Monday, June 1, 2009

Pendakwah bebas tabur ilmu Islam ke pelosok kampung


Oleh: Nuwa Aitawa

Berpegang kepada prinsip yang diwariskan oleh Nabi Muhammad s.a.w, iaitu ‘ballighu anni walau aayah’ (sampaikan imu Islam daripada ku walaupun satu ayat), sekumpulan pendakwah bebas di daerah Besut, Terengganu, membuktikan komitmen masing-masing menyempurnakan tanggungjawab terhadap agama ini.

Mereka ini bagaikan tidak mengenal erti penat dan lelah menjelajah ke pelosok kampung menyebarkan ilmu-ilmu Islam. Setiap mereka mempunyai jadual tersendiri yang padat. Malah ada antara mereka yang sanggup meninggalkan daerah sendiri memenuhi undangan dan komitmen memberikan kuliah di tempat lain.

Terdapat ribuan pendakwah bebas yang komited dengan kerja mereka di serata negara. Di daerah Besut sahaja jumlahnya mencapai ratusan orang. Hampir tidak ada masjid, surau, madrasah ataupun balaisaf yang tidak dikunjungi mana-mana di antara mereka.

Salah seorang di antara mereka ialah Ustaz Shamsul Bahri Daud. Pendakwah berusia 44 tahun ini adalah pesara guru agama Angkatan Tentera Malaysia. Selama perkhidmatannya selama 16 tahun dalam Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat), beliau pernah ditugaskan di Port Dickson, Bau (Sarawak), Johor Bahru dan Gong Kedak, Kelantan.

Ustaz Shamsul yang berasal dari Binjai, Kota Bharu, Kelantan mengambil keputusan berhijrah dan menetap di Kampung Paya Rawa, Besut selepas persaraannya pada 2003.

“Banyak sebab mendorong saya berpindah ke mari. Antaranya adalah peluang yang lebih luas untuk menyampaikan dakwah Islam di sini”, ujarnya ketika ditemui di rumahnya.

Beliau mempunyai jadual tetap kuliah Maghrib di tiga surau. Pada Ahad malam Isnin, beliau mengajar di surau Benting Lintang. Kitab rujukannya ialah ‘Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah’ karangan bekas Mufti Sabah, Haji Said Ibrahim.

Pada Selasa malam Rabu pula, beliau mengajar kitab ‘Mustika Hadis’ di surau Gong Kulim, Pasir Puteh, Kelantan. Manakala Rabu malam Khamis, kuliah Maghribnya di Masjid Iktikaf, Keluang, Besut. Beliau membicarakan ‘Hadis 40’ karangan Imam Nawawi.

Di samping itu, beliau turut aktif membimbing halaqat ilmu melibatkan beberapa kumpulan kecil aktivis Islam dalam masyarakat setempat.

“Tugas utama pendakwah ialah menyedarkan masyarakat Islam. Apatah lagi kita dapati keadaan masyarakat sekarang ini banyak terpesong dan jauh dari akidah Islam yang sebenarnya. Keadaan inilah yang mesti diperbetulkan,” tegasnya.

Dorongan itu turut dikongsi seorang lagi pendakwah bebas, Ustaz Mohd Zulkifli Kadir. Pemuda berusia 39 tahun ini adalah lepasan Pondok Pasir Tumboh, Kelantan dan Pondok Kubang Ikan, Narathiwat.

Ustaz Zulkifli berasal dari Kampung Bukit Puteri Dalam, Besut. Bagaimana pun, daripada 14 tempat yang menjadi medan kuliahnya sepanjang minggu (secara bergilir), hanya satu slot yang dapat diberikan kepada penduduk kampungnya sendiri. Beliau memberikan kuliah khusus untuk kaum wanita di masjid kampungnya pada setiap petang Jumaat.

Di sebelah malamnya, beliau ada jadual tetap berkuliah di Kampung Baru Air Tawar. Pada Sabtu malam Ahad, Ustaz Zulkifli mengajar di surau Alor Pisang, dekat pekan Kuala Besut.

“Ahad malam Isnin, ana kena gilir selang seminggu antara balaisaf  Kampung Tok Has (Besut) dengan Madrasah Bukit Awang, Kelantan’, ujarnya.

Menurutnya, beliau juga menggilirkan kehadirannya ke surau Gong Badang dan Masjid Seberang Kastam untuk kuliah Maghrib malam Selasa. Begitu juga malam Rabu, antara Surau Kampung Keluang dan balaisaf  Kampung Kubang Bemban.

Jadual ketatnya tidak membenarkan Ustaz Zulkifli berehat walaupun satu malam. Pada malam Khamis, gilirannya memberikan kuliah mingguan di Pondok Gong Lapan, Pasir Putih. Malam esoknya pula di madrasah Kampung Lapan Kotak, Besut.

Beban tugas seberat itu turut dipikul seorang lagi pendakwah muda, Ustaz Adam Said. Beliau mengasaskan Pusat Tarbiyah Nurul Iman (PTNI) bersebelahan rumahnya di Kampung Kubang Ikan, Besut.

Beliau berada di surau Kampung Gelam Mas pada setiap Sabtu, di Masjid Kubang Ikan (Ahad malam Isnin) dan surau Kubang Ikan (Isnin).

“Selasa malam Rabu ana rezab, cadang untuk jemputan luar jadual”, ujarnya.

Jadual tetap untuknya bersambung malam esoknya di Masjid Nasiruddin Shah, Kampung Raja, diikuti malam Jumaat di Madrasah Kampung Amer.

Pada malam Sabtu, kuliah diadakan di PTNI. Satu program tarbiyah khusus juga dikendalikannya di situ bermula jam 10 malam pada Ahad dan Isnin.

Ustaz Adam bagaimana pun ‘bercuti’ selama seminggu di setiap awaal bulan. Beliau bermusafir ke Felda Keratong, Pahang dan Batu Pahat, Johor. Beliau berkuliah di lebih sepuluh tempat di dua negeri berkenaan sepanjang berada di sana.

Berbeza dengan para pendakwah lain yang menjadikan kitab karangan ulama’ terkenal sebagai teks kuliah masing-masing, Ustaz Adam mengambil pendekatan menyusun kitab-kitabnya sendiri.

“Ana sekadar menyusun semula hujah-hujah para ulama’ muktabar ini. Ana rujuk kitab-kitab lama yang disebut ‘kitab kuning’ dan ana permudahkan bahasanya, nak bagi orang sekarang mudah faham”, ujarnya dengan rendah diri.

Setakat ini ustaz lepasan pengajian pondok di Pattani dan Mekah ini telah menyusun tidak kurang sepuluh buah kitab. Antaranya ialah Sirajul Qulub (1997), Permata Hati (1999), Minhajut Talibin (2005), Permata Hikmah (2007), Akhlak Muslim (2007) dan Babul Jihad (2007).

Semoga Allah merahmati dan memberkati usaha para pendakwah ini. Dalam keadaan dunia yang makin tersasar dari ajaran Islam sebenar, kesungguhan mereka menyemarakkan ilmu-ilmu Islam ke segenap pelosok kampung adalah peluang yang memudahkan masyarakat menghayati agama ini.  Kita patut bersyukur dengan adanya mereka.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, Jun 2009 di ruangan ‘Syukur Ada Mereka’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment