Sunday, June 14, 2009

Misi berat PAS tawar Islam pimpin perubahan


Oleh: MOHD NASIR AWANG

SYABAS dan setinggi-tinggi tahniah kepada ahli dan pendukung PAS seluruh negara di atas kejayaan parti itu menyempurnakan Muktamar Tahunan ke-55 minggu lalu. Perhimpunan kali ini berlangsung dalam suasana penuh gilang-gemilang di Stadium Melawati, Shah Alam.

Pujian juga selayaknya diberikan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, di atas keberanian menawarkan “Islam Memimpin Perubahan”. Dalam keadaan sosio-ekonomi serta geo-politik negara dan dunia yang tidak menentu serta mendambakan penyelesaian hakiki, kesempatan mengemukakan gagasan penyelesaian Islam adalah suatu kebijakan yang kena pada tempat dan masanya.

Apatah lagi tawaran itu datang dalam keadaan kewibawaan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai penyelesai kemelut hidup rakyat sedang dipertikaikan. Kejayaan PAS dalam pilihan raya lalu menyerlahkan lagi penerimaan rakyat pelbagai kaum terhadap parti itu. Maka kesempatan menonjolkan PAS selaku pemimpin perpaduan dan perubahan amat bertepatan.

“PAS terus menerus komited untuk mendefinisi dan mentakrif perubahan yang akan berlaku berdasarkan kerangka rujukan Islam yang bersifat universal. Maka PAS bersedia menawar diri untuk memimpin perubahan dan memikul amanah kepimpinan negara dalam sebuah masyarakat majmuk seperti yang terdapat di Malaysia, selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum yang ke-13 nanti, insya Allah,” tegas Presiden PAS dalam ucapannya, Jumaat lalu.

Meski pun pada zahirnya penegasan itu nampak meyakinkan, halangan dan cubitan menunggu PAS dalam merealisasikan tawaran itu terlalu pelbagai. Saya tidak begitu bimbang dengan serangan dan bantahan luar, khususnya musuh tradisi (Umno/BN). Track-record ketahanan PAS agak membanggakan dalam mendepani karenah dan mehnah ditimbulkan parti tua itu.

Ada beberapa pihak lain yang saya kira lebih mencabar misi berat PAS menawarkan Islam kepada negara. Secara realistik saya sebutkan yang pertama dan utama ialah sebilangan pemimpin dan ahli parti itu sendiri.

Sentiasa ada suara dalaman PAS sendiri mempertikaikan beberapa pendekatan dan isu teras yang selama ini diperjuangkan. Di kalangan pemimpin tertinggi PAS sendiri kelihatannya wujud perbezaan pendirian dalam meletakkan keutamaan antara memenangi hati rakyat untuk kejayaan pilihan raya dengan menjadi pembela mempertahankan isu-isu Islam.

Suara-suara kebimbangan ini kedengaran minggu lalu. PAS diingatkan jangan terlalu ghairah bersama Pakatan Rakyat (PR) untuk mengambil alih pemerintahan negara sehingga mula longgar di atas beberapa teras perjuangannya.

Gesaan itu tidak syak lagi terdorong oleh pemerhatian dan penilaian ahli PAS sendiri terhadap pendekatan parti mereka yang sudah berubah. Dalam keadaan tertentu, PAS seakan mengelak berada di barisan hadapan mempertahankan isu-isu agama, kononnya atas penilaian politik.

Pihak kedua yang mungkin menggugat keazaman PAS menyempurnakan gagasan tadi ialah penyokongnya dari kaum bukan Islam. Beberapa kenyataan pemimpin Kelab Penyokong PAS (KPP) menggambarkan mereka masih berdepan pemahaman yang belum benar-benar betul berhubung apa yang sepatutnya PAS tawarkan kepada bukan Islam.

Maaf cakap, dalam beberapa keadaan KPP lebih menyerlah sebagai pendesak agar PAS berubah menjadi parti yang sealiran dengan aspirasi mereka. Mereka kelihatannya belum berupaya meraikan PAS sebagai sebuah parti yang ada dasar dan fahaman perjuangan sendiri.

Saya melihat slogan “PAS Untuk Semua” disalahtafsir secara literal bagi memenuhi maksud bahawa PAS sepatutnya tampil dengan imej yang dapat diterima semua pihak. Itu termasuk tidak menampilkan imej dan suara Islam dalam keadaan tertentu, jika penyokong bukan Islamnya tidak selesa.

Pernah beberapa kali kenyataan pemimpin tertinggi PAS menyentuh bukan Islam dibantah secara terbuka oleh KPP. Lebih mengecewakan apabila dibangkitkan agar PAS mengenang budi pengundi bukan Islam yang memenangkan calon parti itu dalam pilihan raya lalu.

Sepatutnya kesediaan mereka menyokong PAS berasaskan kefahaman tentang apa itu PAS dan menerima dasar perjuangannya. Malangnya peranan KPP beralih kepada mempertikaikan dasar dan tindakan diputuskan PAS. Sebab itu saya agak bungkam apabila beberapa rakan melontarkan secara sinis bahawa kelab itu lebih sesuai dinamakan “Kelab Pembangkang PAS”.

Pihak ketiga dan paling kerap menyuarakan percanggahan dengan apa yang dilontarkan PAS ialah parti-parti rakan PR. Mereka seolah-olah belum faham bahawa kewujudan PAS adalah atas asas menegakkan Islam dan PAS tidak boleh hidup tanpa dasar itu.

Kerap kali PAS diletakkan dalam keadaan terlalu “terkongkong” oleh keperluan menjaga hati rakan-rakan dalam PR, terutama bukan Islam. Seolah-olahnya setiap apa yang diputus atau dilaksanakan PAS mesti merujuk kepada mereka, atau diterima dengan baik dan menepati kerangka PR.

Oleh sebab itu apabila muktamar PAS minggu lalu memutuskan usul meminta kerajaan menyiasat dan mengambil tindakan ke atas sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengguna nama Islam tetapi didakwa menjalankan atkviti yang mengelirukan masyarakat terhadap Islam, antara pihak paling lantang membantahnya ialah parti rakan dalam PR sendiri.

Dibangkitkan soal demokrasi dan hak asasi manusia yang sepatutnya lebih diutamakan PAS sekali pun dalam mendepani isu-isu berkaitan akidah dan hukum-hakam Islam. Bagaimana dengan hak asasi PAS memperjuangkan dasarnya dan mempertahankan Islam?

Saya kira PAS tidak boleh lagi ‘malu-alah’ mempertahankan perjuangannya. PAS perlu ikhlas dan tegas menyatakan bahawa Islam adalah dasar PAS yang terangkum di dalamnya soal penegakan Negara Islam dan pelaksanaan hukum Islam.

Dengan teras dan asas itulah PAS terus hidup dan kukuh. Diterima atau tidak, itulah juga Islam yang ditawarkan PAS untuk memimpin perubahan dalam negara.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 20-26 Jamadilakhir 1430/14-20 Jun 2009 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment