Monday, October 11, 2010

Perkasa bahasa, pemimpin jangan jadi burung tiong

oleh: Mat Zain Mat Isa

Buat kali yang entah ke berapa puluh (atau mungkin ratus?), rakyat disergah lagi oleh pemimpin negara agar memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kehidupan seharian. Secara tidak langsung, rakyat seakan dipaksa menerima hakikat bahawa bahasa Melayu yang sepatutnya dijulang dan dimartabatkan sebagai bahasa komersial, ekonomi, komunikasi dan ilmu tinggi itu masih dilayan pada tahap yang amat tidak membanggakan.

Hakikat itu bukan lah suatu yang mengejutkan atau sukar diterima masyarakat negara kita. Perbahasan isu kedudukan bahasa kebangsaan dan keluh-kesah pejuangnya telah acapkali menerjah perhatian umum sejak sekian lama. Janji dan penegasan pemimpin negara untuk memperbaiki kekecewaan itu juga sudah jenuh diulangsebut.

Selasa (5 Oktober) lalu, giliran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri MuhyiddinYassin pula menyuarakan harapan serupa. Selaku pemimpin sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan segala yang berkaitan dengan Melayu dan telah pun diberikan peluang memerintah negara lebih separuh abad, beliau sedikit pun tidak malu untuk mengakui betapa sehingga kini bahasa kebangsaan belum dilestarikan sepenuhnya sebagai bahasa ilmu tinggi dan komunikasi.

Justeru, katanya usaha memasyarakatkan penggunaan bahasa itu mencakupi pelbagai bidang termasuk perundangan, perkhidmatan kewangan, sains dan teknologi mesti diperkasakan.

Untuk itu, beliau menggesa penggunaan lebih menyeluruh bahasa kebangsaan oleh sektor korporat, institusi perbankan, kewangan dan insurans, selain pemerkasaan penggunaannya di tempat-tempat awam oleh pihak berkuasa tempatan.

Secara zahirnya penegasan sang pemimpin itu agak meyakinkan. Paling tidak ia mengerlipkan sinar harapan buat pejuang bahasa melihat kejayaan usaha mereka meletakkan bahasa Melayu di tempat sepatutnya.

Namun, apakah ada perbezaan ketara antara ucapan itu dengan apa yang pernah didengar sebelum ini? Lebih penting lagi, apakah penegasan itu disusuli komitmen yang meyakin dan membanggakan ke arah merealisasikannya?

Amat malng, ucapan dan seruan yang pada zahirnya menggambarkan kesungguhan pemimpin dan kerajaan dipimpinnya untuk melihat pemerkasaan bahasa menjadi realiti itu tidak lebih umpama ‘menanam tebu di pinggir bibir’. Ia sekadar agenda bermusim dan dituturkan semata-mata memenuhi aturcara tahunan sebuah kerajaan.

Oleh kerana bercakap di majlis berhubung bahasa, maka penekanan sang pengucap ialah agar bahasa diutama dan dijulang. Ada pun sejauh mana penegasan itu akan diambil tindakan relevan dan berkesan tidak semestinya diambil pusing.

Itulah realiti yang berulangkali ditayangkan para pemimpin kita. Kehangatan semangat melihat isu penodaan bahasa berjaya ditangani hanya sekadar di bibir. Mereka ini tidak ubah umpama burung tiong yang hanya sekadar tahu mengulangi kalimah atau ungkapan yang sering diajar orang kepadanya.

Burung tiong tidak perlu faham pun apa yang dituturkannya. Jauh sekali untuk dia meletakkan komitmen tinggi untuk mengiyakan apa sebenarnya yang dia tuturkan.

Anehnya, biar pun manusia yang mendengar ia bercakap itu tahu si burung itu hanya tahu bersuara, tidak sedikit juga manusia yang berakal itu terpesona dengan kepandaian makhluk berbulu itu berkata-kata.

Kita mungkin ketawa, tersengih atau menganggukkan kepala melihat burung tiong menuturkan kata seperti manusia. Ia sesuatu yang luar biasa dan mengagumkan. Namun apakah patut kita tersengih dan mengangguk juga bila melihat beberapa manusia bersilih ganti menuturkan penegasan serupa yang diulang-ulang?

Pemimpin negara adalah manusia dan bukan burung tiong. Manusia, lebih-lebih lagi pemimpin, tidak boleh sekadar bercakap sesuatu tanpa ada komitmen, tanpa disusuli tindakan kondusif dan revelan ke arah merealisasikan apa yang ditegaskan.

Penegasan pemimpin kerajaan perlu dibuktikan dengan langkah konkrit dan berencana. Akuilah bahawa masalah utama dalam memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan di negara kita banyak berkait dengan dasar dan peraturan digunapakai kerajaan sendiri.

Soal borang permohonan, perjanjian kontrak dan berbagai dokumen di institusi perbankan, kewangan dan insurans masih menggunakan bahasa Inggeris, sepertimana disebut Muhyiddin itu sepatutnya sudah lama diubah kerajaan.

Paling utama, komitmen memartabatkan bahasa perlu dibuktikan dengan perbuatan para pemimpin itu sendiri. Maaf cakap, sebilangan pemimpin Melayu sendiri gemar memandang remeh soal bahasa. Lebih teruk lagi, ada yang seolah-olah merasa malu menggunakan bahasa Melayu.

Pada orang seperti ini, seseorang itu dianggap hebat dan ada kelas apabila mampu mengetengahkan istilah atau ungkapan Inggeris, sama ada dalam ucapan, tulisan atau urusan-urusan hariannya. Apatah lagi kalau mampu berkomunikasi sepenuhnya menggunakan bahasa penjajah itu, walau pun berdepan audiens negara sendiri.

Dalam hal ini para pemimpin negara tidak boleh menipu rakyat. Komitmen mereka untuk memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan boleh dinilai oleh masyarakat umum, terutama apabila mereka lebih selesa menggunakan ungkapan Inggeris tatkala muncul di media.

Jika tabiat ini gagal diubah, pemimpin yang bercakap memperkasakan bahasa tidak ubah ibarat burung tiong!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1579, 11 Oktober 2010 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment