. Apakah dalam kes budak mengandung ini sudah dikaji apa puncanya?”, soalnya.

Menurut bekas Pengarah Yayasan Islam Terengganu ini, adalah lebih baik untuk kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas membuat kajian terperinci mengenai punca keruntuhan akhlak dan merebaknya gejala sosial di kalangan remaja negara kita.

“Kita baca buku dan kitab, bahkan al-Quran pun ada beritahu kita bahawa punca utama keruntuhan masyarakat ialah apabila Islam tak dilaksanakan. Itu pokok pangkalnya. Banyak keruntuhan akhlak, termasuk hamil luar nikah, buang bayi dan sebagainya bertolak daripada negara tidak laksanakan Islam secara menyeluruh,” tegas.

Beliau yang kebetulan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Melaka selama empat tahun (1987-90) mendakwa agak kenal dengan budaya dan cara hidup para pemimpin masyarakat di negeri itu. Hal itu membuatkannya tidak yakin pihak pencetus idea penubuhan sekolah hamil ini mampu memberikan impak positif kepada usaha membendung gejala sosial dalam negara.

“Rakyat sebenarnya keliru dengan halatuju langkah penyelesaian ini. Apakah sekolah ini wujud sebagai sebahagian daripada kerangka penyelesaian menyeluruh atau sekadar memberi perlindungan kepada remaja terlanjur?”, soalnya lagi.

Baginya, dalam keadaan negara kita kini belum ada mekanisme penyelesaian menyeluruh menurut Islam, maka tindakan kerajaan Melaka itu seolah-olah sekadar melindungi dan memberikan tempat selesa kepada orang yang terbabit kes jenayah. Ia bukan saja kerja sia-sia, malah akan menggalakkan lagi maksiat berlaku dalam masyarakat.

“Mereka ini (pelajar sekolah hamil) akan berkongsi keseronokan membuat jahat, berkongsi cerita pengalaman masing-masing. Sedangkan kaedah rawatan manusia ini, kita nak jadikan orang jahat itu baik, kena letak dia di kalangan orang-orang baik, pastikan dia bergaul dengan orang baik, baru boleh ubah dia jadi baik.

“Tapi jika dibiar bergaul dengan sesama orang jahat juga, pulak tu diberikan keistimewaan layanan, tempat tinggal dan berbagai kemudahan, apakah dia akan rasa insaf (terhadap keterlanjurannya)?,” terjah Haji Omar lagi.

Beliau yang juga pernah menjawat Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu menguatkan kecurigaannya dengan merujuk fakta kegagalan pusat serenti merawat para penagih dadah. Kerajaan telah menghabiskan ratusan juta untuk membina dan mengoperasi pusat-pusat pemulihan di seluruh negara. Namun jumlah penagih semakin bertambah hari ke hari.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Oktober 2010 dengan tajuk "Tanpa penyelesaian menyeluruh di peringkat nasional" di ruangan TOPIK)

No comments:

Post a Comment