Sunday, June 28, 2009

BN kerap silap kaedah, lembab selesai masalah


Oleh: MOHD NASIR AWANG

ADA benarnya nilaian kritis Timbalan Perusuhjaya I PAS Terengganu, Datuk Abu Bakar Chik, bahawa pelantikan jawatan utama menerajui Umno negeri itu sepertimana diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mingu lalu tidak akan mampu menyatupadukan para pemimpin parti tersebut.

Meski pun saya tidak berkongsi pendirian Abu Bakar yang menganggap percaturan pelantikan baru Umno itu tidak akan memberi sebarang keuntungan kepada rakyat Terengganu, saya turut melihat kemunasabahan di sebalik kesimpulan beliau bahawa pelantikan itu bakal menjuruskan Umno Terengganu kepada perpecahan lebih besar.

Dalam kenyataan disiarkan akhbar, Rabu (24 Jun), Abu Bakar menganggap percaturan pelantikan oleh Hishammuddin beberapa hari sebelum itu akan mengembangkan perpecahan parti itu kepada tiga puak.

“Sebelum ini kita semua sudah maklum Umno (Terengganu) ada dua puak iaitu kumpulan Idris (Datuk Seri Idris Jusoh, bekas Menteri Besar) dan (Datuk) Ahmad Said (Menteri Besar). Sebagai Pengerusi Umno negeri, kehadiran Hishammuddin akan jadikan Umno Terengganu kepada tiga puak,” ujarnya.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu mengulas pelantikan diumumkan Hishammuddin pada Ahad (21 Jun) lalu. Antara yang dilantik ialah bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang sebagai Setiausaha Umno Terengganu menggantikan bekas Ahli Parlimen Dungun, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan.

Turut dilantik ialah anggota Exco Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said yang mengambilalih jawatan bendahari daripada Senator Datuk Roslan Awang Chik.

Jawatan ketua penerangan pula diisi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek. Beliau menggantikan Datuk Zuber Embong.

“Kalau kita memihak dan dilihat sebagai pemimpin yang mirip kepada puak tertentu, akhirnya apa yang kita harapkan tidak akan jadi kenyataan dan saya akan gagal sebagai Pengerusi Umno Terengganu,” kata Hishammuddin sewaktu mengulas pelantikan mereka.

Pertimbangan digunapakai Hishammuddin itu dianggap bertepatan dengan hasrat Umno Pusat melantik beliau menggantikan Ahmad. Ia adalah sebahagian formula parti itu meleraikan kekusutan dan memulihkan pergolakan dalaman melanda Umno Terengganu.

Lalu Ahmad “diturunkan pangkat” sebagai timbalan pengerusi dengan harapan langkah itu akan dapat meredakan penentangan kumpulan yang satu lagi.

Kita boleh menghurai lebih berjela mengenai perkembangan itu dari berbagai sudut. Antaranya, sepertimana disimpulkan Abu Bakar tadi, bahawa kewujudan satu kumpulan yang tidak memihak kepada mana-mana puak (jika benar begitu) sebenarnya menambahkan satu lagi puak.

Ertinya, Umno sudah tersilap kaedah dalam menyelesaikan perpecahan dan menyatupadukan para pemimpinnya yang bertelagah. Daripada berpecah dua, Umno Terengganu kini diambang berpecah tiga pula.

Saya juga musykil dengan masa agak panjang diambil Hishammuddin untuk mengadakan mesyuarat pertama Umno Terengganu dan menyempurnakan pelantikan tiga jawatan utama itu. Pengumuman pelantikan beliau sebagai peneraju Umno Terengganu oleh Umno Pusat dibuat pada 24 April lalu.

Kelewatan hampir genap dua bulan itu boleh dirasionalkannya dengan berbagai hujah dan alasan. Sebagai “orang luar” agak munasabah Hishammuddin memerlukan tempoh sebegitu lama untuk mengenalpasti tokoh paling sesuai sebagai gandingannya.

Namun apa pun alasan diberikan, ia tetap menimbulkan persepsi negatif terhadap Umno. Di mana imej dan reputasinya sebagai sebuah parti kerajaan yang sering melaungkan slogan kecekapan, tindakan cepat dan seumpamanya?

Sedangkan parti lawannya, PAS dapat menyempurnakan pelantikan semua jawatan utama ngeri dalam masa hanya seminggu. Pelantikan Datuk Harun Taib sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu dibuat sejurus selesai muktamar tahunan parti itu, awal Jun. Pada 17 Jun, pelantikan penuh semua jawatan penting PAS negeri telah diselesaikan. Tidakkah Umno patut malu dengan kecekapan dan kepantasan PAS itu?

Saya percaya ada yang sinikal dan memandang remeh rembatan itu. Mungkin mereka kira tidak selayaknya soal cepat-lambat pelantikan kepimpinan baru kedua-dua parti itu dijadikan hujah membandingkan kecekapan mereka.

Ya, saya juga boleh menerima nilaian itu, tetapi tidak sepenuhnya. Sebabnya, bagi saya soal lambat dan tersilap mencari kaedah penyelesaian kepada permasalahan ini sebenarnya bukan sekadar menghantui Umno Terengganu dalam hal ehwal partinya sahaja. Ia turut terjelma dalam tindakan mereka menyelesaikan berbagai permasalahan dihadapi rakyat.

Pengalaman saya berkhidmat di Terengganu selama sedekad, antara 1998 hingga 2008, memungkinkan saya menilai secara dekat beberapa kes yang bagi saya cukup dijadikan bukti bahawa Umno sering berhadapan karenah ciptaannya sendiri dalam menyelesaikan masalah rakyat. Sebaliknya, rakyat menilai kerajaan PAS dalam banyak hal jauh lebih cekap berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN).

Perbandingan kecekapan antara dua kerajaan agak menyerlah. Antaranya ialah isu penyelesaian hak milik tanah. Dalam tempoh empat tahun PAS memerintah Terengganu, ia sempat menyelesaikan puluhan ribu permohonan tanah rakyat, termasuk yang sudah berlanjutan lebih 30 atau 40 tahun.

Kes Lot Perpindahan Tok Adis yang tidak kunjung selesai sehingga mengundang reaksi kesal Ahmad, sepertimana disiarkan akhbar minggu lalu, juga satu lagi contoh kelembaban BN. Penempatan itu dikhaskan bagi puluhan keluarga yang menjadi mangsa ombak besar Kampung Kuala Ibai Pantai.

Seingat saya, kes itu sudah berlanjutan hampir tiga tahun. Lot perumahan itu diluluskan kerajaan BN sejurus selepas tragedi ombak besar melanda kampung di tepi pantai itu, Disember 2006. Hingga kini, mangsa yang dijanjikan kediaman di penempatan itu masih menagih janji dan BN gagal menyelesaikannya.

Mungkinkah itu juga gambaran betapa ‘cekapnya’ kerajaan BN?

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 5-11 Rejab 1430/28 Jun-4 Julai 2009 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment