Friday, October 15, 2010

Memahami percaturan politik Umno, Ku Li di Galas

oleh: Mat Zain Mat Isa

Teka-teki pendirian Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah (Ku Li) berhubung pelantikannya sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas bagi Barisan Nasional (BN) akhirnya terjawab.

Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu memecah kebuntuan pengamat politik apabila menyanggupi tawaran partinya yang begitu bersungguh mahukan khidmat beliau kali ini.

Setakat ini pihak paling lega dengan penerimaan Ku Li itu ialah partinya sendiri, Umno. Pemilihan tokoh berpengalaman itu sebagai peneraju jentera kempen BN di Galas dianggap paling menepati beberapa percaturan politik dibuat Umno.

Pertama, mengakui hakikat pengaruh Ku Li sangat besar di jajahan itu, Umno merasakan kekuatan itu perlu dimanipulasi sebagai faktor utama mencerahkan peluangnya merampas kerusi berkenaan dari PAS.

Gua Musang diakui kubu tradisi anak raja itu. Sejak lebih tiga dekad lalu sebarang perkembangan politik dan kemajuan pembangunan di jajahan itu bagaikan sinonim dengan kehadirannya selaku penguasa politik di situ.

Ku Li menjadi Ahli Parlimen kawasan berkenaan sejak 1974 hingga kini, termasuk selama tiga penggal di atas nama Parlimen Ulu Kelantan.  Bermula 1986 ia dinamakan Parlimen Gua Musang dan kekal disandang Ku Li, termasuk dua penggal pada 1990 dan 1995 di atas tiket Parti Melayu Semangat 46.

Turut menjadi percaturan Umno ialah untuk meletakkan PAS dalam dilema. Mengambilkira hubungan agak baik PAS Kelantan dengan Ku Li sebelum ini, khususnya dalam kes tuntutan royalti minyak oleh kerajaan negeri terhadap Petronas dan Kerajaan Pusat, Umno berharap pemilihan Ku Li selaku panglima perang BN di Galas bakal menyempitkan langkah PAS.

Ketiga, keadaan itu diharap memberikan suasana memang-menang buat Umno. Maksudnya, dengan pemilihan Ku Li sebagai pengarah pilihan raya di kubunya sendiri, Umno kini sudah selesa menyediakan berbagai alasannya menghadapi kemungkinan sama ada menang atau kalah.

Ditakdirkan Umno menang pada 4 November nanti (mohon dijauhkan Allah), maka ia akan beralasan rakyat di situ telah menolak PAS dan kembali menerima Umno. Akan berbuihlah pemimpin Umno menyanjungi kecemerlangan partinya.

Sebaliknya, jika ia gagal maka yang akan dikambing-hitamkan sebagai punca utama kekalahan ialah Ku Li. Pemimpin itu akan dianggap sudah tidak relevan dan hilang taring di kubu sendiri.

Atau mungkin akan ada dakwaan liar kononnya beliau sengaja mensabotaj BN dan memberi laluan kemenangan kepada PAS. Dengan itu, hayat politiknya juga mungkin lebih mudah ditamatkan.

Biar apa pun kebijakan yang mungkin menyirati percaturan para pemimpin tertingi BN, khususnya Umno, dalam meletakkan Ku Li di barisan depan ketumbukan perang BN di Galas, kita percaya selaku seorang tokoh politik berpengalaman dan amat masak dengan sepak terajang politik dalaman partinya sendiri , Ku Li juga ada percaturannya sendiri.

Beliau mungkin ada sebab sangat munasabah apabila berkeputusan menerima pelantikan, walau pun pada zahirnya dinilai berbagai pihak yang memihaknya sebagai bakal menjerumuskan dirinya kepada risiko politik sangat besar.

Pertama, beliau berjaya menyerlahkan hipokrasi dan menyentap keegoan pemimpin tertinggi partinya. Umum mengetahui betapa Ku Li disisihkan dari arus perdana parti dan kerajaan. Sudah sekian lama kehadirannya tidak diraikan. Nasibnya selama ini dilayan partinya sendiri ibarat melukut di tepi gantang, adanya tidak menambahkan sukatan, tiadanya tidak dihiraukan.

Bayangkan disebabkan Galas, sebilangan pemimpin utama parti termasuk Ketua Perhubungan Umno Kelantan dan Ketua Penerangan Umno Pusat beserta lebih 50 individu lain tiba-tiba sanggup mengenepikan tugasan lebih penting dan bergegas menyambut ketibaan Ku Li di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Bagi kita babak pada Sabtu (9 Oktober) lalu itu menyerlah hipokrasi para pemimpin terbabit yang sebelum ini antara yang paling lantang mencemuh dan memperlekehkan kewibawan Ku Li, terutama ketika beliau menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Umno tahun lalu. Ia sekaligus membenam ego mereka yang terpaksa melutut memohon jasa bakti Ku Li kali ini.

Kedua, pelantikan ini peluang kepada Ku Li “meluku” sifat keji partinya sendiri yang menyisih beliau selama ini. Ku Li bagaikan menjentik telinga Umno apabila meminta seluruh peringkat kepimpinan parti itu memberikan kerjasama kepadanya di Galas.

Dlam nada dibauri sedikit unsur menyindir Ku Li mengingatkan pemimpin Umno betapa hakikat kedudukannya kini yang tidak ada apa-apa jawatan penting sama ada dalam parti mahu pun kerajaan.

Kita percaya sebagai seorang yang telah memiliki segala yang dimahukannya dalam hidup, Ku Li ikhlas apabila mengatakan beliau tidak meminta diberikan apa-apa jawatan dimaksudkan. Namun, sebagai pemerhati politik kita tentu merasa suatu yang agak tidak kena apabila Umno mengutamakan seorang pemimpin yang kalah pilihan raya untuk mengisi jawatan penting kerajaan dan mengenepikan yang menang.

Contoh di depan mata dalam kes Kelantan ialah pemimpin yang kalah dijadikan senator dan dilantik menganggotai Kabinet, sedangkan Ku Li yang menang bergaya langsung tidak dipandang Umno, walau pun dengan sebelah mata.

Galas boleh dijadikan medan untuk Ku Li benamkan sikap keji partinya itu!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1580, 15 Oktober 2010 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment