Wednesday, September 1, 2010

Celanya bila ‘orang yang hampir’ lakukan kesalahan

Perhatikan dua kes berikut. Pertama, seorang ustazah dicekup berkhalwat dengan suami orang di sebuah rumah di Changlun, Kedah, awal pagi 13 Ogos lalu.  Ketika serbuan anak lelaki wanita itu yang berusia 18 tahun turut berada di rumah tersebut, dipercayai sedang tidur di dalam biliknya dan tidak mengetahui ibunya membawa masuk lelaki berkenaan.

Sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kubang Pasu (PADKP) menyerbau rumah tersebut setelah mendapat maklumat ada kegiatan yang mendatangkan syak di rumah tersebut.

Menurut fakta dilaporkan media, ustazah berusia 40 tahun itu mengajar di sebuah sekolah rendah di daerah Jitra. Manakala pasangannya itu seorang kakitangan kerajaan berusia 50 tahun yang berasal dari Langgar, Alor Setar. Wanita itu dikatakan sudah lama menjanda dan mengenali lelaki yang sudah berkeluarga itu sejak beberapa bulan lalu.

Dalam kes kedua yang berlaku di Setiu, Terengganu pula, seorang pesara tentera yang dikenali sebagai ‘ustaz’ di kalangan penduduk setempat ditahan polis dalam Ops Tapis yang dijalankan di sekitar kawasan Chalok dan Langkap di daerah itu. Kes dilaporkan berlaku pada 12 Ogos lalu.

Media melaporkan, suspek berusia 49 tahun ditahan di tepi jalan utama di kawasan Chalok ketika dia dikatakan sedang menunggu pelanggan. Difahamkan suspek yang mempunyai sembilan anak baru terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penagihan dadah jenis ganja dan menjadikan lokasi itu sebagai tempat mengedar bahan terlarang itu.

Jika diukur semata-mata berdasarkan kesalahan di sisi undang-undang, kedua-dua kes di atas bukan suatu yang pelik atau memeranjatkan. Bukankah kes-kes wanita membawa pulang teman lelaki ke rumah secara senyap-senyap untuk melakukan aktiviti persundalan sudah terlalu acap terpapar di dada media? Ia bukan sahaja melibatkan wanita yang menjanda, malah kes-kes isteri orang berkhalwat dengan suami orang juga kerap dipaparkan.

Begitu juga kes-kes membabitkan pengedaran dan penagihan dadah di kalangan semua peringkat usia. Jika pun tidak saban hari, boleh dikatakan dalam satu minggu wajib ada kes seumpama itu yang mendapat liputan media negara kita.

Justeru, apa sebenarnya yang menjadikan dua kes tadi sedikit luar biasa? Kata kunci utama kes berkenaan ialah pada gelaran dimiliki dua orang kena tahan (OKT) itu. Baca tajuk dipilih media dalam melaporkan kes-kes tersebut. Pertama, ‘Ustazah janda dicekup khalwat’. Kedua pula, ‘Ustaz Tabligh dicekup’.

Gelaran ‘ustaz’ dan ‘ustazah’ itulah sebenarnya yang menjadikan kedua-dua kes itu lebih menarik perhatian pembaca. Mengapa? Kerana sudah menjadi suatu yang tersemat dalam mindset masyarakat kita bahawa mereka yang bergelar sedemikian adalah orang yang memiliki ilmu dan pegangan agama yang baik.

Jika tidak terlalu baik pun, paling tidak mereka dianggap lebih baik berbanding orang kebanyakan. Apatah lagi perkara yang menyebabkan mereka mendapat gelaran itu sudah tentu kerana ilmu atau kegiatan hidup mereka yang mengajarkan agama Islam kepada pihak lain.

Nilaian itu sebenarnya agak menyimpang dari ajaran agama. Islam mengajar kita bahawa nilaian tahap baik-buruk seseorang itu sepatutnya diukur berdasarkan tahap ketaqwaannya kepada Allah. Ia bukan semata-mata berasaskan ketinggian ilmu agama dimiliki seseorang atau kebolehannya mengajarkan ilmu Islam kepada orang lain.

Maksud sebenar prinsip agama itu boleh dipelajari dari kedua-dua kes tadi. Dalam kes di Setiu itu, suspek dikatakan sengaja memanipulasi penampilan dirinya sebagai seorang anggota sebuah jemaah dakwah dan gelaran ‘ustaz’ diperolehinya untuk menyembunyikan identiti sebenarnya. Kedudukan istimewanya dalam masyarakat didakwa dimanfaatkannya untuk melindungi kegiatan jahatnya dari dihidu pihak berkuasa.

Dalam kes di Jitra itu pula, wanita itu memang seorang guru agama di sekolah. Secara logiknya tentu sukar bagi anggota masyarakat sekeliling mengesaki perkara bukan-bukan tergamak dilakukan seseorang bertaraf sedemikian.

Bagaimana pun apa yang berlaku telah pun berlaku. Oleh kerana ia melibatkan ‘orang yang hampir’ dengan agama, maka perbuatan terkutuk itu menjadi lebih tercela. Bukankah cara media menonjolkan laporan mengenai dua kes itu sudah cukup memalukan Islam?

Kes itu menepati intipati satu kaedah syarak yang menyebutkan, ‘perkara yang baik (dibolehkan) bagi orang kebanyakan, ia menjadi celaan bagi orang yang hampir’.

Maksudnya, sesuatu perkara itu mungkin jika dilakukan oleh orang biasa tidak menjadi celaan. Tetapi jika dilakukan oleh ‘orang yang hampir’, ia dianggap suatu yang buruk dan tidak wajar.

Contohnya, perbuatan kencing berdiri di tepi jalan oleh seorang lelaki. Kita mungkin tidak terasa pelik melihat seorang yang berseluar jeans atau mengenakan seluar pendek dan berbaju T mengqadha hajat di tepi jalan.

Namun apakah nilaian kita serupa jika yang berdiri memancutkan air di kawasan orang lalu-lalang itu seorang yang berserban dan berjubah? Tentu tidak sama, bukan?

Kenapa? Kerana orang berjubah dan berserban itu dianggap ‘orang yang hampir’ dengan agama. Dia bukan saja dipercayai lebih mengetahui adab sopan, tetapi turut diharapkan memberikan contoh perlakuan baik kepada masyarakat.

Kaedah syarak ini mengajar kita bahawa jika dalam perkara yang tidak menjadi celaan untuk dilakukan orang biasa pun, ia sudah dianggap tercela apabila perkara sama dilakukan ‘orang yang hampir’, inikan pula dalam kes yang jika orang biasa melakukannya pun sudah dianggap tercela.

Perbuatan mereka bukan sahaja memberikan kesan negatif kepada diri, tetapi turut menjejaskan imej profesion dan gelaran yang mereka miliki. Sepertimana ustaz dan ustazah melakukan maksiat dan jenayah dianggap memberikan imej negatif terhadap golongan agama, begitu lah juga jika orang yang bertanggungjawab mencegah rasuah sendiri ditangkap melakukan perbuatan itu. Bukankah mereka ‘orang yang hampir’ dengan kesedaran mengenai kekejian rasuah?

Atau, sebuah kenderaan penguatkuasa undang-undang jalan raya dipandu dengan cara yang melanggari undang-undang. Apakah anda tidak pernah melihat kenderaan ‘orang yang hampir’ dengan undang-undang sendiri melanggar lampu isyarat merah atau membelok di simpang tanpa menyalakan lampu isyarat kenderaan?

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi September 2010 dengan tajuk sama di ruangan Pendapat)

No comments:

Post a Comment