Wednesday, September 1, 2010

Akibat disangka kanak-kanak sekolah rendah Zul Helmi disergah ketika mahu buang undi

Melihat pada susuk tubuhnya, sesiapa pun tidak akan menemui sebarang keganjilan pada Zul Helmi Mamat. Apatah lagi jika dia berada di dalam kelompok kanak-kanak berusia antara sembilan hingga sebelas tahun. Bentuk dan saiz tubuhnya tidak jauh berbeza dengan mereka yang lain.

Tiada juga kecacatan atau kekurangan fizikal dikesan pada batang tubuhnya. Semua pancainderanya dalam keadaan sempurna. Penampilannya yang sentiasa ceria pula menyebabkan sesiapa pun yang mendampinginya akan menganggap ia seorang kanak-kanak yang aktif.

Namun anda pasti terkejut mendengarkan tutur bicara lelaki berketinggian sekitar empat kaki ini. Ia jauh lebih “advance” berbanding kanak-kanak sekolah rendah. Tidak sukar dimengertikan, kematangan fikiran dan laku perbuatannya itu adalah setahap dengan usianya yang kini hampir mencecah 30 tahun.

Zul Helmi dilahirkan pada 24 Oktober 1980 dalam sebuah keluarga petani di kampung Amer, Besut, Terengganu. Beliau merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik kepada pasangan Mamat Abdullah dan Siti Fatimah Jusoh.

“Semua abang dan kakak saya normal. Saya pun begitu juga masa beranak (lahir) dulu,” cerita Zul Helmi, apabila ditanya tentang saiz tubuhnya yang kerdil itu.

Beliau menafikan fizikal dirinya itu akibat masalah genetik keturunan. Menurutnya, ibunya memberitahu tahap tumbesarannya mula terbantut selepas beliau menghidapi demam panas yang kuat semasa masih kecil.

“Ketika tu umur saya sekitar setahun. Mak kata, lepas saya demam panas tu lah, tubuh saya tak besar-besar. Besar juga, tapi tak macam orang lain,” ujarnya, dalam nada dan mimik muka penuh humor.

Zul Helmi mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Amer, kira-kira tiga kilometer dari rumahnya. Beliau menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Nasiruddin Shah, juga berdekatan rumahnya. Bagaimana pun pembelajarannya di situ terhenti hanya setakat Tingkatan Tiga.

Selepas itu beliau dihantar ibu bapa untuk mendalami ilmu agama di Pondok Taqwa, sebuah pusat pendidikan agama yang dikhususkan untuk pelajar yang keciciran dalam pelajaran, yang terletak di Padang Luas, juga di daerah Besut.

Beliau juga tidak kekal lama menuntut di situ, hanya tidak sampai dua tahun. Ditanya apakah tindakan menamatkan pengajian di situ disebabkan tidak tahan dengan gangguan fizikal dan psikologikal oleh rakan-rakan, Zul Helmi hanya tersenyum tawar dan sekadar menyebut “malas nak cerita lah”.

Seorang jiran beliau, Din Abu Bakar, yang ada bersama ketika sesi temubual ini bagaimana pun memberitahu bahawa Zul Helmi memang sering menjadi mangsa usikan kawan-kawannya, sama ada di sekolah mahu pun di kampungnya. Gangguan itu bukan sekadar usikan fizikal, tetapi yang lebih memberikan kesan kepada insan kerdil ini ialah kata-kata mereka yang kekadang bersifat mengejek dan menghina.

“Mungkin mereka ini (kawan-kawan) berniat nak bergurau, tetapi kadang-kadang tu agak terlajak. Memang dia (Zul Helmi) akan terasa hati, misalnya kalau asyik dipanggil budak-budak. Sedangkan kawan kita ni dah galak nak berbini (berkahwin)” usik Din, menceritakan kerenah sebilangan anggota masyarakat terhadap Zul Helmi.

Insan istimewa itu ikut ketawa kecil mendengar gurauan jirannya itu. Beliau juga mengakui kenalannya sering mengusiknya dengan layanan ala-kanak-kanak, sama ada dalam perbuatan atau kata-kata mereka. Namun segala itu sudah kalih baginya.

Di kalangan mereka yang tidak mengenalinya pula, Zul Helmi kerap disalah anggap sebagai murid sekolah rendah. Hal itu, menurutnya, ada yang memberi kesan negatif dan ada juga yang positif.

“Suatu ketika saya naik bas ekspress dari Jertih (Besut) ke Kerteh (Kemaman). Dia (kondaktor) ambil tambang separuh je, tambang budak-budak,” ceritanya sambil ketawa kecil.

Bukan itu saja, beliau mendakwa turut menjimatkan perbelanjaan hariannya, terutama untuk makan-minum dan pakaian. Apa yang pasti, jumlah itu tidak sebanyak yang perlu dihabiskan rakan seusianya yang berfizikal tiga atau empat kali ganda lebih besar.

Bagaimana pun, beliau tidak menafikan keadaan fizikalnya menyebabkan beliau sukar mendapatkan pekerjaan hingga kini. Sepanjang usianya, Zul Helmi pernah bekerja di sebuah stesen minyak tidak jauh dari rumahnya. Bagaimana pun beliau hanya mampu bertahan sehari.

Lebih mendukacitakannya, walau pun memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) dikeluarkan kerajaan, beliau hingga kini gagal mendapat sebarang bantuan kebajikan daripada mana-mana jabatan atau agensi kerajaan.

Ditanya mengenai apa-apa insiden yang sukar dilupakan, Zul Helmi lantas teringatkan apa yang dialaminya ketika pertama kali mahu membuang undi dalam Pilihan Raya Umum 2004 lalu. Beliau disergah oleh pegawai tempat mengundi yang menyangkanya kanak-kanak.

“Dia kata, ‘hei, awak buat apa di sini? Budak-budak tak boleh masuk’. Saya pun tepuk meja lah, tunjuk kad pengenalan,” Zul Helmi sambil tersenyum menggayakan kembali aksinya itu.

Katanya, kekeliruan itu bagaimana pun tidak berpanjangan. Mujur juga dua petugas parti yang menjadi agen membuang undi di dalam bilik itu adalah penduduk sekampung Zul Helmi. Mereka mengesahkan bahawa insan kerdil itu sebenarnya sudah pun berusia lebih 24 tahun dan telah layak mengundi.

(Artikel Nuwa Aitawa ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi September 2010 dengan tajuk "Disangka anak kecil Zul Helmi disergah ketika mahu buang undi" di ruangan Meniti Hidup)

No comments:

Post a Comment