Friday, October 1, 2010

Lari tinggalkan keluarga demi selamatkan akidah

Ada benarnya kata para ulama bahawa keperibadian seseorang itu dinilai berpandukan siapa yang ada di sisinya atau sering berdampingan dengannya. Ilmu sosial-psikologi juga menyebut bahawa selain dicorakkan oleh tunjuk ajar ibu bapa dan guru, tingkah laku dan sikap seorang anak itu ikut dipengaruhi rakan sebaya dan keadaan sekitarannya.

Bagi Mohamad Azlan Gan Abdullah, kenyataan hidup itu bukan sekadar teori, bahkan benar-benar menjadi realiti yang mencorakkan hidupnya. Bermula dengan ajakan dan pujukan seorang rakan lah, dia akhirnya menerima seruan agama suci ini.

“Saya tentu tidak akan lupa kepada adik angkat saya, Mohd Tarmizi Ismail. Bagi saya dia lah pendorong utama, dia lah yang banyak cerita pasal kebaikan Islam dan ajak saya masuk Islam. Dia juga yang pilih nama ini untuk saya,” cerita Mohamad Azlan.

Menurutnya, rakan sebaya di Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkarak, Temerloh itu kekal menjadi sahabat baiknya hingga kini. Mereka malah masih berhubungan, biar pun
dipisahkan oleh jarak perjalanan ratusan batu.

“Dia (Mohd Tarmizi) sudah pencen pegawai Kor Perubatan Tentera di Kem Terendak, Melaka. Sekarang menetap di sana,” cerita Mohamad Azlan yang kini menetap di Kampung Baru Serada, Kuala Terengganu.

Beliau mengakui di atas usaha gigih rakannya itu lah, beliau akhirnya bersetuju menerima Islam. Dengan bantuan seorang ustaz di sekolahnya, Mohamad Azlan dibawa ke Pejabat Agama Daerah Temerloh. Di sanalah dia secara rasmi melafazkan dua kalimah syahadah.

Dilahirkan pada 22 September 1970 sebagai Gan  Hock Tong, anak ke 13 daripada 15 beradik ini membesar dalam sebuah keluarga penoreh di Ladang Getah Kampung Awah, Temerloh, Pahang. Ibu bapa dan keluarga suku kaum Hokkien ini adalah penganut agama Buddha yang taat.

Bagaimana pun, pandangan Mohamad Azlan terhadap agamanya beransur berubah tatkala usianya meningkat 12 tahun. Minatnya terhadap Islam bertambah kuat apabila naik ke sekolah menengah dan banyak bergaul dengan rakan-rakan berbangsa Melayu, termasuk Mohd Tarmizi.

Akhirnya, sekitar tiga bulan sebelum tamat Tingkatan Dua, beliau mengambil keputusan yang sama sekali mengubah hidupnya selepas itu.

“Selepas masuk Islam, keluarga bantah. Mak sendiri tak marah sangat, tapi adik-beradik dan bapa saudara sangat-sangat tak setuju,” ceritanya lagi.

Menyedari pendiriannya itu dibuat atas pengaruh dan dorongan rakan-rakan, keluarganya nekad memisahkan Mohamad Azlan dengan mereka. Beliau segera dipindahkan ke Sekolah Menengah Seri Bahagia yang jaraknya kira-kira 20 kilometer dari rumah.

Bukan itu saja, pergaulannya sepanjang berada di rumah turut dibatasi, terutama bagi mengelakkan dia bergaul dengan rakan-rakan berbangsa Melayu. Kawalan ketat oleh keluarga itu menyebabkan Mohamad Azlan tidak berkesempatan belajar apa-apa mengenai agama barunya selama beberapa bulan selepas itu.

Keadaan bagaimana pun berubah sekelip mata sebaik penggal baru persekolahan bermula.

“Pagi tu saya lengkap beruniform memang nak ke sekolah. Tiba di simpang jalan besar Kampung Durian Tawar, saya bertemu seorang abang, Fauzi Ngah. Dia buat kerja kontrak di kampung saya dan kebetulan nak balik Terengganu. Selepas berbincang masalah saya, saya terus ambil keputusan ikut dia balik,” Mohamad Azlan mengimbau kembali hari penting itu.

Detik itu benar-benar menjadi titik pusing dalam hidupnya. Keputusan nekad beliau meninggalkan keluarga dan kampung halaman dalam keadaan sehelai sepinggang semata-mata demi mempertahankan akidah suci yang baru dianutinya memang mengubah cerita hidupnya selepas itu.

Beliau membuat laporan di Balai Polis Kuantan, mengisytiharkan sudah memeluk Islam dan mengambil keputusan keluar dari rumah dengan hasrat mencari seorang kakaknya di Johor yang telah lama memeluk Islam.

Mohamad Azlan bagaimana pun tidak menuju ke Johor. Beliau sebaliknya mengikuti Fauzi ke Terengganu dan menjadi anak angkat kepada keluarga pemuda itu.

“Ayah angkat saya nama Ngah Mamat. Emak angkat juga nama Ngah, Ngah binti Salleh. Orang panggil keluarga ni ‘Ngah sepasang’,” cerita Mohamad Azlan mengenai keluarga angkatnya di Kuala Terengganu.

Beliau dilayan bagaikan ahli keluarga sendiri. Di situ lah juga beliau mula mendalami ilmu agama. Beliau sangat terhutang budi kepada Haji Ibrahim Abdullah. Katanya, imam surau Kampung Alor Melintang itu bertanggungjawab mengajarnya membaca al-Quran dan cara-cara bersolat.

Berkat usaha keluarganya dengan bantuan Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu, Mohamad Azlan tidak sukar diterima menyambung pelajarannya di Sekolah Menengah Padang Midin, walau pun tanpa surat perpindahan sepatutnya.

Di masa sama beliau turut belajar ilmu pertukangan daripada keluarga angkatnya. Justeru, setelah tamat pengajian di Tingkatan Lima, beliau terus memilih bidang itu sebagai kerjayanya.

Ikatan bersama keluarga angkatnya diperteguhkan lagi apabila beliau dijodohkan dengan gadis yang telah sekian lama tinggal sebumbung dengannya, Normahani Ngah. Hasil perkongsian hidup sejak September 1991 itu, mereka kini dikurniakan tujuh cahaya mata.

Anak-anak itu ialah Nurnasuha Gan, berusia 17 tahun, Nurnajihah Gan (16), Afif Zulhilmi Gan (15), Aiman Hizami Gan (11), Nurhusna Madinah Gan (6), Arif Hashimi Gan (5) dan Hanis Mardiyah Gan (tiga bulan).

Lebih menggembirakan Mohamad Azlan ialah apabila keluarga asalnya kini menerima baik jalan hidup yang dipilihnya. Katanya, keluarganya bukan sahaja merestui perkahwinannya, bahkan turut mengirimkan wang untuk perbelanjaan majlis itu.

“Sejak itu (1991), setiap tahun saya bawa balik isteri dan anak-anak (ke Temerloh). Alhamdulillah penerimaan keluarga asal saya kini tak ada masalah lagi,” ujar Mohamad Azlan, mengakhiri temubual yang dibuat di ruang tamu Kompleks Darul Hidayah, Kuala Terengganu.

Penulis difahamkan Mohamad Azlan adalah antara saudara kita yang sangat aktif menjayakan program-program anjuran pusat di bawah kendalian Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) itu.

Beliau malah pernah dinobatkan sebagai Johan Tilawah al-Quran Untuk Saudara Kita bagi tahun 2008.

(Artikel Nuwa Aitawa ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi September 2010 dengan tajuk "Tinggalkan keluarga demi akidah" di ruangan Hidayah).

No comments:

Post a Comment