Friday, October 1, 2010

Beruk, pokok kelapa jadi teman seharian Pak Kob

Oleh: Nuwa Aitawa

SEBUT sahaja Kampung Pak Kiang, Besut, kebanyakan mereka yang tahu mengenainya tidak akan sukar menceritakan keunikannya. Di seluruh daerah paling utara di Terengganu ini, hanya di situ dapat ditemui sebuah komuniti kaum Siam. Biar pun diapit masyarakat Melayu, komuniti masyarakat minoriti ini agak lengkap apabila memiliki sebuah jawatankuasa kampung dan rumah ibadat tersendiri.

Namun, bukan itu saja yang memperkenalkan kampung yang dihuni majoriti masyarakat petani dan peniaga itu kepada masyarakat luar. Aktiviti harian sebilangan anggota masyarakatnya membuatkan Kampung Pak Kiang sering dikunjungi orang untuk mendapatkan barangan keperluan atau khidmat disediakan penduduk di situ.

Salah seorang yang sering dicari orang di kampung tersebut ialah Encik Yaakob Sipik. Sekali imbas dinilai pada zahirnya, warga emas berusia 61 tahun ini barangkali tidak ada bezanya dengan jiran-jirannya yang lain. Beliau mungkin seorang penanam tembakau atau sayuran, mungkin juga seorang peraih ikan atau peniaga kecil.

Justeru, apa yang membuatkan insan yang telah jenuh dipanah mentari ini agak istimewa berbanding yang lain? Semuanya berkait rapat dengan khidmat disediakannya.

Insan yang lebih dikenali sebagai Pak Kob ini adalah pemetik kelapa yang sangat mahir. Sejak mula mengenali dunia pekerjaan di usia mudanya, beliau hanya tahu membuat kerja itu.

“Mula tu kita (saya) try (cuba) jugak kerja kontrak (pembinaan). Gajinya murah sangat waktu tu, tiga rial (RM3) sehari. Jadi kita kata, kalau aku ambil upah naik nyiur (kelapa) barangkali boleh lebih dari tu,” cerita Pak Kob, ketika ditemubual di rumahnya.

Sejak itu beliau beralih kepada kerjaya memetik kelapa hingga sekarang. Bermula dengan memanjat sendiri untuk menggugurkan buah dari puncak pokok, kerja Pak Kob kini dimudahkan dengan kehadiran beruk peliharaannya yang dilatih khas untuk kerja tersebut.

“Dah 40 tahun kita pelihara beruk ni. Lebih ada, kurang tak sama sekali. Semuanya dah 15 ekor,” cerita Pak Kob dengan girang.

.Menurutnya, harga setiap ekor beruk miliknya berbeza-beza. Paling murah berharga RM300, manakala paling mahal dibelanjakannya ialah RM800 seekor. Ia berdasarkan perbezaan umur dan kemahiran beruk-beruk dibelinya.

“Kita memang beli hak dah pandai (sudah terlatih untuk memetik kelapa). Ada di Bachok (Kelantan), di Kampung Buluh (Setiu). Di Pasir Akar (Hulu Besut) pun ada,” Pak Kob menyenaraikan tempat-tempat dikunjunginya untuk mendapatkan beruk berkualiti.

Sepanjang tempoh itu, tidak sedikit pengalaman dipelajarinya, terutama dalam memahami tabiat dan sifat haiwan peliharaannya itu. Paling menakjubkan ialah apabila Pak Kob mendakwa tidak pernah walau pun sekali digigit ‘teman’ sehariannya itu.

“Setakat ni tak rajin (pernah) lagi kena kekoh (gigit). Kita tahu, tengok keadaan perangai dia tu, kita boleh tahu kalau dia marah. Tika tu, kita kena pandai, jangan ikut erel (mood) dia,” sambung Pak Kob lagi.

Beliau mendakwa mempunyai kaedah tersendiri menjinak dan mendisiplinkan haiwan peliharaannya itu. Penelitian penulis ketika melihat beliau mendekati dan membelai “pekerjanya” itu meyakinkan hakikat itu. Tahap kepatuhan haiwan itu terhadap setiap butir arahan disuarakan Pak Kob amat menakjubkan.

“Tak susah (nak membela beruk). Kita beri dia makan apa saja hak kita makan. Nasi, buah, air susu, air botol (berkarbonat), semua lah,” cerita Pak Kob, seraya menuding jari ke arah longgokan botol plastik air berkarbonat di tepi rumahnya.

Bertemankan haiwan yang taat itu, rutin hariannya kini bagaikan seorang pemberi khidmat yang sedia memenuhi permintaan secara berjadual. Panggil saja ke mana, sekiranya tidak ada pertindihan jadual, beliau akan sampai.

Sikapnya yang mudah berurusan itu menyebabkan khidmatnya sering ditagih para penduduk beberapa kampung sekitar Pak Kiang, termasuk dari Kampung Air Tawar, Kuala Besut, Pengkalan Nyireh dan Keluang.

Ditanya mengenai nilai upah diterimanya, Pak Kob terus tersengih. Beliau mengimbau kembali ketika mula bekerja dulu, bilamana upah diterimanya hanya RM1 untuk seratus biji digugurkannya.

“Lepas tu naik tiga rial (RM3), lima rial, tujuh, sepuluh. Lo ni (kini) lima belas rial (RM15) seratus,” terangnya.

Menurutnya, secara hitung panjang, beliau kebiasaannya mampu menurunkan sekitar 300 biji kelapa dalam sehari. Jumlah itu memberikan pendapatan kira-kira RM40 kepadanya.

Berbekalkan upah khidmat itulah Pak Kob berjaya membesarkan enam anaknya. Alhamdulillah, kini empat daripada mereka telah pun bekerja dan mendirikan rumah tangga. Bagaimana pun dua lagi masih menuntut dan memerlukan tanggungannya, seorang di sebuah universiti di Kedah dan seorang lagi di Tingkatan Enam di salah sebuah sekolah di Besut.

Biar pun upah diterimanya tidak seberapa berbanding suasana kerja yang memerlukan ketabahan tersendiri, Pak Kob tetap berbangga dengan khidmat diberikannya. Apatah lagi tidak semua orang mampu memiliki ketabahan sepertinya, terutama dalam menimba ilmu menjinakkan haiwan yang agak ganas itu.

Bagi masyarakat berdekatan pula, terutama mereka yang memiliki pokok kelapa, adanya insan seperti Pak Kob tidak syak lagi menyediakan satu kemudahan untuk mereka selesaikan keperluan hidup mereka.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Oktober 2010 dengan kesilapan tajuk "Norhayati puas dapat berikan khidmat bakti" di ruangan 'Syukur Ada Mereka'. Tajuk sepatutnya ialah sepertimana di atas.)

No comments:

Post a Comment